Followers

Wednesday, July 24, 2013

::Berhentilah Menghukum - Kes Ibu Tinggal Anak Dalam Kereta::

Gigih berpuasa hari ini.  Menahan segala dugaan yang datang dari pagi membawa ke petang, tup-tup dalam 6 petang...hmm...dah boleh mula cuti puasa.  
 
Hai la  'best friend', sekarang datang tak beri sebarang isyarat khusus pun ya?!
 
Rasa rugi sangat sebab kurang dari 2 jam sahaja lagi nak berbuka.  Tahan jugalah sampai 7.30 malam, makan sekali dengan orang berpuasa.
 
Tapi itulah, kiranya puasa hari ini sudah tidak sah dan kena gantilah nanti.  Mula-mula ingatkan bolehlah dikira sebab menghampiri waktu berbuka, sekali bila Google dalam internet rupanya tak boleh.
 
Lagi 5 minit dah nak berbuka pun, kalau sah kena secara automatik puasa sepanjang hari dikira batal!
 
Tak apalah, anugerah Allahkan.  Terima dengan hati terbuka.  Mulai esok tiada alasan tak larat untuk melunaskan kerja tertangguh.  Masa yang elok sebenarnya. 
 
Baru-baru ini, selain isu Ashraf Muslim, cerita pilihanraya kecil di Terengganu serta kisah ibu tertinggal anak di dalam kereta mendapat tempat di hati kita semua.
 
Tak minat nak cerita perihal Pilihanraya Kecil Besut.  Tengok sahaja nanti siapa bakal pemenang.  Semenjak pilihanraya lalu, hati sedikit bergalau dengan keputusan.  Ala, malaslah...
 
Kisah ibu tertinggal anak di dalam kereta selama lebih 5 jam tu menyayat hatikan?  Sana-sini salahkan guru tersebut di atas kecuaiannya sehingga mengundang musibah.
 
Mungkin benar dia cuai, tapi itulah namanya takdir.  Saya belum menjadi ibu lagi, tetapi hati ibu mana yang pernah tenteram tatkala berada di luar rumah dan anak-anak tiada disampingnya?
 
Paling tidak selang 1-2 jam mesti terlintas difikiran, apa agaknya anak di rumah sedang buat?  Dah makan/minum susu ke? Tidur ke?
 
Tapi pada hari tersebut ibu mangsa langsung tidak teringatkan anaknya.  Suratan sudah tertulis.  Mungkin pada hari itu Allah tutup pintu hati dia untuk teringatkan anak.
 
Seandainya dia terkenangkan anaknya sepanjang berada di dalam sekolah, saya yakin dia akan sedar yang anaknya tertinggal di dalam kereta.
 
Allah sudah menulis ajal anak tersebut sebegitu rupa dan dalam masa yang sama insiden tersebut buat pedoman pada kita yang masih hidup.
 
Saya tahu ramai menghentam Si Ibu di atas kelalaiannya.  Macam-macam bahasa kesat dilemparkan.
 
Usahlah disalahkan terus Si Ibu kerana segala yang berlaku pasti menghantui hidupnya sampai bila-bila.  Janganlah kita menambahkan luka di dada.
 
Walaupun tak kenal, apa salahnya kita berdoa semoga mereka sekeluarga kuat semangat untuk terus hidup di hari-hari mendatang.
 
Kenapa saya seolah menyebelahi ibu mangsa?  Ini kerana kami sekeluarga pernah melalui apa yang mereka rasa.  Tapi kalaulah terus menyalahkan sesama sendiri, adakah yang pergi akan kembali?
 
Pernah saya ceritakan di sini.  Atas kecuaian dan kelalaian kami semua, adik yang disayangi pergi buat selama-lamanya.  Makan masa juga GM pulih semangat sementelah kejadian berlaku di depan mata.

Tapi seperti yang saya katakan tadi, perlukah meletakkan kesalahan secara total di bahu orang yang menanggung?  Dalam kes kami, adakah GM harus dipersalahkan?  Atau kami adik-beradik?  
 
Balik pada asas kehidupan, segalanya suratan.  Sebagai insan lemah haruslah menerima dengan penuh redha.

Segala apa berlaku harus  dilihat dari sudut positif.  Benar, siapa dapat menerima kenyataan anak sekecil 5 tahun terpaksa bergelut dengan keadaan amat memeritkan?  

Mula-mula baca saya sendiri mengucap panjang.  Terbayang bagaimana Si Anak berusaha menahan diri dengan kekurangan udara, cuaca panas, haus, lapar dan sebagainya. 

Kita yang dewasa ini pun belum tentu dapat menahan, apatah lagi si kecil comel.  Tapi dengan kejadian tersebut kita dapat jadikan iktibar.
 
Berapa ramai sebenarnya dari kita ambil remeh isu tersebut?  Di mana sahaja, dengan senang hati ibu bapa meninggalkan anak-anak di dalam kenderaan dengan alasan payah mahu berangkut anak.
 
Ada pula tak sampai hati nak kejutkan anak sedang lena tidur, maka ambil keputusan tinggalkan sebentar.  Risiko bukan?
 
Selepas ini ibu bapa di luar sana akan lebih berhati-hati dan beringat.  Saya sendiri sudah berpesan pada keluarga, sebelum keluar kereta periksa dahulu.  
 
Manalah tahu budak-budak main sorok-sorok ke?  Kita tak sedar, terus matikan enjin keluar dari kereta.  Segalanya berkemungkinan bukan?
 
Di bulan mulia ini, mari kita sama-sama berdoa keluarga mangsa akan terus tabah dan redha.  Kembalikan semangat Si Ibu yang bergalang hatinya. 
 
Berhentilah memaki-hamun dan menjadi hakim dunia.  Lebih indah kita kirim doa serta kata perangsang buat mereka sekeluarga.
 
Jika benar Si Ibu bersalah, biar Allah sahaja menghukum tapi saya yakin anak comel itu tempatnya di syurga menanti Si Ibu datang padanya satu hari kelak.
 
Sama seperti GM, anaknya sabar menanti di sana menghitung waktu untuk bertemu!  Al-Fatihah buat mangsa dan keluarga juga tak lupa buat mereka yang tiada!
 
 
 
nota:  perut kejang!!
 
 
 
 
 
 

2 comments :

  1. A'ah, marah jgk lah kat ibu nyer, tp tak de ler sampai nak maki2, dah tertulis cam tu jalan cite nyer ...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah..siapa pon mula2 msti marah pnyer kan..tp bpada2lah..

      Delete