Followers

Wednesday, June 26, 2013

::Tak Faham Betul::

Memulakan hari Rabu dengan bacaan IPU 114 jam 7 pagi dan semakin baik menjelang tengahari.  Namun cuaca tetap murung tidak sealiran dengan kegirangan di hati bila jerebu mula berlalu pergi.

Sudah beberapa hari berkurung di rumah enggan lemas dalam kabut asap yang sungguh menyesakkan dada.  Kasihan saya pada rakan-rakan terpaksa juga melawan ganas jerebu demi mencari rezeki halal.

Tak apa, Allah tahu segala niat murni.  Insyaallah akan sentiasa dilindungi.  Sekolah pun sudah dibuka semula cuma Buah Hati masih lagi di rumah. 

Biarlah sehingga keadaan sedikit baik, dia bukan boleh tahan dengan keadaan sebegini.  Senang sahaja dijangkiti.  Silap langkah dengan mudah menjadi tetamu hospital.

Tapi dalam keadaan begini, masih ada lagi ibu bapa ambil remeh tahap kesihatan anak-anak.  Bukan nak kata saya pandai sangat tapi perkara sebegini tak perlu rasanya untuk ditekankan.

Dalam keadaan jerebu hebat meliputi awan, boleh pula sepasang suami isteri ini bawa anak bersiar-siar menaiki motor tanpa sebarang perlindungan.  Anak didirikan dan motor dipandu secara perlahan, kononnya menikmati pemandangan.

Di mana kewarasan sebagai orang dewasa?  Di tengah kekalutan Kerajaan mengumumkan keadaan jerebu di paras bahaya, masih ada lagi tidak endah amaran!

Bukan itu sahaja, ada juga saya lihat budak-budak sibuk main bola di padang, orang gaji menolak kereta sorong di dalam ada anak bawah tiga tahun bagi tujuan berjalan-jalan dan macam-macam ragam lagi.

Saya yang dewasa ini dengan mudah perit hidung bila jerebu mula meneroka ruang rongga hidung, apatah lagi budak-budak.  Ibu bapa mereka tak ambil kisah betul, agaknya mereka punya klinik sendiri.

Ambillah endah sedikit keadaan sekeliling.  Jika anak jatuh sakit dengan mudah penyakit tersebut berjangkit pada orang lain.  Cubalah jadi ibu bapa yang bertanggungjawab bukan ambil mudah dalam semua perkara.






nota:  tak fahamkan dengan pemikiran sesetengah orang...


 

No comments :

Post a Comment