Followers

Thursday, November 8, 2012

::Hormati Golongan OKU::

Entri ini bukan mahu memalukan atau menselar mana-mana individu.  Tetapi inilah hakikat rakyat Malaysia. 

Segalanya ambil mudah dan hanya mahu mementingkan diri sendiri tanpa berfikir tindakan mereka akan menyebabkan insan sepatutnya berada dalam kesusahan.

Saya bukanlah insan nobel, cuma dalam keadaan tertentu masih mampu mengenang akan nasib orang lain.

Banyak kali saya perhatikan betapa orang kita kurang prihatin dengan petak tempat letak kereta khusus untuk orang kurang berupaya (OKU).

Jika punya peluang, sihat walafiat pun mahu diredah letak kereta di situ.  Bila keluar dari kereta buat muka tidak bersalah sambil berlalu pergi.

Sudah terang lagi bersuluh petak tersebut hanya untuk golongan OKU tetapi demi terlalu pentingkan diri itu semua tidak diendahkan.

Seandainya ada anak-anak kecil dalam kereta pun satu hal juga.  Ini tidak, dengan kereta bertaraf 5 bintang, bersendirian, sihat tubuh badan terus sahaja menggunakan kemudahan OKU.

Ya saya geram!  Bukan geram kerana tidak dapat lot parking tersebut tetapi sangat geram dengan hati dangkal rakyat Malaysia.  Sudah mati hatikah rakyat Malaysia hari ini?

Takkanlah perkara semudah itu mahu ke peringkat terpaksa membuat public announcement di dalam media hari-hari.  Berulang-ulang kali mahu diingatkan tanggungjawab sebagai manusia.

Bagi saya mereka yang tidak mahu dan buat-buat tidak tahu dalam menghormati hak orang lain adalah biadap!  Mungkin agak kasar tetapi itulah perkataan sesuai bagi golongan ini.

Bayangkan sedang enak menikmati suasana di dalam bangunan, ada individu OKU berhempas-pulas mencari ruang kosong untuk meletak kereta.

Nama sahaja berilmu tetapi nilai-nilai murni diletakkan di bawah tapak kaki.  Ikut kata hati sendiri tanpa memikirkan bahawa kehidupan di dunia perlu dikongsi antara satu sama lain.


Gambar ini saya ambil di McDonald berhampiran rumah.  Sedang menanti giliran pandu-lalu terpandang akan Auntie ini keluar dengan tenang dari dalam menuju ke kereta.  

Dia meletak kereta di lot OKU.  Sihat tubuh badan, mampu mengangkat barang-barang berat dan tiada cacat-cela.  

Kereta di hadapan saya bunyikan hon tanda protes kerana dia bersenang-lenang meletakkan kereta di kawasan tidak sepatutnya.  

Dengan muka selamba dia menjeling dan membuka pintu dalam keadaan marah.  Pada mulanya saya ingatkan barangkali dia punya masalah pendengaran, kerana golongan ini pun dikira OKU.

Rupanya tidak.  Sekali lagi dengan wajah bersahaja dia berbual di telefon bimbit sambil memperdengarkan suaranya yang nyaring.

Individu seperti inilah tidak harus kita hormat kerana dia tidak pernah hormat orang lain. Maaf saya bukan bersifat perkauman melalui siaran gambar ini.

Insiden berlaku depan mata, siapa sahaja melakukan kesalahan jika punya kesempatan akan saya rakam supaya menjadi peringatan ramai.

Kesedaran rakyat Malaysia terhadap golongan OKU harus dipergiatkan.  Saya punya rakan-rakan OKU dan secara jujur mereka mudah rasa terpinggir dengan tindakan kurang sensetif sebegini.

Tolonglah ya rakan-rakan budiman.  Hormatilah hak OKU.  Mereka juga rakyat seperti kita dan mereka punya ekuiti sama untuk menikmati segala kemudahan diberikan Kerajaan.


nota:  bila berada di tempat mereka baru tahu apa rasa sebenarnya...








No comments :

Post a Comment