Followers

Saturday, March 30, 2013

::Rindu Mak::

Entah kenapa hati galau tak menentu.  Fikiran menerawang memikirkan yang bukan-bukan.  Belum lagi dengan masalah sedia ada harus berdepan.  
 
Rasa rindu pada Arwah Mak kuat sangat.  Asyik teringatkan dia sahaja :(  Baru tersedar kelmarin genap 15 tahun Allahyarham meninggalkan kami semua.  Time flies!
 
Mak ibu GM, kiranya dia nenek saya tapi kerana dari kecil biasa panggil Mak terus melekat sehinggakan adik-adik lain turut ikut sama.
 
Arwah Mak meninggal dunia 2 hari sebelum keputusan SPM saya keluar.  Tak sempat dia tahu keputusan serta meraikan kejayaan.  Bertahun lamanya saya merawat kesedihan atas kehilangan dia.
 
Bukan tak redha cuma perancangan Allah ketika itu seolah tidak menyebelahi saya dan pada waktu itu saya sering menyalahkan takdir.  
 
Takdir di mana saya merupakan cucu paling rapat tetapi saya tiada di saat dia menghembuskan nafas terakhir.
 
Sebaik sahaja tamat SPM, saya memilih tinggal di kampung.  Pertamanya kerana mahu ambil lesen kereta dan keduanya ambil kelas komputer.  Kenapa tak di KL?
 
Faktor utama harga.  Ambil lesen dan yuran kelas komputer jauh lebih murah berbanding di KL.  Faktor kedua kononnya mahu cuba hidup berjauhan dari keluarga.  Persediaan masuk Universiti kononnya.  
 
Yalah, mana pernah saya berpisah dengan keluarga terutama Mak dengan Onyang ketika itu.  Dari kecil mereka berdua bertungkus-lumus membesarkan kami 5 beradik.
 
Sepanjang 3 bulan I really enjoy my time especially hang out with all cousins.  Kebetulan pula dalam waktu terdekat kakak sepupu bakal melangsungkan perkahwinan.  Setiap hari masa diisi sebaik mungkin.
 
Menambahkan rasa ralat, saya juga jarang telefon rumah.  Entah kenapa hati dibawa jauh dari rumah.  Bukan tak rindu dengan Mak ketika itu, cuma..entahlah..
 
Seminggu sebelum Allahyarham meninggal dunia saya berjaya lulus lesen kereta.  Hati gembira tak terkata lebih-lebih lagi GP janji mahu hadiahkan sebiji kereta.  
 
Malam terus telefon Allahyarham kongsi kegembiraan.  Saya masih ingat lagi kata-kata saya pada Mak hari tu, "Mak, nanti Along boleh bawa mak naik kereta.  Tak payah lagi Mak nak naik bas pergi ke mana-mana"
 
Kegembiraan saya hanya dijawab dengan satu balasan hambar "Insyaallah kalau umur panjang".  Sebelum letak telefon Allahyarham sempat bertanya bila balik rumah dan saya balas minggu depan.
 
Dalam menanti kehadiran Jumaat akan datang, sepanjang minggu saya langsung tidak menghubungi Mak.  Bukan itu sahaja, teringat pada dia pun tiada malah confirm hari apa nak balik KL pun tak beritahu sesiapa.
 
2 hari sebelum keputusan SPM keluar iaitu hari Jumaat, ibu saudara saya bawa pulang ke KL.  Masih jelas lagi dalam ingatan kami bertolak pulang dari Perak lebih kurang jam 6 petang.
 
Suratan sudah tertulis, Allahyarham meninggal dunia sewaktu saya dalam perjalanan pulang iaitu lebih kurang jam 8.00 malam, lepas Maghrib dan saya hanya ketahui Mak meninggal dunia tatkala berada di simpang jalan masuk rumah.
 
Itu pun adik sepupu telefon ibu saudara bagi menyampaikan berita.  Perasaan waktu itu tak terkata!  Lima minit selepas panggilan telefon saya tiba di depan rumah dan jenazah Allahyarham terbujur menyambut kepulangan saya.
 
Ya, saya menangis macam orang gila.  Menjerit minta dia bangun semula dan jangan tinggalkan saya.  Saya tak pandang orang kiri kanan lagi.  Yang saya tahu saya mahukan Allahyarham.
 
Dan waktu itulah saya menyalahkan keadaan.  Menyalahkan diri sendiri dan saya turut menempelak ketentuan.  Sepanjang urusan jenazah saya langsung tidak mendekati tubuh Allahyarham.
 
Saya sedih bercampur marah.  Tapi tak tahu nak marah pada siapa?  Ada juga saya marahkan arwah ketika itu kerana meninggalkan saya tanpa memberi peluang berjumpa dengannya.  
 
Itulah akal cetek seorang gadis berusia 17 tahun ketika itu.  Seharian saya hanya membaca Yassin dan Al-Quran dan tidak mahu berbual dengan sesiapa.  
 
Bila terpandangkan wajah adik-adik hati rasa marah dan benci kerana mereka ada di sisi di saat-saat akhir Allahyarham.
 
Mungkin kebetulan ataupun Arwah memang dapat merasakan saya akan pulang, dia sempat masak lauk kegemaran saya, Sambal Goreng.  Itulah masakan terakhir Arwah buat saya!
 
Dapat keputusan SPM baik pun saya sudah tidak ada sebarang perasaan.  Seronok kerana berjaya tapi rasa tak berguna pun ya juga bilamana antara orang paling penting dalam hidup dah tiada.
 
Yang saya tahu waktu itu, saya mahu segera pulang ke kampung dan bawa rasa sedih jauh dari rumah.  Berada di dalam rumah adalah saat paling menyeksakan bilamana setiap ruang rumah pasti akan terbayang Allahyarham.
 
Kalau tak silap seminggu selepas Mak meninggal, saya pulang semula ke kampung.  Di sana saya melayan kesedihan dan berperang dengan diri sendiri disamping menyalahkan takdir.
 
Hampir setahun juga saya ambil masa untuk terima kenyataan.  Habis semua baju-baju Allahyarham saya kutip dan bawa pulang ke UiTM.  Setiap kali sarung ke badan rasa Arwah dekat dengan saya.
 
Hari ini tidak lagi.  Dah lama saya terima kenyataan kehilangan orang yang saya sayang.  Bila difikirkan semula, saya tahu kenapa Allah merencanakan semua itu.  Banyak hikmah terselindung disebalik apa yang berlaku.
 
Setiap kali selepas solat saya tak pernah lupakan mereka,  Mak, Onyang, Nina, Atuk, Aki.  Semakin meningkat usia semakin rindu dengan mereka semua terutamanya Mak dan Onyang.
 
Masa lampau tidak akan mampu diulangi tetapi hadirnya mereka adalah satu anugerah buat saya dan keluarga.  Kami tidak senang, tidak juga susah tapi kami bahagia dengan kehadiran satu sama lain.
 
Fuuhh!! Kenapa ya saya bercerita di sini?  Tak ada orang tahu pun apa saya rasa dan lalui ketika itu.  Saya pernah ceritakan pada Abang selepas beberapa tahun berkawan.  Siap menangis lagi bila bercerita.
 
Seriously, separuh jalan menyiapkan entri ini saya sendiri mengalirkan airmata bila mengenangkan segala apa dilalui.  
 
Sering saya terfikir, kalaulah Mak masih ada bagaimana agaknya keadaan kami sekeluarga?  Pastinya riuh-rendah lebih-lebih lagi dengan kehadiran Little Munchkins 3 orang di rumah.
 
Al-Fatihah buat Allahyarham Mak, Rafeah bt Din.  Moga Allah mencucuri rahmat, ampunkan segala dosa-dosa Allahyarham dan tempatkan Mak dikalangan orang beriman. 
 
 Dari Google Image
 
 
 
 
 
nota:  rindu...  
 
  
 
 
 
    
 
 
 
    
 
 
 
   

No comments :

Post a Comment