Followers

Thursday, November 22, 2012

::Keperluan Kad Perubatan::

Sepanjang minggu lepas, berulang-alik dari Kelana Jaya Medical Centre (KJMC), Buah Hati ditahan di wad bagi tujuan pemantauan.  Asalnya 3 hari sahaja kemudian naik ke 5 hari.

Resah gelisah bila anak kecil dimasukkan ke hospital meskipun doktor mengatakan tiada apa perlu dirisaukan tetapi hati tetap berdebar sepanjang masa.

Semua pun risau yang amat.  Masakan tidak, Buah Hati membesar di depan mata kami sejak dari dua tapak jari kaki, sehingga hari ini kasih sayang tidak pernah surut meski hari berganti.

Sebenarnya agak lama juga Buah Hati sudah tidak sihat.  Sekejap demam, sekejap tidak.  Batuk berulang datang.  Hinggalah dalam tempoh dua minggu sebelumnya, suhu badan dia naik dan turun setiap hari.

Asal petang sahaja, suhu badan naik.  Bila diberikan ubat, demam kebah dan berlarutan berhari-hari.

Habis ubat demam, Macho Man ambil keputusan berjumpa Pakar Kanak-Kanak di KJMC, Dr Syed.  They get used with Dr Syed since Buah Hati born.

X-ray, ambil darah terus dilakukan dan doktor mengesahkan Buah Hati ada Pneumonia.  Ianya merupakan jangkitan di paru-paru dan kerana jangkitan itulah ketahanan badan sangat lemah, demam setiap hari serta hilang selera makan.

Bacaan jangkitan kuman tinggi pada ketika itu dan harus ditahan bagi tujuan pemantauan serta pengambilan antibiotik secara berkala.  Demi kebaikan, relakan sahaja.

Alhamdulillah, hari ini dia kembali pulih tetapi terpaksa berpantang dari segala segi terutamanya makanan.  Kualiti udara tidak sihat juga amat tidak sesuai buat dia. 

Selama 5 hari di hospital cuba teka berapa bil hospital terpaksa ditanggung?  Pegang jantung anda dan jangan terkejut kerana bilnya mencecah RM4,000++.  Juling nak membayar!

Nasib baik sejak kecil anak-anak di rumah mengambil insuran.  Nampak gaya Medical Card telah menjadi satu keperluan.  Jika tidak, tak tertanggung bil hospital mencecah ribuan ringgit melainkan mahu ke hospital kerajaan.

Sebenarnya bukan mahu menidakkan hospital awam tetapi telah semua orang tahu betapa jika punya pilihan, hospital awam bukanlah berada di dalam senarai keutamaan.

Entri ini juga bukan mahu mengiklankan Insuran mahupun Medical Card tetapi ianya hakikat.  Jangan tanya saya bagaimana mahu mendapatkan Medical Card kerana saya bukan agen Insuran.
  
Semua kita sedar, kos perubatan hari ini amatlah tinggi.  Rasanya dengan kehadiran insuran segala menyebabkan harga mencanak naik kerana kos perubatan tidak lagi ditanggung oleh pesakit. 

Lagi pula hospital swasta sekarang semuanya bertaraf 5 bintang.  Begitu selesa seolah-olah berada di dalam hotel.  Tetapi baguskah perkhidmatan ditawarkan?

5 hari di KJMC tiada sebarang perkara menjelekkan walaupun biliknya tidaklah seselesa hospital yang pernah kami ketahui dan yang penting doktor menjalankan tugas berwibawa.

Kebetulan waktu Buah Hati ditahan, rakyat Malaysia sedang menikmati cuti umum, Deepavali dan Maal Hijrah.  Demi tugas, doktor tetap meluangkan masa sekali sehari walau sedang bercuti.

Tidak perlu menunggu keputusan ujian darah, tidak perlu menunggu khabar berita tidak kunjung tiba dari pihak hospital.  Keadaan sedemikian tidak mengundang cemas di hati keluarga pesakit.

Cuma bil sahaja menjerut leher tetapi bila teliti bil, antibiotik yang diberi sememangnya mahal.  Mencecah RM350++ sehari.  Bayangkan 5 hari, kira sendiri =)  Itu belum masuk kos-kos lain lagi.
 
Bukan mahu menidakkan kemampuan hospital kerajaan, tetapi tepu dada tanya selera.  Apa pun ini kali ke-4 rasanya Buah Hati masuk hospital dan dengan Medical Card banyak meringankan beban.

Bagi mereka yang merancang atau belum mempunyai apa-apa polisi untuk anak-anak, perkara ini boleh dipertimbangkan.  Banyak tawaran menarik dan pastikan pandai memilih.
 
Jangan terlalu ghairah dan terpengaruh dengan janji manis agen.  Bandingkan 2-3 polisi dan pilih yang terbaik dan mengikut kemampuan. 

Kenapa saya berkata begini, kerana saya pernah diputar belitkan oleh agen insuran, akhirnya membayar pada polisi yang merugikan.



nota:  serabutnya...


      



  

No comments :

Post a Comment