Followers

Monday, May 20, 2013

::Jangan Mudah Menghukum::

Hidup di dunia ada pasang surutnya.  Hari ini kita di atas, esok lusa belum tentu lagi.  Semua orang pun akan melalui perkara sedemikian.  
 
Apa yang membezakan bagaimana kita melalui dan mengatasi situasi tersebut.  Bila di atas jangan lupa rumput di bumi dan bila di bawah, jangan terlalu impi memetik bulan dan bintang.  
 
Itu yang saya sering tanam dalam diri sebagai satu peringatan supaya saya tidak sombong dan bongkak juga tidak mudah mengalah atas desakan kehidupan.
 
Sebenarnya tak ada kena mengena pun dengan saya di atas atau di bawah.  Kan itu semua putaran hidup, cuma tak tahu bila kita akan berada dikedudukan tersebut.
 
Tapi saya kurang gemarlah sikap sesetengah manusia yang suka mencemuh.  Mencemuh orang lain tak kira tempat.
 
Bila orang lain di atas, dinista dengan kata-kata kurang enak.  Cepat doakan orang itu jatuhlah, orang itu lupa dirilah, bongkaklah dan sebagainya.
 
Pabila orang tersebut mula bergerak ke fasa lain, sudah dipadankan orang itu pula.  Padan mukalah, itu semua balasan orang berdosalah, ambil bahagian sekaranglah dan macam-macam lagi.
 
Pernah tak mereka terfikir siapa kita manusia di dunia ini untuk menghukum orang lain?  Adakah kita tahu semua perancangan Yang Maha Esa?  
 
Sungguh asyik melontar kata buat orang lain, nasib sendiri macamana pula?  Tak terfikir yang kita juga boleh jadi seperti mereka satu hari nanti?
 
Bukanlah saya mahu tunjuk baik cuma rasa kurang senang dengan sikap manusia.  Kalau dah tak gemar dengan seseorang, ada sahaja pandangan negetif dilempar.  
 
Apa salahnya doa sahaja yang terbaik tak kira orang itu berada di atas mahupun di bawah.  Kita ni kalau sentiasa doakan orang lain, orang lain pun bermurah hati mendoakan kesejahteraan kita.  
 
Hidup di dunia selain dari usaha dan kerja keras doa turut main peranan.  Kalau berat hati nak doakan pun ambil langkah mudah dengan IGNORANCE apa orang buat.  

Bukan beerti kita tidak boleh ambil tahu langsung orang lain cuma ada hadnya.  Ambil tahu sekadar mana perlu, nasihat mana perlu.  
 
Tapi yang paling penting kita pegang amanah dengan tidak menjaja cerita orang lain ke pihak satu lagi dan kemudian henti rasa sakit hati tak tentu pasal.

Jika benar dia berjaya dan bongkak biarkan sahaja.  Pernahkah kita tahu betapa dia berusaha untuk meraih kedudukan sedemikian?  Ada kita ambil tahu dahulu dia susah dengan kehidupan sehingga dia bertekad untuk berada di tangga teratas?

Tatkala jatuh menjunam, perlu  ke kita turut sama menambah penderitaan dengan kata nista?  Cakap itu balasan Allah, pernah tanya pada diri agaknya apa pula balasan Allah pada kita?
 
Saya pun adalah juga kadang-kadang terlepas laku bila melihat keadaan tertentu individu lain tapi dengan segera ingatkan diri supaya tidak melampaui batas.
 
Bimbang Allah kembalikan hazab tersebut buat saya atas keterlanjuran berkata-kata.  Setiap hari saya cakap pada diri sendiri supaya berubah ke arah kebaikkan secara perlahan-lahan.
 
Mana ada manusia tak melakukan kesilapan tapi kita boleh sedar dan segera menjadikan kesilapan sebagai satu tauladan dan pedoman.  
 
Tiba-tiba entri beremosi mengambil tempat pulakan?  Entah, tadi secara spontan saya berang bila ada rakan A menelefon saya mengatakan rakan B sedang mendapat bahagian di atas kesombongannya satu waktu dahulu.
 
Dalam keadaan mamai dan separuh sedar dek penangan ubat, saya terus matikan talian telefon sehingga terbawa dalam mimpi sehingga marahkan rakan A macam kena rasuk.  Dahsyat kesan khas! hahaha...
 
Buat dia, maaflah ya.  Tak maksud nak bertindak kurang sopan tapi barangkali usia sudah semakin tua dan saya sudah tidak berminat lagi dengan perkara-perkara sedemikian :( 

Ingatlah jangan pernah menghukum kerana setiap manusia melalui kehidupan yang penuh rahsia.  Bila kita menghukum secara tak langsung kita mempertikai kerja Allah SWT!




nota:  masih pening-pening lalat....


 
 

No comments :

Post a Comment