Followers

Wednesday, August 6, 2014

::Turun Sedikit, Naik Banyak::

Saban tahun bila Ramadhan, saya antara paling seronok kehilangan kilo di badan.  Bukan sekilo dua, lebih dari itu.  Mahu tak senyum sampai ke telinga!  Ditambah pula letih buat kuih, memang meriah angka di penimbang.

Sebab itu kalau tempah baju sebelum puasa, confirm bila sarung akan ada masalah.  Suka atau tidak haruslah juga tunggu baju dibaik pulih.  Ketatkan mana perlu.

Masalahnya, tuntutan nafsu sejak 1 Syawal boleh mengakibatkan angka hilang naik berganda-ganda.  Tak sampai sebulan, diri di depan cermin dengan perasaan bercampur baur.

Risau juga ni, tadi panjat mesin penimbang sudah ada tanda-tanda kenaikkan secara agresif.  JANGANLAH!!!  Ada misi harus disempurnakan dalam tempoh kurang dari tiga bulan.

Selain supplement dari Shaklee saya berusaha kawal nafsu makan menggebu.  Seboleh mungkin elak makan nasi dan makanan berat.  Harap-harap supplement+displin bisa bantu misi penurunan berat badan.

Anda semua macamana?  Banyak tak kehilangan kilo?  Musim-musim raya jangan terlalu ghairah.  Nampak semua di mata teringin mencuba walhal padah menanti seandainya mengikut nafsu.

Agak-agak dapat ke berat badan ideal?  Tak apa, janji kita usaha!




nota:  sangat gemuk...  

 
 

::Kalender 2015::

Minggu lepas kalau tak silap terperasan satu perkongsian di Facebook mengenai Kalender 2015 yang punya cuti hujung minggu panjang sebanyak 11 kali.

Alamak, 2014 tak habis sudah intai kalender tahun baru!  Tapi menarik juga terutamanya bagi rakan-rakan yang ingin merancang percutian, mungkin 2015 adalah masa terbaik.  Kurang sikit usik cuti tahunan.

Untuk mereka bekerja sendiri seperti saya, tak adalah ghairah mana.  Bolehlah sekadar perkongsian.  Seronok juga melihat kawan-kawan belek kalender.  

Dulu waktu makan gaji, saya pun begitu juga.  Tak sabar bertemu cuti umum, boleh rehat puas-puas.  Boleh rancang jalan-jalan cuci mata.  

Saya ambil dari FB.  Klik pada imej jika kurang nampak.

Eh, tahun depan raya pertengahan Julai ya?  Ialah, tahun ni hujung bulan 7, tahun berikut anjak ke hadapan lagi.  Harus ganti puasa segera, kalau tidak senang terbabas.

Belum berkesempatan berpuasa enam.  Harap-harap punya peluang tersebut.  Ganjaran pahala percuma bukan senang nak peroleh.  Dah ada ruang, apa lagi sambar segera!




nota:  siapa tak suka cuti?!

Tuesday, August 5, 2014

::Dunia...Dunia...::

Setiap hari kita dihidang kisah kekejaman Yahudi Laknatullah terhadap saudara di Palestin.  Tiada siapa sukakan peperangan, tetapi di Palestin ianya harus demi membela nasib umat Islam yang telah lama tertindas.
 
Kita di sini hanya mampu berdoa semoga Allah SWT sentiasa memberi perlindungan dan kemenangan akan berpihak pada yang benar.  
 
Ekoran peperangan tersebut, semakin kuat kita memboikot produk dari Israel dan negara sekutu.  Paling teruk terima bahana, McDonalds.  
 
Sedari pagi hinggalah ke malam, bertubi-tubi mesej/whatsapp masuk minta boikot McDonalds pada hari Jumaat ini secara besar-besaran. 
 
Ianya bertujuan memberi tekanan kepada McDonalds supaya tidak lagi menyalur sumber kewangan bagi membantu Israel.  
 
Tesco sudah menerima bahang, akan datang banyak lagi produk yang akan disenarai hitam oleh Masyarakat Islam khususnya, dunia secara amnya.
 
Kelakarnya ada pula ura-ura mengatakan McDonalds akan memberi burger dan air secara percuma pada hari tersebut di masjid-masjid terpilih.  Kesahihan berita ini masih belum diterima sepenuhnya. 
 
Seandainya McDonalds menjalankan misi tersebut, ternyata mereka akan menerima kecaman lebih hebat, seolah mahu mencabar operasi boikot tersebut.
 
Apa pun, boikot secara berhemah dan bukannya mengikut emosi.  Tak perlu dicemuh dan keluarkan kata-kata kesat pada pekerja restoran McDonalds.  Mereka hanya mencari rezeki, malah saya yakin jika punya peluang lain pasti mereka tidak teragak-agak meninggalkan syarikat makanan segera tersebut.
 
Selain mengenang nasib saudara Islam di sana, kita rakyat Malaysia tidak pernah dan tak akan lupa musibah melanda negara sepanjang tahun.  Antara terkesan di hati sudah pasti kehilangan MH370 dan kecelakaan menimpa MH17.
 
Spekulasi demi spekulasi keluar dan tundingan jari dituju ke sana sini.  Allah sahajalah Maha Mengetahui segala rahsia kebenaran.  Senjata ampuh yang kita ada hanyalah berdoa dan terus berdoa minta ditunjukkan segala kenyataan tersembunyi.
 
Macam-macam hal, semuanya menampakkan betapa rapuh kehidupan di dunia.  Tiada yang kekal!  Segalanya semakin tenat, pergolakkan merata pelusuk.  Musibah serta bencana alam tidak pernah surut.
 
Sebagai hambanya, sentiasa muhasabah diri dan bergerak ke arah lebih baik.  Benarlah, bumi sudah terlalu uzur buat penghuninya.
 
 
 
nota:  insaf...
 
  
 
 

::Salam Eidul Fitri::

Sebulan lebih juga blog ini kesepian tanpa sebarang perkhabaran.  Biasalah, bila masuk Ramadhan, tak cukup tangan jadinya semata menyempurnakan segala tempahan.

Alhamdulillah, sudah tiga tahun menjual masih mendapat tempat di hati pembeli.  Secara am, mereka yang membeli adalah customer tahun-tahun sudah.  Terima kasih tak terhingga di atas kesudian membeli POPIAH SIRA SAMBAL.

Bila dah terlalu lama, canggung pula nak bersiaran.  Pusing keliling mencari idea perkongsian.  Nak borak kisah-kisah yang dah berlalu serasa tak releven.  Azam pandan ke hadapan katanya..hehehe...

Tak adalah, boleh sahaja berkongsi cerita, cumanya tak tahulah ingat lagi atau tidak.  Bukan ada simpan bahan bukti pun.  

Tapikan, Ramadhan kali ini saya rasa pantas benar peredarannya.  Tup-tup Syawal menjelma.  Sejujurnya saya tidak punya ruang rehat mahupun lebihan masa.  Akhir zaman benar dah ni. 

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan MINNAL AIDIL WAL-FAIZIN buat semua yang mengenali secara nyata dan juga di laman maya.  Andai tutur kata saya bisa menyinggung dan merobek hati, sepuluh jari saya susun mohon kemaafan. 

Saya manusia biasa, tidak lari dari melakukan kesalahan dari sekecil-kecil kuman sehinggalah sebesar-besar gajah (eh, ada yang besar lagi dari gajahkan?!)  Apa pun, saya dengan rendah hati memohon maaf di atas segala-galanya.

 Lengkap sekeluarga, di pagi Syawal.  Alhamdulillah!  Moga Allah beri keizinan untuk meraikan seperti ini di masa hadapan. 

Insyaallah, nanti sambung berbual kisah Syawal.  Alamak, tak ada gambarlah!  Cerita kosonglah nampak gayanya.  Kenapalah berat sangat tangan ni nak click-click?!

Hari ini Syawal ke-9 dan kebanyakkan dari kita sudah kembali ke rutin harian.  Hujung minggu adalah waktu sangat dinanti, jemputan rumah terbuka bersilih ganti.  Buncitlah kembali perut.. hahaha...




nota:  Syawal sangat bermakna...