Followers

Thursday, February 20, 2014

::Borak-Borak::

Lagi beberapa hari sahaja Februari pula bakal melabuhkan tirai.  Aduh, terlalu pantas saat beredar tanpa menoleh ke belakang seketika.  Takut pula berdepan hari-hari mendatang.

Tiba-tiba teringat saya belum langsai sepenuhnya hutang puasa.  Dahlah banyak hari, jawabnya minggu hadapan harus dipaksa diri supaya segera melunas apa yang perlu.

Bicara puasa tak lupa kait perihal raya meski jauh lagi.  Jauh tak jauh sekelip mata sahaja nanti harinya tiba.  Putaran waktu mana pernah berhenti.

Tema baju raya telah dibincangkan dan mendapat kata sepakat.  Jenuh juga memikirkannya.  Harus rajin ke kedai kain bagi mendapat tawaran hebat serta menepati tema diingini.

Tak perlu berhelai-helai, sepasang sudah mencukupi.  Apa yang ada di gerobok masih boleh recycle sebulan.  Semua masih elok tergantung.  Cuma saiz sahaja bakal menjadi isu.

Bukan makin menguncup ya, bertambah mengembang itu sudah pasti.  Sementelah tiada sasaran penurunan berat badan, redha sahaja dengan apa yang ada..hahaha...lebih pada nada kecewa.

Kita sedang berada di musim kering setelah melalui fasa perubahan cuaca mendadak buat seketika.  Setiap hari berita berkenaan paras air di empangan semakin surut dan  berada di paras membimbangkan.

Hutan-hutan Malaysia pun sudah ada yang terbakar dengan sendirinya dek penangan cuaca panas melampau.  Penyakit bertebaran meluas, klinik penuh sentiasa.

Ini semua dugaan buat kita.  Bersabarlah hendaknya dan berdoa moga Allah melimpahkan hujan rahmat bagi mengatasi masalah sedia ada.

Tapi sebenarnya satu dunia sedang berdepan pelbagai dugaan.  Ada negara tidak pernah banjir, tiba-tiba disaluti air.  Ada negara yang aman sekelip mata dihujani peluru.  Ada negara yang suhunya paras sejuk secara tiba-tiba mendadak naik suhu.

Hari tu sedang menanti di sebuah tempat sambil menonton berita dunia, seorang pakcik berbangsa Cina tersenyum melihat musibah bencana melanda dunia.

Dengan tenang dia berkata "worlds is coming to the end, get ready".  Tersentak saya seketika!  Bukan tidak percaya akan Kiamat (naauzubillah) tapi terkadang alpa mengingatinya.

Pakcik tersebut bukan Islam agamanya tetapi sudah bersedia dengan ketentuan.  Saya ni?? hmm...lebih menghitung dosa dari pahala.  Aduhai!

Dah bercampur-aduk cerita.  Tak ada sasaran butiran macam nilah jadinya.  Got to go, ada kerja sedikit.  Insyaallah ada masa saya tambah bebelan lagi :)

Have a nice day ahead friends!




nota:  kecut perut secara tiba-tiba...



No comments :

Post a Comment