Followers

Wednesday, July 24, 2013

::Berhentilah Menghukum - Kes Ibu Tinggal Anak Dalam Kereta::

Gigih berpuasa hari ini.  Menahan segala dugaan yang datang dari pagi membawa ke petang, tup-tup dalam 6 petang...hmm...dah boleh mula cuti puasa.  
 
Hai la  'best friend', sekarang datang tak beri sebarang isyarat khusus pun ya?!
 
Rasa rugi sangat sebab kurang dari 2 jam sahaja lagi nak berbuka.  Tahan jugalah sampai 7.30 malam, makan sekali dengan orang berpuasa.
 
Tapi itulah, kiranya puasa hari ini sudah tidak sah dan kena gantilah nanti.  Mula-mula ingatkan bolehlah dikira sebab menghampiri waktu berbuka, sekali bila Google dalam internet rupanya tak boleh.
 
Lagi 5 minit dah nak berbuka pun, kalau sah kena secara automatik puasa sepanjang hari dikira batal!
 
Tak apalah, anugerah Allahkan.  Terima dengan hati terbuka.  Mulai esok tiada alasan tak larat untuk melunaskan kerja tertangguh.  Masa yang elok sebenarnya. 
 
Baru-baru ini, selain isu Ashraf Muslim, cerita pilihanraya kecil di Terengganu serta kisah ibu tertinggal anak di dalam kereta mendapat tempat di hati kita semua.
 
Tak minat nak cerita perihal Pilihanraya Kecil Besut.  Tengok sahaja nanti siapa bakal pemenang.  Semenjak pilihanraya lalu, hati sedikit bergalau dengan keputusan.  Ala, malaslah...
 
Kisah ibu tertinggal anak di dalam kereta selama lebih 5 jam tu menyayat hatikan?  Sana-sini salahkan guru tersebut di atas kecuaiannya sehingga mengundang musibah.
 
Mungkin benar dia cuai, tapi itulah namanya takdir.  Saya belum menjadi ibu lagi, tetapi hati ibu mana yang pernah tenteram tatkala berada di luar rumah dan anak-anak tiada disampingnya?
 
Paling tidak selang 1-2 jam mesti terlintas difikiran, apa agaknya anak di rumah sedang buat?  Dah makan/minum susu ke? Tidur ke?
 
Tapi pada hari tersebut ibu mangsa langsung tidak teringatkan anaknya.  Suratan sudah tertulis.  Mungkin pada hari itu Allah tutup pintu hati dia untuk teringatkan anak.
 
Seandainya dia terkenangkan anaknya sepanjang berada di dalam sekolah, saya yakin dia akan sedar yang anaknya tertinggal di dalam kereta.
 
Allah sudah menulis ajal anak tersebut sebegitu rupa dan dalam masa yang sama insiden tersebut buat pedoman pada kita yang masih hidup.
 
Saya tahu ramai menghentam Si Ibu di atas kelalaiannya.  Macam-macam bahasa kesat dilemparkan.
 
Usahlah disalahkan terus Si Ibu kerana segala yang berlaku pasti menghantui hidupnya sampai bila-bila.  Janganlah kita menambahkan luka di dada.
 
Walaupun tak kenal, apa salahnya kita berdoa semoga mereka sekeluarga kuat semangat untuk terus hidup di hari-hari mendatang.
 
Kenapa saya seolah menyebelahi ibu mangsa?  Ini kerana kami sekeluarga pernah melalui apa yang mereka rasa.  Tapi kalaulah terus menyalahkan sesama sendiri, adakah yang pergi akan kembali?
 
Pernah saya ceritakan di sini.  Atas kecuaian dan kelalaian kami semua, adik yang disayangi pergi buat selama-lamanya.  Makan masa juga GM pulih semangat sementelah kejadian berlaku di depan mata.

Tapi seperti yang saya katakan tadi, perlukah meletakkan kesalahan secara total di bahu orang yang menanggung?  Dalam kes kami, adakah GM harus dipersalahkan?  Atau kami adik-beradik?  
 
Balik pada asas kehidupan, segalanya suratan.  Sebagai insan lemah haruslah menerima dengan penuh redha.

Segala apa berlaku harus  dilihat dari sudut positif.  Benar, siapa dapat menerima kenyataan anak sekecil 5 tahun terpaksa bergelut dengan keadaan amat memeritkan?  

Mula-mula baca saya sendiri mengucap panjang.  Terbayang bagaimana Si Anak berusaha menahan diri dengan kekurangan udara, cuaca panas, haus, lapar dan sebagainya. 

Kita yang dewasa ini pun belum tentu dapat menahan, apatah lagi si kecil comel.  Tapi dengan kejadian tersebut kita dapat jadikan iktibar.
 
Berapa ramai sebenarnya dari kita ambil remeh isu tersebut?  Di mana sahaja, dengan senang hati ibu bapa meninggalkan anak-anak di dalam kenderaan dengan alasan payah mahu berangkut anak.
 
Ada pula tak sampai hati nak kejutkan anak sedang lena tidur, maka ambil keputusan tinggalkan sebentar.  Risiko bukan?
 
Selepas ini ibu bapa di luar sana akan lebih berhati-hati dan beringat.  Saya sendiri sudah berpesan pada keluarga, sebelum keluar kereta periksa dahulu.  
 
Manalah tahu budak-budak main sorok-sorok ke?  Kita tak sedar, terus matikan enjin keluar dari kereta.  Segalanya berkemungkinan bukan?
 
Di bulan mulia ini, mari kita sama-sama berdoa keluarga mangsa akan terus tabah dan redha.  Kembalikan semangat Si Ibu yang bergalang hatinya. 
 
Berhentilah memaki-hamun dan menjadi hakim dunia.  Lebih indah kita kirim doa serta kata perangsang buat mereka sekeluarga.
 
Jika benar Si Ibu bersalah, biar Allah sahaja menghukum tapi saya yakin anak comel itu tempatnya di syurga menanti Si Ibu datang padanya satu hari kelak.
 
Sama seperti GM, anaknya sabar menanti di sana menghitung waktu untuk bertemu!  Al-Fatihah buat mangsa dan keluarga juga tak lupa buat mereka yang tiada!
 
 
 
nota:  perut kejang!!
 
 
 
 
 
 

Monday, July 22, 2013

::Semput..Hahaha::

Kembali bersua di hari baru, minggu baru.  Puas dengan hujung minggu yang lalu?  Pasti ramai sibuk buat persiapan kedatangan Syawal.
 
Khabarnya jalan-jalan utama sekitar Kuala Lumpur sesak dari minggu lepas lagi.  Saya masih belum punya kesempatan untuk menjadi sebahagian dari lautan manusia di atas jalan raya.
 
Mana nak ada masa, sedang gigih siap tempahan.  Hujung minggulah masanya saya punya kelebihan bila Abang turut sama hulur bantuan.  

Mujur tahun ini usahasama dengan Ayu Bam Bam.  Jika tidak pasti sudah terlantar di atas katil dek keletihan amat sangat.  Semput!! hehehe....

Semalam hari terakhir saya buka tempahan untuk pembeli yang ingin kuih dihantar melalui pos.  Dah ramai merungut servis Pos Laju sangat menurun.  Yalah, sana sini guna khidmat Pos Laju manalah tak sesak.
 
Makanya, sebelum kuih saya tersangkut di mana-mana pejabat pos, adalah lebih baik saya ambil langkah awal dengan menghantar tempahan awal meski Raya masih jauh lagi.
 
Tapi tempahan untuk penghantaran biasa masih lagi dibuka sehingga hujung minggu ini.  Itu pun bergantung kepada bilangan kuih perlu disiapkan.  
 
Andai rezeki melimpah, lebih awal dari itu sudah saya tutup.  Kalau tidak saya dan Ayu Bam Bam akan beraya dengan muka seperti Popiah..hahaha...
 
Sebenarnya banyak bicara mahu dikongsi bersama tapi itulah, kekangan masa.  Saya buka FB pun hanya untuk melihat Inbox pembeli yang nak order.  
 
Aktiviti skodeng akaun orang lain pun dihentikan seketika.  Apalah agaknya cerita laman sosial?  Banyaklah yang saya terlepas segala gosip dan kisah sensasi.  
 
Entri ini dihasilkan saja-saja sambil melepaskan semput menyiapkan tempahan.  Agak tepu juga otak bilamana tangan laju menggulung, mata mengantuk.  Sebab itulah bersidai di sini seketika.
 
Nanti-nanti saya sambung bicara ya... ;)  Bagi yang berminat nak tempah POPIAH BERSIRA SAMBAL, KEK BATIK, KUIH SIPUT, SAMBAL DENDENG boleh sahaja email ke:iluvclothez@gmail.com atau add sahaja saya di FB, senang kita berurusan melalui Inbox sahaja. 

Semuanya dah bertuan.  Setiap hari belum ada yang kosong tapi masih boleh tempah kalau berminat.  Dijamin puas hati! =)
 
 
 
 
nota:  Alhamdulillah....
 
         
 
 

Saturday, July 20, 2013

::Lama Tak Kemaskini::

Lamanya tak berkongsi kisah sementelah terlalu sibuk dengan misi menyiapkan tempahan.  Alhamdulillah, order masuk bertubi-tubi.
 
Mana pembeli lama, semua pakat order lebih dari 3 paket, yang baru-baru tu biasalah tapi itulah bersyukur sangat.  Tengok pada permintaan mungkin tempahan tutup lebih awal dari sepatutnya.
 
Setakat hari ke-10 berpuasa, Alhamdulillah masih belum bercuti :)  Kalaulah dapat berpuasa sebulan, alangkah indahnya! (mimpi jelah).  Bukan apa, bila nak menggantikannya punyalah liat.

Sekejap sahaja dah seminggu lebih umat Islam menjalani Rukun Islam Ke-3.  Tinggal kurang lebih tiga minggu sahaja Hari Kemenangan bakal menyusul.  

Kalau dulu waktu kecil, hati girang tatkala hitungan hari mendekati Syawal tapi bila dah berusia serasa sayangnya nak lepaskan bulan penuh barakah.  Bimbang tidak akan bersua lagi di tahun hadapan.
 
Ramai tak rakan-rakan hilang berat badan?  Nampak gaya tahun ni tidak seperti tahun sebelumnya.  Selera makan, Masyaallah!! Macam ada membela.  Masuk sahaja apa terhidang.
 
Tapi bila singgah ke PaRam tak ada pula hidangan menjentik rasa.  Kadang-kadang pusing sehingga 3 kali, masih buntu apa mahu dibeli.
 
Ada masa GM cuti masak, itu yang kena beli di luar.  Beli pun tak banyak mana, lebih suka hidangan lengkap seperti Nasi Kukus, Nasi Lemak, Nasi Tomato dan seangkatan dengannya.
 
Tadi beli Nasi Lemak Ayam Goreng Berempah.  Cuba teka berapa harga?  RM6 untuk set Nasi Lemak yang ayamnya alahai...
 
Terkejut juga bila diberitahu.  Selalunya Nasi Lemak Ayam dalam RM4-RM4.50.  Dah beli kenalah bayar.  
 
Tak adalah sedap manapun, tapi tak mengapa.  Sedekah sahajalah pada makcik tersebut.  Salah saya juga tak bertanya sebelum membeli.  Salah makcik tu pun ada sebab dia tak pamer harga.
 
Lagi pun harga ayam tengah mahal.  Bak kata seorang Menteri, "Kalau ayam mahal berhentilah makan ayam!!"    
 
Beberapa orang teman saya memboikot PaRam bilamana harga dikenakan tidak munasabah.  Rasanya masalah perletakkan harga pada makanan memang terjadi di mana-mana.  
 
Semua peniaga pakat kaut untung sebulan Ramadhan selagi boleh.  Hari-hari lain pulangan tak seperti ini barangkali.  Suka hatilah!
 
Agak-agak mahal, tak perlu beli.  Bukan rezeki peniaga untuk dapat duit dari kita ;)  Betul tak?
 
Alamak, mata semakin layu.  Panggilan tilam menguasai minda.  Kalau punya masa lapang, sambung berceloteh.  Mana tak mengantuk, celik mata hadap Popiah.  Ni nak tidur pun masih ada kerja belum selesai.
 
Sesiapa nak beli Popiah Sira Sambal bolehlah beli.  Tengok entri melekat untuk tahu harga dan cara nak beli.  
 
Oh boleh juga Whatsapp:  012-2031345 / 019-2301308 (sempat lagi tu nak promo..hehehe)
 
 
 
nota:  bersyukur....
 
 


 
 
 
 

Friday, July 12, 2013

::Selamat Berpuasa Semua::

Walaupun dah masuk hari ke-2 umat Islam menunaikan Rukun Islam ketiga, masih belum terlewat lagikan bagi saya mengucapkan SELAMAT MENJALANI IBADAH BERPUASA pada semua muslimin-muslimat sekalian.
 
Semoga kita rebut peluang sedia ada sebaik mungkin untuk kumpul pahala di akhirat kelak.  Manalah tahu ini tahun terakhir kita bersua dengan bulan penuh rahmat dan keberkatan. 
 
In Shaa Allah, kita sama-sama buat yang terbaik dan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.  Solat Sunat Tarawih seboleh mungkin dilaksanakan.
 
Baru 2 hari berpuasa, perut seakan tidak mahu kompromi dengan keadaan.  Dari berbuka semalam sehinggalah ke hari ini sakitnya yang amat.  Tak tahu di mana silap :(
 
Bila sakit perut, satu badan terasa kesannya terutama bila mengalami kesukaran untuk bernafas tapi hari ini Alhamdulillah masih mampu bertahan melaksanakan ibadah puasa.
 
Moga-moga sakit perut ini segera reda dan tak akan menjadi penghalang untuk terus berpuasa.  Macam budak-budak pula nanti, tak larat berpuasa.  Boleh geng dengan Buah Hati!
 
Lagi pun, tempahan untuk kuih raya dah mula masuk.  Ada yang nak ambil awal, kenalah siapkan cepat.  Kalau berterusan sakit macamana nanti, takkan nak harapkan Ayu Bam Bam sahaja?
 
Tahun ni mula awal, tak adalah kelam-kabut macam tahun sudah.  Mula awal pun, bila order masuk banyak cuak juga.  Yalah, mana nak kejar kerja lagi, gulung popiah lagi.  Berdebar dibuatnya!
 
Semalam tak berkesempatan jengah Pasar Ramadhan (PaRam), sedikit sibuk bantu GM menyediakan juadah berbuka puasa.  Hari ini baru ada peluang.
 
Tapi itulah, adakah peniaga sudah hilang modal apa yang ingin diniagakan atau saya sudah terlalu tua sehinggakan begitu fussy?  Semua dijual tak berkenan di mata.  Pusing 2-3 kali masih belum terbuka selera nak membeli.
 
Kalau dulu pantang terlintas, ada sahaja idea membeli.  Jika bukan untuk diri sendiri, beli untuk orang lain di rumah.  Sekarang?  
 
Mungkin juga faktor harga menyebabkan rasa minat untuk beli semakin turun.  Yalah, kalau lauk mana ada lagi peniaga mahu jualkan dengan harga serendah RM1-RM2.  Paling murah RM3.
 
Bila mintak sedikit atau tanya boleh tak nak RM2, penjual gerenti tarik muka masam dan menggelengkan kepala tak boleh :(  Bukannya tak mahu beli banyak tapi membazir sahaja nanti.
 
Kuih-muih pun sudah ada yang menjual RM0.50 sebiji tapi masih belum ramai lagi.  Purata menjual dengan harga RM0.40 sebiji.  Dah tak dapat 3 biji RM1.  Itu di kawasan saya, tak pasti pula di tempat rakan-rakan.
 
Pabila harus mengeluarkan sejumlah harga agak tinggi, tatkala makan rasa mengecewakan, terus rasa hampa dan tak berbaloi dengan apa dibelanjakan.  Sebab itu teragak-agak mahu membeli.
 
Nampak gayanya aktiviti ke PaRam akan berkurangan tahun ini melainkan ada yang berjaya memikat selera.  Lagi pun di kawasan tempat tinggal saya, banyak PaRam.  Rajin dengan tak rajin sahaja mahu menjengah.
 
Semalam lauk berbuka GM masak, hari ini GM tutup dapur.  Suka atau tidak kena beli luar jugalah itu yang singgah ke PaRam yang tak berapa nak meriah hasil jualannya.
 
Esok-esok tak tahu lagi, puasa masih berbaki lebih kurang 27 hari.  Perut ni pula tak habis-habis dengan sakit, sempat ke nak full swing berpuasa, Wallahualam.
 
Sedikit update berkenaan #shoppingraya2013 Projek Iqra', masih ada 104 orang lagi anak yatim belum ditaja.  Apa kata sempena Ramadhan ini, ambil kesempatan kutip saham akhirat.
 
Boleh sahaja kongsi 10 orang = RM18.80 seorang untuk menaja seorang anak yatim= RM188.  Tinggal lagi 9 hari sahaja lagi untuk merealisasikan impian mereka sambut lebaran dengan penuh kegirangan.
 
 
 
  
 
nota:  Alhamdulillah...
 
 
 
 
 
 
 

Sunday, July 7, 2013

::Sedihnya::

Sepatutnya keluarga Abang buat kenduri kecilan sempena kedatangan Ramadhan tapi tunda keesok hari.  Bila-bila pun tak kisah sementelah tiada sebarang perancangan.
 
Dah tak jadi kami atur program supaya hari terluang dipenuhi, tambahan bulan puasa nanti pergerakan terhad.  Kalau ada rezeki, tersangkut menghadap popiah pula.
 
Boleh pula, kereta meragam.  Aduhai, di kala kewangan amat-amat diperlukan waktu itulah Sang Mobil menuntut sedikit perhatian :( .  Nak ke tak nak ke tetap jugalah korek tabung.
 
Dugaan nak sambut Ramadhan.  Mujur meragam tatkala bersama Abang, kalau tidak mahu menangis melalak tepi jalan.
 
Dah memang perasan dalam seminggu ni bila kereta sedikit sukar untuk dihidupkan.  Menyangka masalah bateri, rupanya lain pula semput.
 
Terus panggil Ravi, mekanik on call.  Kalau tersangkut di mana-mana sekitar Lembah Kelang, memang dia sedia datang memberi perkhidmatan.
 
Few times juga pakai servis Ravi ni.  Okaylah, kerja cepat dan caj perkhidmatan berpatutan.  Sekali tengok dia dah tahu apa masalah.  Selesai tukar, sekali pulas kereta berjaya dihidupkan.
 
Tanpa dirancang, melayang RM200++.  Nak buat macamana?  Takkan nak biarkan kereta tak berstart.  Lagipun nak bergerak macamana nanti.
 
Adalah hikmah tersembunyi disebalik segala musibah melanda.  Mungkin juga sebagai peringatan supaya tidak lalai dalam memeriksa kenderaan.  
 
Nasib baik dekat sahaja, dibuatnya meragam luar dari KL dah jenuh nak mencari bengkel.  Lagi besar agaknya wang harus dibelanjakan.  Jadi bersyukur dengan ujian tersebut.
 
Sedih memang sedih tapi itulah nak buat macamakan? Harapnya kereta tak buat hal dah selepas ini.  
 
Esok ada few thinks need to be settle before Ramadhan.  Kalau tak selesaikan confirm selepas raya baru boleh settle.
 
 Di luar perancangan.  Akibat lalai membelai, kereta menuntut belaian manja!




nota:  dalam bergolak yang amat...
 
  
 
 

Saturday, July 6, 2013

::Macam-Macam Cerita dan Terkini #shoppingraya2013 Projek Iqra'::

Jemari serasa gatal mahu menari tetapi sayangnya isi penceritaan seakan tiada.  Lama merenung jauh mencari intipati tetap tidak terzahir.
 
Hujung minggu kembali menjengah.  Sudah ada perancangan mengisi masa terluang?  Pasti ramai di antara kita akan keluar membeli-belah terutamanya yang mengelak shopping sewaktu berpuasa.
 
As for me, kalau shopping awal-awal tak terasa kemeriahan.  Setahun sekali teringin merasa berhimpit-himpit dengan orang lain di pusat membeli-belah sambil berebut-rebut membeli barang :)
 
Lagi lewat lagi seronok sebab itu saban tahun malam raya masih keluar mencari barang.  Kadang-kadang tak membeli pun tapi itulah gian melihat gelagat orang lain pula.
 
Lahir sebagai anak kota, bukan ada program menarik pun malam raya.  Lainlah di kampung.  Banyak kerja harus dilunas sebelum pagi menjelma.
 
Pernah beberapa tahun dahulu merasa sambut Aidilifitri di desa, kampung halaman GP.  Tipulah kalau saya kata tak seronok kerana ianya satu pengalaman berbeza.
 
Tapi tak pasti kenangan tersebut bisa berulang kembali.  Biarlah ianya menjadi momen indah di dalam sanubari.  Sudah jauh kenangan itu kami tinggalkan.  
 
Yang penting keluarga tercinta sentiasa ada di sisi bagi menyambut hari mulia.  Eh, kenapa bercerita hal raya pula walhal puasa pun belum bermula lagi?
 
Anak-anak di rumah keletah semakin bertambah.  Apa pula gelagat mereka sepanjang Ramadhan kali ini?  Pasti meja makan berganda kekecohan dengan mulut murai anakanda bertiga.
 
Buah Hati dah boleh berlatih puasa tahun ini.  Berjaya ke tidak dia menahan lapar dan dahaga.  Makan tu tak kisah sangat, tapi minum air itu satu cabaran besar buat dia.
 
Belum apa-apa sudah tagih janji.  Beri dia tawaran ganjaran sekiranya berjaya berpuasa, tapi dengan selamba demand RM100 seandainya dia sukses. 
 
Melampaukan?! hehehe...budak-budak sekarang dah tak pandang RM5/RM10.  Hanya wang besar mewarnai birai mata.  Untung anak-anak zaman sekarang.
 
Seingat saya dahulu tawaran berpuasa hanya bernilai RM1 untuk satu hari itu pun nasib.  Selalunya lebih kepada "janji tinggal janji".   
 
Berani nak bersuara lebih-lebih sebagai tanda protes?  Sebelum kena jeling baik jeling pada diri sendiri...hahaha... 

Oh ya, Alhamdulillah saya berjaya terpilih sebagai sukarelawan bagi #shoppingraya2013 Projek Iqra'.  Tak sangka sebenarnya dan tentunya saya teruja menanti tarikh tersebut.

Setakat hari ini masih ada berbaki 166 orang anak yatim belum mendapat tajaan.  Bagi sesiapa berminat untuk menaja, bolehlah lakukan dengan segera.  Tinggal 15 hari sahaja lagi.

Insyaallah kegembiraan anak-anak tersebut akan membawa seribu rahmat dalam kehidupan kita kelak.  Allah senantiasa membalas segala kebaikkan semasa manusia dengan benda-benda baik juga.

Nak tahu lebih lanjut lagi, pergi sahaja ke FB Projek Iqra'.  Semua berita terkini ada di sana.  
 
 Imej dari FB Projek Iqra'

 
Haish, tak sabarnya nak sambut Ramadhan.  Semakin berusia semakin hilang ghairah pada Syawal tapi beralih rindu pada Ramadhan.  
 
Bukan beerti Syawal itu tak perlu dirai tapi rasanya kemeriahan itu lebih terasa dalam diri anak-anak.  Sama seperti kita waktu kecil dahulu.
 
Sedikit iklan, bagi sesiapa ingin membeli Popiah Bersira Sambal hasil dari tangan yang tak berapa nak lembut ini, dah boleh start order.
 
Kalau rasa nak beli untuk stok makanan ringan dan mahukan dalam kadar segera boleh sahaja hubungi saya.  Kita arrangekan macamana.  Saya masak dengan penuh rasa kasih sayang tau!
 
Ready stock Insyaallah sentiasa ada tapi itu pun bergantung kepada tempahan.  Ada rezeki, tempahan melimpah ruah saya akan hadkan pada mana yang terdahulu.  
 
Tak naklah dek terlalu ghairah mengejar kuantiti, kualiti rasa entah ke mana.  Itu pun order dah mula masuk, by next week akan mula menggulung ;) Alhamdulillah...   

Ada juga mahu turut sama menjual.  Boleh sahaja!  Nak tahu apa-apa semua, boleh hubungi saya melalui email/handphone.  Semua info ada pada sticky post di atas ya!
 
Okaylah, berhenti di sini dahulu.  Bak kata Siti Cutie, "Minggu ni kena makan semua yang teringin di tekak.  Kalau tidak nanti bulan puasa terliur sahaja"..kih..kih..kih..
 
Oleh itu, mari kita pergi cari apa sahaja yang terasa nak masuk ke dalam tekak lepas tu merungut bila berdiri di depan cermin hanya spare tayar yang lebih terserlah.  

Agak-agak turun ke berat badan saya sepanjang Ramadhan nanti?  Tanda-tanda nak shred kilos macam tak ada :(  semakin bertambah itu positif!  Ala takutnya!!!
 
 
 
 
nota:  dalam tak tahu..panjang berjela juga...







 
 
 
 

Tuesday, July 2, 2013

::Projek Iqra' #shoppingraya2013::

Selamat datang Julai 2013!  Seronoknya bila meninggalkan Jun sebab bulan ni dah mula berpuasa.  Rindunya kedamaian Ramadhan Al-Mubarak, bulan penuh barakah.

Projek popiah pun dah bermula.  Itu nanti saya letak dalam entri khas.  Kiranya selepas ini jarang-jarang ada entri, faham-faham sahajalah ya.

Sempena bulan Ramadhan dalam menanti ketibaan Syawal banyak pertubuhan NGO menganjur pelbagai program untuk kita kutip saham akhirat.

Hari itu saya ada turut serta program minyak masak anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM).  Sumbangan minyak masak akan didermakan kepada keluarga kurang bernasib baik.

Alhamdulillah, walau tak sebanyak mana dapat jugalah hulurkan beberapa botol minyak pada pertubuhan tersebut.

IRM bukan sahaja mohon bantuan buat rakyat Malaysia, mereka juga turut mohon bagi saudara-saudara Islam di luar negara seperti di Palestin, Syria, Somalia dan banyak lagi.

Baru-baru ini, terbaca pula mengenai #shoppingraya2013 dari Projek Iqra' di blog Peeja Burhan.  

Program ini memerlukan tajaan bagi anak-anak yatim membeli-belah sempena Syawal akan datang.

Bukan setakat tajaan wang ringgit, sesiapa berminat untuk menjadi sukarelawan bagi membawa anak-anak tersebut bershopping juga dialu-alukan.

Bila baca rasa terpanggil untuk mendaftar diri menjadi sukarelawan.  Kalau ada rezeki, Insyaallah.  Kalau tak ada pun tak apa.  

Sejak dari dulu memang minat untuk turut serta dengan program-program sebegini cuma kekangan masa sentiasa menjadi penghalang.

Kita hidup di dunia suratan nasib berbeza-beza.  Sejujurnya kita jauh lebih beruntung dari ramai lagi orang lain di luar sana.

Inilah salah satu cara kita hulur bantuan, samada ada kewangan, barangan, kudrat atau apa sahaja.  Pahala pun bertambah, Insyaallah.

Hidup di dunia sementara.  Apa yang kita miliki juga bersifat tidak kekal maka adalah lebih baik kita kongsi sedikit dengan mereka yang benar-benar memerlukan.

Bagi sesiapa berminat boleh klik pada gambar di bawah atau "Like" page FB Projek Iqra' untuk keterangan lanjut.

  Imej dari FB Projek Iqra'




Kalau rasa berat sangat RM188, boleh juga kongsi dengan adik-beradik, saudara-mara atau sesiapa yang berminat.  Imej dari FB Projek Iqra'


Apa kata rakan-rakan lain turut sebarkan mengenai #shoppingraya2013 ini.  Itu pun kira membantu juga :)




nota:  belajar untuk lebih memahami...