Followers

Thursday, October 24, 2013

::Mati Itu Pasti::

Ahad lepas dikejutkan dengan 3 berita kematian.  Meski tiada punya talian persaudaraan, saya turut tumpang bersedih di atas berita kehilangan.  Lagi pula semuanya saudara seIslam.  Mati itu pasti bukan, cuma bila saatnya hanya Allah SWT sahaja mengetahui.

Berita pertama yang diterima dari keluarga Ejump & Nova.  Ayah Ejump meninggal dunia ketika sedang tidur.  Senangnya percaturan Allah buat Allahyarham.  

Tapi sedikit menyayat hati bilamana mereka sekeluarga tiada di sisi arwah di saat akhir.  Ejump sekeluarga beserta ibu dan kakaknya sedang bercuti di Vietnam.  

Tatkala mendapat perkhabaran tersebut, hati digayut sayu membayangkan betapa kelam kabut mereka di sana mahu mencari jalan pulang ke tanah air dalam kadar segera.  Mengalir juga air mata sambil membayangkan diri saya di dalam keadaan mereka.  

Doa tak putus-putus supaya perjalanan pulang mereka semua dipermudahkan dan punya masa untuk menatap jenazah buat kali terakhir.  Alhamdulillah, mereka sempat sampai sebelum dikebumikan.

2 hari saya ke rumah mereka untuk kenduri tahlil dan doa selamat.  Apa sahaja yang boleh saya lakukan selain dari mendoakan kesejahteraan sesama kita.

Berita kedua pula dari keluarga Siti Cutie.  Bapa saudaranya meninggal dunia setelah nazak beberapa hari.  Bergegas mereka sekeluarga balik Melaka bagi menziarah.  

Kalau ikut perancangan, memang Macho Man nak ke Melaka untuk menziarah Allahyarham di hospital.  Tak sempat hajat tersebut, tapi Alhamdulillah segalanya selesai dengan baik.

Hari yang sama, Abang pula mengkhabarkan adik kepada bos dia meninggal dunia di Kelantan.  Dapat sahaja tahu, bergetar seluruh badan.  Yalah, berita kematian bersilih ganti didengari.  

Giliran kita ini bila pula ya?  Semakin berusia saya tidak menyangkal perkara kematian sering bergayut di fikiran.  Allah telah pinjamkan nyawa selama 33 tahun, jika dia mahukannya semula bila-bila masa sahaja akan berlaku.

Persoalannya sudah bersediakah kita?  Sudah cukupkah segala bekalan yang harus dibawa?  Sama-sama kita renungkan diri sendiri ya, tak perlu hitung atau tenung orang lain.    

Takziah buat semua ahli keluarga dan harap terus tabah menghadapi dugaan dunia.      

 Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat saudara-saudara yang telah tiada



nota:  semoga Allah mencucuri rahmat buat semua Allahyarham yang telah tiada....

No comments :

Post a Comment