Followers

Friday, November 9, 2012

::Kembali Ke Alami::

Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan.  Asal ada sahaja produk mampu mengekalkan wajah jelita, pasti menjadi pilihan.

Saya sendiri antara yang menjaga dengan begitu teliti.  Produk-produk digunakan bukan calang-calang.  Harga sebotol mencecah ratusan ringgit.  

Apa guna bekerja keras tetapi tidak dapat memanjakan diri.  Paling tidak kulit muka tidak mudah kendur dek faktor usia.

Tetapi itu semua suatu waktu dahulu.  Di saat mampu membeli dengan wang sendiri.  Hari ini tidak lagi :(  Ikat perut harus lebih gigih dan aliran wang tidak boleh sewenang-wenangnya.

Mujur sewaktu berkemampuan, beli barang lebih dari satu botol bagi tujuan stok.  Boleh terus pakai walaupun sudah berhenti membeli.

Apa yang ada pasti akan habis.  Dalam keadaan sebegini, sedar pula diri dan mula mencari alternatif lain yang lebih murah.

Pastinya petua lama amat sesuai digunapakai.  Antaranya sudah pasti bedak sejuk.  Kalau ikutkan sewaktu menggunakan produk moden, sesekali saya tetap menempek bedak sejuk di muka.

Cumanya penggunaan produk adalah lebih banyak dari menggunakan bedak sejuk.  Kira sombong jugalah saya pada waktu itu.  Sekarang bila ongkos menyusut pandai pula kembali ke penggunaan tradisional.  

Bagi sesiapa tidak pernah menggunakan bedak sejuk, cubalah selepas ini.  Tanpa sebarang kehadiran bahan kimia, bedak sejuk banyak khasiat khusus buat kulit wajah.

Antara yang saya tahu:-

1)  Ianya menyejukkan kulit muka - ada ketika saya terdedah teruk kepada panahan matahari dan bedak sejuk membantu menyejukkan kulit muka dari mengelupas teruk serta kembalikan warna kulit asal.  

Lagi satu, Allahyarham Onyang saya pasti akan melumurkan satu badan dengan bedak sejuk sewaktu kami kena demam campak.  Katanya bagi menyamankan kulit yang rengsa kegatalan

2)  Mengawal minyak di wajah - ibu saudara saya pernah menyarankan supaya memakai bedak sejuk sekiranya wajah mula ditumbuhi jerawat.  Jerawat keluar akibat kulit berminyak teruk.  Ada ketika kulit muka sedikit berminyak, dengan segera saya memakai bedak sejuk dan ianya berjaya.

Ayu Bam Bam antara memiliki kulit berminyak dan dia sendiri setuju bahawa bedak sejuk adalah agen pengawal minyak di muka.

3)  Menegangkan kulit muka -  petua ini saya dapat dari bekas guru saya sewaktu sekolah menengah.  Cikgu ni punya wajah mulus dan tegang walaupun sedikit berusia.  Dek kerana keakraban, saya bertanya akan rahsia.  

Dia menyarankan supaya kerap menyapu putih telur dan memakai bedak sejuk pada malam hari.  Tetapi ini bukanlah setakat sekali atau pun dua kali, ianya proses berterusan

4)  Kulit muka lebih licin - samada kebetulan atau pun melalui bantuan bedak sejuk, pipi saya sememangnya licin.  Walau ada sedikit jerawat pasir berterabur tetapi tetap licin.  Mungkin juga bantuan produk-produk lain tetapi peranan bedak sejuk tetap ada.

Jadi tidak salah kita kembali ke alami, menggunakan sumber semulajadi dalam merawat wajah.  Apa pun, seri wajah akan lebih kuat bersinar sekiranya nurani kita bersih tanpa kehadiran titik hitam.

Mahu kelihatan cantik bukan sahaja dari luaran tetapi harus cantik dari dalam juga.  Melalui itu segalanya akan terpancar di wajah.  

Saya tidak dibayar untuk mempromosikan bedak sejuk tetapi CUBALAH...pasti berpuas hati dengan hasil.  Tetapi bukanlah dengan sekali pakai, gunakan sentiasa.

Kaedah tradisional tinggalan nenek moyang kita



nota:  macam-macam...

No comments :

Post a Comment