Followers

Friday, January 4, 2013

::Terima Kasih 2012::

Sudah 4 hari bernafas di 2013, baru hari ini berkesempatan memulakan coretan.  Biasalah kesibukkan kadangkala tidak terduga, sekali datang semput dada.
 
Seperti tidak percaya kalendar berganti baru namun itulah hakikat, masa berlalu tanpa berhenti walau sesaat.  Semakin jauh usia muda ditinggalkan, mengetuk pula pintu tua.  
 
Masuk tahun baru, masing-masing pasang azam.  Semangat tahun barulah katakan, semua pun mesti baru.  Seriously, tahun lalu langsung tak memasang azam.  Itu pun baru sedar.
 
2012 boleh dikatakan tahun penuh dugaan.  Dari satu bulan ke satu bulan dugaan tak henti melanda.  Sepanjang hayat rasanya 2012 adalah tahun kegelapan.  Bukan pada diri sendiri sahaja tetapi juga buat keluarga dan insan tersayang.
 
Sedikit imbasan 2012, hari pertama awal tahun 2012 Ibu Abang meninggal dunia.  Bermula detik kesedihan, ambil masa juga buat dia untuk pulih semangat.  Siapa tak sayang ibukan?
 
Apa pun kehidupan perlu diteruskan meski berat menerima kenyataan.  Berkongsi kesedihan, suka dan duka, apa yang dirasai turut memberi kesan buat diri sendiri.  
 
Hari terus bergerak, satu persatu berita sedih menimpa.  Ditipu seseorang yang dianggap rakan, kesan penipuan terpalit hingga melibat maruah.  Walau tidak melakukan sebarang kesalahan, maruah tergadai hanya berdasarkan tali kepercayaan.
 
Dunia semakin kejam, manusia hidup tanpa arah.  Apa yang penting nafsu duniawi mampu dipenuhi biar sanggup mempertaruh untung nasib individu lain.  Salah kami juga, bila ghairah mahukan sesuatu dengan usaha minima.
 
Pengajaran amat bererti buat kami semua.  Pentas dunia bertambah menarik meski satu-persatu kebobrokan manusia disingkap.  Gerunnya melihat realiti kehidupan.
 
Syarikat keluarga juga mengalami masalah bila mana tanpa khabar berita telah ditutup oleh pihak berkuasa.  Tiada kesalahan, tiada alasan kukuh.  Sekali lagi terpaksa menelan kepahitan.
 
Proses kerja terganggu hampir 4 bulan lamanya.  Apa yang diharap menuntut segera penyelasaian tergantung seketika.  Hilang punca, ligat mencari solusi keadaan.  Lambat bertindak, ramai perut akan kelaparan.
 
Alhamdulillah Allah memberi ruang bernafas, masalah syarikat berjaya diselesaikan tetapi malangnya perjanjian bersama individu tertentu atas tujuan pembelian dibatalkan kerana mengambil tempoh masa melebihi had waktu.
 
Bergelut sekali lagi bagi memecah kebuntuan.  Selesai juga akhirnya pada penghujung Oktober.  Itu pun setelah melalui kepayahan tidak terkata :( kerana itulah 2012 merupakan tahun penuh dugaan.
 
Abang pula menjalani pembedahan pada bulan 5.  Kesihatan menurun, kewangan di puncak kritikal.  Segalanya memerlukan wang sedangkan sumber begitu terhad.  Apatah lagi dia terpaksa mengambil cuti, ganjaran lebih masa hilang begitu sahaja.
 
Bagaimana teruknya kami melalui kemelut kewangan hanya Allah yang tahu.  Sepanjang umur saya tidak pernah merasa susah dan putus kewangan seperti kali ini.  Seandainya Allah menguji dengan lebih berat lagi, entahlah.  Mampukah lagi saya menghadapi segalanya?
 
Bukan saya sahaja, seluruh keluarga berhadapan masalah sama hingga melibatkan proses undang-undang.  Jangan tak tahu, disaat getir ini jugalah satu persatu kawan mengundur diri.
 
Saya faham, beban kita takkan mahu orang lain galas.  Tapi itulah hakikat ya, kawan sewaktu senang bersepah.  Tak dijemput pun muncul.  Bila keadaan sebaliknya, faham-faham jelah.  
 
Terima kasih kepada mereka, sekurang-kurangnya saya berjaya menyahaktif senarai teman.  Biarlah sedikit jumlah asal dapat memberi kegembiraan dari ramai melaut tetapi hanya mengaut kemanisan.
 
Dalam pada itu Siti Cutie pula ditimpa dugaan dengan penyakit sehingga hari ini belum ada penawarnya.  Allah tahu rencananya, kita sebagai hambanya harus terima dengan hati terbuka.  
 
Siti Cutie masih lagi dalam proses melawan namun ada masa terkandas juga.  "In Shaa Allah Dik, we have each other and that is the best medicine i believe.  Jangan putus harapan dan Tawakkal pada Allah SWT."
 
Bukan setakat mamanya, anaknya juga menimpa musibah.  Buah Hati masuk hospital setelah disahkan jangkitan paru-paru.  Mujur kesan diperingkat awal, masih dapat cegah sebelum parah. 
 
Bila keadaan terlalu menekan, orang gaji pula mengundur diri.  Apa rasa?  Tak mengapalah, takkan mahu menahan orang bekerja dengan kita sehingga akhir hayat.  Kelam-kabut juga diawal ketiadaan Bibik.  Hari ini alah bisa tegal biasa.
 
Jika mahu dihurai satu persatu banyak lagi episod duka.  Harap sangat Allah berhenti menguji di tahun 2013.
 
Bukan tiada kenangan manis, kehidupan keluarga ada pahit manisnya dan itulah momen kegembiraan buat kami semua.  Biarlah sepayah mana pun, we lean from one to another and none of us will fallback.   
 
Keluarga adalah satu anugerah tidak dapat dinilaikan.  Terima kasih Ya Allah atas kurniaan tersebut.  
 
And I am lucky enough to have a boyfriend like him.  14 years together, he never change although he could do so.  I just don't know how to express my love and my thankful for whatever he had done.  
 
Segala budi baik, kasih sayang dikongsi bersama hanya Dia Yang Maha Esa dapat membalas.  Terima kasih juga sanggup berada di dalam kesusahan tanpa mengira kesenangan untuk diri sendiri.
 
Kerana itu, amatlah berharap segala sisi gelap 2012 akan berlalu dan awan larat hitam tidak lagi memayungi kami semua.  Biarlah kami bermula dari bawah, dari pangkal demi mendapat kebahagiaan abadi.
 
Selamat datang 2013!  Tiupkanlah perkhabaran gembira supaya tiada lagi gundah di hati.  Hidup tak selamanya berduka, sampai masa sinar bahagia pasti menyuluh terang.
 
Selamat tinggal 2012, walaupun duka dan airmata 2012 tetap menjadi lipatan sejarah.  Biarlah disimpan di memori yang akan sesekali saya toleh ke belakang.
 
Saya memasang azam, menggantung harapan, meletakkan cita-cita sebagai pertaruhan.  Tidak semua bertukar kenyataan pun tidak mengapa sekurang-kurangnya saya berusaha ke arah itu.
 
 Permulaan tahun baru, belajar edit gambar menggunakan Photoscape.  Orang lain dah berzaman tahu guna, saya baru tahu nak buat seperti di atas




nota:  segala bermula dengan baik..
 
    

No comments :

Post a Comment