Followers

Wednesday, November 28, 2012

::Telefon Awam::

Tersentak dengan berita yang kami terima =( Dugaan hadir untuk kesekian kali ataupun ianya cabaran mungkin juga ketentuan.  Apa sebenarnya rahsia disebalik segala ini?
 
2012 sudah hampir ke penghujung, tiada apa perubahan mampu dilakukan walau segala usaha telah dikerah ke arah itu.  Menanti kehadiran 2013 barangkali, cuba untuk bersikap optimistik.
 
Bersabarlah, akan hadir juga sinar kebahagiaan dinanti.  Biarlah jatuh terjelepuk dengan segala kesusahan, supaya kejayaan akan bertahan selamanya.
 
Biarlah disimpan segala kegusaran, mahu dicerita pun sukar mahu diterjemahkan.  Hanya mereka yang duduk di dalam situasi faham apa dilalui.
 
Jom kita berbicara kisah lain pula.  Idea tak berapa nak ada, gatal tangan mahu menari di papan kekunci.  Layankan rasa!
 
Saya kehilangan telefon bimbit, tahukan?  Buat sementara waktu pakai telefon lama, agak nazak juga rupa fizikal.  Belum ada niat mahu membeli telefon baru.
 
Terlupa akan tahap kritikal telefon tersebut, malam sebelumnya lupa charge bateri.  Keesokkannya keluar, baru sekali berbunyi terus kaput.
 
Menggelabah juga kerana sememangnya harus menelefon seseorang.  Mujur di seberang jalan beratur pondok telefon.
 
Sayangnya, dalam 5 pondok telefon yang ada tiada satu pun berfungsi.  Menggelabah seketika, mujur telefon tangan terpadam boleh dihidupkan seketika.  Sempat menghantar sepotong SMS.
 
Pelikkan?  Di saat telefon bimbit menjadi satu kemestian bagi setiap orang, waktu itu juga telefon awam boleh rosak dikerjakan manusia tidak bertanggungjawab.
 
Kalau dulu faham juga kerana kebanyakkan dari kita menggunakan khidmat telefon awam sebaik mungkin.  Hari ini, semua pun mampu punya telefon tangan sendiri.  Kenapa masih rosak?
 
Setakat 1-2 yang tidak berfungsi tak mengapa juga, ini kesemuanya rosak!  Bila agaknya mentaliti masyarakat kita untuk sayangkan barangan awam berubah?
 
Atau mungkin pihak Telco yang tiada inisiatif mahu menukarkan.  Dah rosak biarkan sahaja.  
 
Harus diingat, kecemasan tidak mengira waktu dan tempat.  Ada masa kita terdesak mahu menggunakan telefon.  
 
Ke mana mahu dituju arah sekiranya tidak boleh digunakan langsung.  Entahlah, siapa sewajarnya harus dipersalahkan dalam hal sebegini?
 
Cuma hati saya beratkan mengatakan pondok telefon tersebut adalah mangsa Vendalisme.   Terfikir, apa mereka dapat dengan memotong gagang telefon?  Apa motif mengetuk nombor untuk didail sehingga tenggelam ke dalam?
 
Sakit sebenarnya mereka ini.  Jiwa tenat, kerana itu segala barangan dimusnahkan.  Tunggu sahaja balasan, baru tahu langit ini tinggi atau rendah.
 
20 tahun lampau, kami antara keluarga terpaksa menggunakan telefon awam.  Jika ada apa-apa hal untuk bertelefon, beraturlah bagi menanti giliran.
 
Selalunya Allahyarham Mak antara rajin ke pondok telefon kerana dia mahu menghubungi keluarga adiknya di Klang.
 
Tergelak bila mengenangkan Mak pernah bergaduh dengan orang yang sedang berbual berjam-jam lamanya tanpa memikirkan ramai lagi menunggu giliran.  
 
Ya juga, jika mahu punyakan telefon tersebut baik buka talian sendiri di rumah.  Hak awam untuk pakai bersama, bukannya syok sendiri.  
 
Kalau dikenang, banyak juga kisah lucu terjadi.  Pernah sekali sebaik sahaja orang di hadapan kita berhenti menggunakan telefon, sampai giliran kita telefon rosak.  
 
Tak ke mengundang rasa sebal di hati.  Sudahlah penat menunggu, kena pula keadaan sedemikan.  Tak berbaloi menunggu dalam tempoh agak lama.
 
Mahu sahaja tumbuk telefon tersebut dengan muka orang yang bergayut lama.  Jawabnya, balik rumah.  Lain kali sahaja telefon orang.
 
Sekarang dah berubah.  Fenomena beratur menunggu giliran di pondok telefon tidak lagi kelihatan.  Sibuk kumpul duit syiling juga sudah tiada.  
 
Yalah, hanya dengan duit berdenting-denting sahaja baru boleh guna telefon awam.  Masa mula-mula bercinta dengan Abang pun khidmat telefon awam diguna pakai.
 
Hari-hari selepas jam 11 malam baru dia akan guna.  Kalau guna awal-awal tak dapat berborak lama.  Bersusah payah menunggu sehingga ke lewat malam.  Biasalah baru nak cuba nasib..he..he..he..
 
Saya hanya menanti panggilan di rumah.  Nak guna telefon rumah takut bil melambung katanya.  Susahkan pula mak ayah untuk menanggung bil.
 
Siapa ada kenangan dengan telefon awam?  Kalau rajin jom kongsi bersama.  Rugikan generasi sekarang tidak melalui pengalaman sedemikian..
 
 Saya belajar mengenali telefon awam dengan yang ini.  Gambar dicari melalui Google Image, dari blog ini
 
 
 
 
 
 
nota:  apa-apa sahaja..
 
 
    

No comments :

Post a Comment