Followers

Friday, January 4, 2013

::Penting Diri Sendiri::

Terkasima seketika apabila perkhabaran sampai ke telinga perihal teman yang mula mementingkan diri sendiri.  Tutur bahasa sudah tidak lagi mencerminkan siapa dia sebelum ini.

Agaknya memang begitu bila seseorang itu banyak duit, punya kedudukan, berpelajaran tinggi, waima semuanya atas dari orang lain maka untuk memandang ke bawah tidak sama sekali.

Terlupa agaknya satu ketika dahulu dia pernah mendaki tangga ke puncak berasal dari bawah juga.  Pernah satu waktu dipandang hina bila mana duduk tidak sama rendah, berdiri tidak sama tinggi.

Atau barangkali kerana pahit maung berusaha mencapai apa dihajati menyebabkan dianya lupa diri dan mula mementingkan diri.

Ramai sebenarnya yang kita kenali berubah setelah kehidupan menjadi semakin baik.  Perihal pentingkan diri sendiri ini ada di mana-mana malahan kita juga akan bertindak sedemikian dalam hal-hal tertentu.

Contohnya bila sudah lama orang mengambil kesempatan ke atas diri kita, sampai masanya kita harus mementingkan diri sendiri apatah lagi selama ini hati dan perasaan kita tidak dijaga.

Cuma dalam kita terlalu mementingkan diri jangan sampai menindas individu lain pula.  Hati dan perasaan orang lain harus dijaga juga lantaran kehidupan di dunia ini kita kongsi bersama.

Susah mahu memberi sebarang komentar perihal teman tersebut lagi pula perkhabaran sebelah pihak walaupun sebenarnya bukan seorang dua menyuarakan rasa terkilan. 

Lagi pun individu tersebut hanya bertaraf teman biasa, siapa saya mahu menasihati dirinya yang hari ini serba-serbi sempurna.  Jauh panggang dari api.
  
Apa yang mampu dilakukan berdoa, seandainya jika dia alpa akan keghairan dunia moga kembali menjadi diri sendiri.

Tetapi sekiranya dia benar dalam bertindak sedemikian, semoga dia tabah dengan khabar-khabar kurang enak diperlagukan.  Cari jalan penyelesaian dan bersemuka dengan individu-individu yang terasa hati.

Manusia berubah dan perubahan itu tidak salah jika punya kebaikan walaupun sedikit.



nota:  macam-macam perangai manusia..



 

No comments :

Post a Comment