Followers

Monday, November 12, 2012

::Warna-Warna Kehidupan:


Sewaktu berada di zaman persekolah rendah, hati teringin sangat mempunyai warna pensil seperti di atas dengan alasan senang punyai banyak pilihan warna.

Puas memujuk GP dan GM namun berkesudahan dengan kehampaan.  Dapatlah juga, tetapi bukan pada saat saya minta.  2 atau 3 tahun kemudian baru impian menjadi realiti.  

Tika itu sesiapa yang mempunyai warna pensil lebih dari 12 batang dikira hebat dan mewah.  Bila buka sahaja set tin tersebut, banyak mata akan tertumpu sambil mulut ternganga.

Dahulu harganya boleh tahan mahal dan kebanyakkan daripada murid-murid hanya mampu memiliki yang 12 batang atau pun 6 batang.  Ada yang tak ada langsung pensil warna pun ada.

Itu cerita 20 tahun yang lampau.  Hari ini, budak-budak nak memiliki lebih dari satu tin pun boleh jika mahu.  Contohnya Buah Hati, dia punya lebih dari 1 set pensil warna. 

Tetapi adakah benar ianya amat perlu di dalam penggunaan atau lebih kepada kepuasan memiliki sesuatu yang lain dari yang lain?

Jom kita kaitkan pula dengan kehidupan sebenar.  Kita telah punya satu kehidupan yang punya warna secukupnya.  Itulah pensel warna 12 batang.  

Kesemuanya warna asas dan setiap orang memilikinya.  Tetapi kita bosan dengan 12 warna sedia ada dan mahu lebih dari itu lantas ingin menambah ke warna-warna lain. 

Maka keluarlah 12 lagi warna menjadikannya 24.  Pada saat dapat memiliki, kepuasan tak terhingga.  Lantas kita mengadun warna menjadi corak kehidupan diingini.

Sudah puas?  Manusia mana pernah puas.  Bila sudah bosan dengan warna-warna 24 itu, kita dapat tahu eh, ada lagi warna.  Ibaratnya set warna 48 batang.  Adakan di pasaran?

Lalu kita berusaha untuk melengkapkan menjadi 48 warna sama seperti orang lain.  Tak kiralah dengan apa cara sekali pun, janji dapat memiliki.

Apa pandangan orang yang tidak mampu untuk mencorakkan kehidupan seperti kita?  Samalah seperti anak-anak yang gagal membeli set-set tin warna seperti di atas.  Terkulat-kulat sambil menanam azam di dalam hati untuk mendapatkannya.

Akan berhentikah keinginan tersebut?  TIDAK!!  kerana itu hari ini jika kita tengok pecahan warna-warna terlalu banyak.  Hinggakan tak tahu hendak menyebutnya.

Contoh seperti warna hijau.  Ada hijau emerald, ada hijau ke arah biru, ada hijau ke arah hijau, hijau ke arah kuning, ada hijau pucuk pisang, hijau pucuk mangga muda dan macam-macam lagi.

Tetapi sedarkah kita, segala warna-warna itu datang dari 12 warna asas tadi yang kemudian di blend menjadi satu hasil lain.

Lihatlah betapa kita amat sukar untuk berpuas hati lantas mencari dan mencari lagi.  Tidak menjadi kesalahan pun.  Bukankah kita harus berusaha memperbaiki lompong-lompong sedia ada?

Cuma warna-warna itu pasti lebih menarik sekiranya ia adalah dari paduan kita sendiri.  Paduan 12 warna sesama sendiri sehingga terbit satu warna tersendiri dan megundang kepuasan tahap maksima.

Kita tidak perlu menjadi orang lain yang punya 1001 warna dan kita turut mengejar sama supaya memiliki warna-warna tersebut.  Apa yang ada sudah cukup menjadikan ianya lebih cantik jika pandai mewarnakannya.

Terpulang samada mahu memiliki 12 atau 24 atau 48 batang pensil warna kerana kesudahannya adalah bergantung kepada kita sendiri.

Punya banyak warna tetapi tidak pandai menggunakannya pun tidak mengubah apa-apa kenyataan dalam kehidupan.  

Sebahagian dari kita sesuai dengan "less is more" dan ada di antara kita tergolong di dalam "the more the merier".

Tidak kiralah apa warna sekali pun kerana ianya HITAM PUTIH KEHIDUPAN dan tanpa kita sedar akhirnya kita kembali kepada dua warna tersebut dalam meniti jalan sebagai hambaNya.




nota:  cuba untuk bermetafora





 








  

Sunday, November 11, 2012

::Sambung Merepek::

Buurrpp, Alhamdulillah! Perut kenyang, hati girang.  Itulah pepatah lama tetapi sampai bila kegirangan akan bertahan, lapar menjengah kembalilah serabut segala apa belum terungkai.
 
Baru pulang dari makan malam di luar.  Gaya macam banyak duit sahaja, walhal amat sendu.  Bolehlah sesekali menghibur hati lara.
 
Menu pilihan, kerang rebus, sotong goreng tepung, lala cili, tanghoon goreng dan chicken grill szilling.  Selera bukan mainkan?  huh!! 
 
Lagi pula semenjak Abang ditimpa sakit, tidak digalakkan makanan sedap-sedap seperti di atas.  Bak kata doktor "sedap tu sekejap di lidah sahaja, masuk dalam perut semua jadi penyakit".
 
Tapi kasihan, selepas berpantang selama 6 bulan hari ini ikutkan selera dia.  Mujur sekarang sudah pandai menghadkan jumlah pengambilan, tidak lagi makan dengan begitu ghairah.
 
Dalam menghadkan apa jua di depan mata, bila membayar cecah juga RM50.  Kuantiti makanan di atas pinggan pun bukanlah banyak mana, tidak seperti suatu ketika dahulu. 
 
Begitulah bezanya antara dulu dan sekarang.  Jarak perbezaan masa sepuluh tahun lampau ketara dirasai.  RM50 tidak lagi boleh dijadikan perbelanjaan buat satu minggu.
 
Penat dah mengeluh perihal kos hidup semakin tinggi, tetapi tetap tidak membawa sebarang perubahan.  Biarlah macamana pun keadaan, jangan lupa bersyukur kerana ini semua rahsia Allah.
 
Sebenarnya buntu akan apa topik mahu diceritakan.  Gambar banyak tetapi malas pula nak edit.  Mencari idea dengan menziarah blog rakan-rakan lain pun semua pakat tak update.
 
Cuti panjang barangkali warga blog?  Yalah, minggu hadapan cuti berselang-selang, alang-alang baik lengkapkan seminggu dengan tambahan tiga hari sahaja.
 
Seronokkan dapat bercuti panjang setelah berusaha keras membanting diri menghadap kerja-kerja di pejabat?  Begitulah resmi pekerja.
 
Lokasi pelancongan dalam negara bakal menjadi tumpuan apatah lagi cuti sekolah pun telah bermula.  Kami sekeluarga?  Tiada perancangan, duduk diam-diam di rumah sahaja :)
 
Cukuplah saya merepek tak tentu hala.  Rubbish!  Maaf jika tidak menarik ya.  Bukan senang mahu merangkai perkataan menjadi ayat-ayat berguna.
 
 
 
nota:  andai bisa....         

::Pendek Untuk Hari Ini::

Alhamdulillah majlis sambutan harijadi Cayang Eki selesai dengan jayanya walaupun pada awal risau sangat jemputan tak hadir kerana hujan.
 
Bukan jemput ramai pun, sanak-saudara sahaja serta teman-teman Ninie.  Makanan pun semuanya sendiri.  Insyaallah nanti saya kongsikan pada satu entri khas. 
 
Hari ni semua pun terbaring kelesuan sementelah cuaca juga tidak berapa ceria.  Mahu keluar berlibur pun kurang bersemangat.
 
Sampai bila agaknya langit akan bermurung durja?  Rindu akan kehangatan mentari yang mengigit-gigit kulit.  Rembesan peluh pun ala-ala manja sekarang membasahi tubuh.
 
Mujur mendiami kawasan cerah banjir.  Tak perlu risau sangat tetapi tidak pada mereka yang tinggal di daerah berpotensi tinggi bah seperti keluarga Siti Cutie.  
 
Pernah saya kongsikan di sini bagaimana keadaan banjir keluarga Siti Cutie di awal tahun hari tu.  Kalau rajin klik pada entri ---> di sini  
 
Kerap hujan juga mengundang kehadiran nyamuk melampau.  Tak pasti di rumah rakan-rakan tetapi di rumah kami fffuuuhhh!!! berjuta-juta lemon.  Kawasan hutanlah katakan.
 
Okay berhenti seketika, tiba-tiba mahu keluar pula :) InysaAllah bersambung lagi!
 
 
 
nota:  ;)
 

Saturday, November 10, 2012

::Anugerah Skrin 2012::

Anugerah Skrin 2012 (ASK) baru sahaja melabuhkan tirai.  Majoriti memperkatakan perihal konsep Fairy Tale yang gagal menambat hati penonton termasuk berada di rumah.
 
Pada mulanya saya sendiri berasa lemas dengan apa dipersembahkan.  Pembukaan meleret, tetapi semakin lama seronok pula rasanya.  
 
Berapa ramai agaknya bersetuju dengan saya?  Mungkin hanya beberapa kerat sahaja bersama saya dalam hal ini.
 
Setiap kali anugerah sebegini, pengacara menjadi tunggak utama membawa hala tuju keseluruhan rancangan.  Sedar atau tidak, berapa kerat sahaja pengacara mampu memberi kesan baik memenuhi permintaan penonton?
 
Kebolehan pengacara-pengacara tersohor tidak boleh disangkal.  Tetapi takkan mahu ulang tayang wajah sama sebagai pengacara setiap tahun?  Suka atau tidak, harus membuka ruang kepada muka baru.
 
Renung kembali, berapa kali acara-acara prestij sebegini gagal di tangan pengacara kurang berkaliber?  Bila terlalu banyak lawak jenaka dan mengenakan orang lain pun sering mendapat kritikan.
 
Ada terpaksa berusaha keras menarik minat penonton tak kurang juga yang kaku sewaktu mengacarakan majlis.  Apa lagi mereka yang tidak punya aura di atas pentas.
 
Sekurang-kurangnya dengan konsep sebegini penonton tidak bosan dengan celoteh pengacara yang kadangkala tiada hujung pangkal.  
 
Acapkali kedengaran juga tawa penonton di dalam dewan dengan gelagat pengacara ASK tahun ini.
 
Cuma bila terlalu banyak watak utama di pentas, ia menganggu sedikit tumpuan.  Sekejap orang ini, sekejap orang itu.  Kelam kabut jadinya.  
 
Mungkin watak Cermin Sakti dan Bendahara tidak perlu.  Biarkan sahaja watak utama menjalankan tugas-tugas mengacara.
 
Penyelamat besar ASK adalah pada para penyampai anugerah.  Kali ini mereka tidak keluar semata membaca senarai calon dan menyerahkan piala. 
 
Mereka tampil dengan sketsa pendek berdasarkan watak tersendiri dan dialog-dialog mengancam.  Nama pun pelakonkan, sudah pasti tidak punya masalah mendalami watak.
 
Suatu kelainan bila pentas anugerah bertukar menjadi satu pementasan dan pementasan Putera Arjuna dan Puteri itu dianggap berjaya di tangan artis terlibat.
 
Sedikit menghairankan apabila lagu-lagu yang pernah dinyanyikan di pentas anugerah dipersembahan semula.  Barangkali mahu menyesuaikan dengan jalan cerita tetapi masih banyak lagi lagu lainkan?
 
ASK 2012 akan menjadi kenangan apabila ia bakal dihentam teruk kerana perjalanan rancangan hampir 3 jam tidak menepati citarasa ramai di samping kelemahan ketara dipertonjolkan.
 
Tetapi, ia juga akan dikenang sebagai satu anugerah punya 1001 kelainan dari anugerah-anugerah biasa.
 
Tiada sebarang kejutan dalam senarai pemenang cuma sedikit hairan bila Bunohan tidak menggondol kemenangan bagi kategori-kategori lain tetapi muncul sebagai filem terbaik.
 
Ingatkan filem Songlap bakal merangkul Filem Terbaik ekoran kejayaan-kejayaan lain para karyawan filem ini.
 
Tak apalah, siapa kita mempertikai kemenangan orang lain.  Mereka mengadili pasti tahu dimana kekuatan para pemenang.
 
Dari sudut pandangan saya ASK 2012 berani membawa kelainan dan kebiasaannya suatu kelainan itu pasti janggal di mata umum tetapi di situlah terselit sesuatu yang tidak ada pada yang lain.
 
 Di ambil dari Google Image, TV3





nota:  tahun depan apa pula agaknya..
 
           
 
 
  

Friday, November 9, 2012

::Kembali Ke Alami::

Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan.  Asal ada sahaja produk mampu mengekalkan wajah jelita, pasti menjadi pilihan.

Saya sendiri antara yang menjaga dengan begitu teliti.  Produk-produk digunakan bukan calang-calang.  Harga sebotol mencecah ratusan ringgit.  

Apa guna bekerja keras tetapi tidak dapat memanjakan diri.  Paling tidak kulit muka tidak mudah kendur dek faktor usia.

Tetapi itu semua suatu waktu dahulu.  Di saat mampu membeli dengan wang sendiri.  Hari ini tidak lagi :(  Ikat perut harus lebih gigih dan aliran wang tidak boleh sewenang-wenangnya.

Mujur sewaktu berkemampuan, beli barang lebih dari satu botol bagi tujuan stok.  Boleh terus pakai walaupun sudah berhenti membeli.

Apa yang ada pasti akan habis.  Dalam keadaan sebegini, sedar pula diri dan mula mencari alternatif lain yang lebih murah.

Pastinya petua lama amat sesuai digunapakai.  Antaranya sudah pasti bedak sejuk.  Kalau ikutkan sewaktu menggunakan produk moden, sesekali saya tetap menempek bedak sejuk di muka.

Cumanya penggunaan produk adalah lebih banyak dari menggunakan bedak sejuk.  Kira sombong jugalah saya pada waktu itu.  Sekarang bila ongkos menyusut pandai pula kembali ke penggunaan tradisional.  

Bagi sesiapa tidak pernah menggunakan bedak sejuk, cubalah selepas ini.  Tanpa sebarang kehadiran bahan kimia, bedak sejuk banyak khasiat khusus buat kulit wajah.

Antara yang saya tahu:-

1)  Ianya menyejukkan kulit muka - ada ketika saya terdedah teruk kepada panahan matahari dan bedak sejuk membantu menyejukkan kulit muka dari mengelupas teruk serta kembalikan warna kulit asal.  

Lagi satu, Allahyarham Onyang saya pasti akan melumurkan satu badan dengan bedak sejuk sewaktu kami kena demam campak.  Katanya bagi menyamankan kulit yang rengsa kegatalan

2)  Mengawal minyak di wajah - ibu saudara saya pernah menyarankan supaya memakai bedak sejuk sekiranya wajah mula ditumbuhi jerawat.  Jerawat keluar akibat kulit berminyak teruk.  Ada ketika kulit muka sedikit berminyak, dengan segera saya memakai bedak sejuk dan ianya berjaya.

Ayu Bam Bam antara memiliki kulit berminyak dan dia sendiri setuju bahawa bedak sejuk adalah agen pengawal minyak di muka.

3)  Menegangkan kulit muka -  petua ini saya dapat dari bekas guru saya sewaktu sekolah menengah.  Cikgu ni punya wajah mulus dan tegang walaupun sedikit berusia.  Dek kerana keakraban, saya bertanya akan rahsia.  

Dia menyarankan supaya kerap menyapu putih telur dan memakai bedak sejuk pada malam hari.  Tetapi ini bukanlah setakat sekali atau pun dua kali, ianya proses berterusan

4)  Kulit muka lebih licin - samada kebetulan atau pun melalui bantuan bedak sejuk, pipi saya sememangnya licin.  Walau ada sedikit jerawat pasir berterabur tetapi tetap licin.  Mungkin juga bantuan produk-produk lain tetapi peranan bedak sejuk tetap ada.

Jadi tidak salah kita kembali ke alami, menggunakan sumber semulajadi dalam merawat wajah.  Apa pun, seri wajah akan lebih kuat bersinar sekiranya nurani kita bersih tanpa kehadiran titik hitam.

Mahu kelihatan cantik bukan sahaja dari luaran tetapi harus cantik dari dalam juga.  Melalui itu segalanya akan terpancar di wajah.  

Saya tidak dibayar untuk mempromosikan bedak sejuk tetapi CUBALAH...pasti berpuas hati dengan hasil.  Tetapi bukanlah dengan sekali pakai, gunakan sentiasa.

Kaedah tradisional tinggalan nenek moyang kita



nota:  macam-macam...

::Capati Buatan Rumah::

As-salam di hari Jumaat nan permai.  Seperti biasa, sindrom penghujung minggu pasti sedang melanda kerana hari ini hari terakhir dalam minggu berkelana di pejabat.

Wah, ada yang ambil cuti sampai seminggu lebih ya lantaran minggu hadapan cuti umum berselang hari.  Sekiranya masih bekerja saya juga akan pulun cuti seminggu.  Jimat cuti!

Hari ini mahu mendera selera, itu pun kalau berjaya.  Kalau tidak air liur sendiri yang meleleh.  

Seminggu atau dua minggu sebelum Aidil Adha jemput Mimie datang ke rumah.  Lama tak bersua, banyak cerita perlu update.  Kalau tidak kurang pula dosa mengumpat, ahaks!

Tapi berborak kosong tanpa kehadiran sebarang makanan pasti mengundang kebosanan.  Pujuk dia supaya masakkan sesuatu yang istimewa.

Dah lama sebenarnya teringin merasai air tangan Mimie dalam menyediakan capati.  Memang tak pernah makan, hanya dengar orang sahaja berkata capati dia bertaraf 5 bintang.

Pakcik ni bukan makan dipujuk.  Jika kemalasan menyelubungi, jangan harap dia menurut kata.  Buatlah apa cara sekali pun, seandainya tidak maka tidaklah akhirnya.

Mungkin rezeki, angin rajin hebat melanda.  Sekali petik suis terus bersetuju.  Apa lagi, sambil membeli barang membuat popiah terus harung dengan bahan capati.

Barulah tahu, rupanya capati tidak menggunakan tepung gandum.  Ada tepung khas, Tepung Atta.  Nampak sangat buta hati ilmu masakan.

Mimie kata, jarang kedai menggunakan tepung atta kerana mahal.  Kalau guna pun mesti campur dengan tepung biasa.

Patutlah bila siap dimasak, warnanya berlainan dari kedai.  Lembut dan tidak jemu.  Boleh makan lebih dari 2 keping.  Bahaya betul!

Maaf saya tidak dapat berkongsi resepi kerana sewaktu dia buat bukan beri perhatian sangat pun.  Lagi pula dia paksa saya sediakan sambal ikan bilis, maka tumpuan ke situ.

Abang pula sukarela mencanai capati.  Knowing him, dia memang rajin membantu di dapur kerana dia tahu girlfriend dia sangat fail hal-ehwal memasak.

Most of the time, he will guide to di this and that.  Kalaulah duduk serumah dengan Mimie dan Abang, bahagia hidup.  Semua kerja tak perlu buat, mereka akan laksanakan segalanya. Ha..ha..ha..dasar pemalas tahap maksima!

Memang sedap capati air tangan Mimie.  Mujur perut sudah berisi dari siang, jika tidak mahu berkeping-keping masuk ke dalam perut.

My family satisfied.  Makan tanpa henti tu dah tentu.  Sambal saya pun dapat pujian (ke tak sampai hati nak kutuk keluarga sendiri).  Ada masa mahu suruh dia buat lagi!

 Bukan setakat capati sahaja, kuah dal pun atas usaha Mimie.  Hebat betul itu orang!


Inilah tukang masak tersohor dengan menu pada hari itu, CAPATI dari tangan ku


Pencanai yang ku cinta..he..he..he..


Sambal ikan bilis air tangan sendiri.  Nasib baik menjadi kalau tidak jadi bahan kutukan ramai



nota:  makan...makan...makan...


::Maha Melihat::

Semakin hari kehidupan semakin mencengkam rasa.  Cuba bertahan dari pelbagai rasa gundah namun ada kala tewas maka tumpah jua air mata.  
 
Sememangnya begitu kuat ujianMu Ya Allah pada hambaNya ini.  Diri ini redha dan insaf, barangkali ada dosa-dosa tidak mampu dibasuh dengan kuntuman doa, maka Allah memberi balasan sebegini agar tiada keberatan di hari pengadilan.
 
Dan halwa telinga ini begitu menarik-narik mahu mendengar sebuah lagu nyanyian Opick dan Amanda bertajuk Maha Melihat.
 
Seperti biasa, lagu ini ibarat panahan cinta pertama.  Sekali dengar terus terpikat dan menyimpul hati untuk menyanyikannya berulang-kali.
 
Andai hati gundah, selain dari mendekatkan diri kepada Maha Pencipta tidak salah menghayati lirik lagu ini.  Moga memberi ketenangan sebentar.
 
Lirik Lagu Maha Melihat
 
Seiring waktu berlalu
Tangis tawa dinafasku
Hitam putih dihidupku
Jalan ditakdirku
 
Tiada satu tersembunyi
Tiada satu yang terlupa
Segala apa yang terjadi
Engkaulah saksinya
 
(*) Kau Yang Maha Mendengar
Kau Yang Maha Melihat
Kau Yang Maha Pemaaf
Pada Mu hati bertaubat
 
Kau Yang Maha Pengasih
Kau Yang Maha Penyayang
Kau Yang Maha Pelindung 
Pada Mu semua bergantung
 
Yang dicintakan pergi
Yang didambakan hilang
Hidupkan terus berjalan
Meski penuh dengan tangisan
 
Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa ku kembali
Hapus semua pedih
 
Andai mungkin aku bisa
Kembali ulang segalanya
Tapi hidup takkan bisa
Meski dengan air mata
 
Ulang (*)
 
Di ambil dari laman You Tube
 
 
 
 
nota:  sentiasa berserah pada Allah atas segala yang berlaku
 
 
 

Thursday, November 8, 2012

::Aktiviti Baru::

Tak adalah nak kata baru sangat, hampir setahun jugalah Abang telah mula berjinak-jinak dengan golf.

Itu pun setelah berulangkali dipujuk oleh Macho Man supaya mencuba.  Nak kata galakkan sangat pun tidak, menghalang jauh sekali.

Masakan tidak, golf ni mahal sukannya.  Segalanya perlukan $$$.  Dalam keadaan sekarang, belum mampulah untuk mengadakan keperluan lengkap.

Mujur Macho Man bermurah hati mahu kongsikan apa yang dia ada.  Dari situ sehinggalah ke hari ini, sudah setahun Abang main golf.

Hanya berbekalkan tunjuk ajar dari Macho Man semakin baik permainan Abang.  Ramai yang tidak tahu, Macho Man pernah serius dalam permainan golf.

Malahan dia pernah mewakili Malaysia suatu ketika.  Tapi waktu itu dia masih dalam kelompok remaja.

Kerana itu Macho Man boleh mengajar orang bermain golf.  Jika mahu mendapatkan khidmatnya boleh sahaja.  

Apa yang diajar saya tak tahu, tetapi melihat Abang dan Ejump saya yakin jika menjadi anak murid dia, boleh berjaya.

Seperti Abang, bila dah pandai sedikit dia mencari teman sehaluan.  Pujuk-pujuk Ejump akhirnya terjebak.

Hari ini Ejump lebih advance dari Abang.  Tak mengapa, tidak perlu gopoh.  Lagi pun apa yang hendak dikejarkan.  Bertatih-tatih dari awal supaya boleh pergi lebih jauh  

Insyaallah ada rezeki, Abang boleh beli keperluan lengkap.  Buat masa ini kita amalkan konsep 'sharing is caring'

Peralatan Macho Man ada semuanya.  Tiada masalah untuk berkongsi.  Bila begini, kasihan pula pada Abang :(

Dia punya banyak perkara harus diselesaikan dan saya tidak dapat membantu.  Sedih pula :(( 


Abang dan Ejump bersama hobi baru mereka.  Asalkan baik saya tak kisah, cuma bukan sekarang masanya untuk betul-betul serius.  Sukan ini mahal ok!!



nota:  apa pun berlaku hati harus gembira..

  

::Hormati Golongan OKU::

Entri ini bukan mahu memalukan atau menselar mana-mana individu.  Tetapi inilah hakikat rakyat Malaysia. 

Segalanya ambil mudah dan hanya mahu mementingkan diri sendiri tanpa berfikir tindakan mereka akan menyebabkan insan sepatutnya berada dalam kesusahan.

Saya bukanlah insan nobel, cuma dalam keadaan tertentu masih mampu mengenang akan nasib orang lain.

Banyak kali saya perhatikan betapa orang kita kurang prihatin dengan petak tempat letak kereta khusus untuk orang kurang berupaya (OKU).

Jika punya peluang, sihat walafiat pun mahu diredah letak kereta di situ.  Bila keluar dari kereta buat muka tidak bersalah sambil berlalu pergi.

Sudah terang lagi bersuluh petak tersebut hanya untuk golongan OKU tetapi demi terlalu pentingkan diri itu semua tidak diendahkan.

Seandainya ada anak-anak kecil dalam kereta pun satu hal juga.  Ini tidak, dengan kereta bertaraf 5 bintang, bersendirian, sihat tubuh badan terus sahaja menggunakan kemudahan OKU.

Ya saya geram!  Bukan geram kerana tidak dapat lot parking tersebut tetapi sangat geram dengan hati dangkal rakyat Malaysia.  Sudah mati hatikah rakyat Malaysia hari ini?

Takkanlah perkara semudah itu mahu ke peringkat terpaksa membuat public announcement di dalam media hari-hari.  Berulang-ulang kali mahu diingatkan tanggungjawab sebagai manusia.

Bagi saya mereka yang tidak mahu dan buat-buat tidak tahu dalam menghormati hak orang lain adalah biadap!  Mungkin agak kasar tetapi itulah perkataan sesuai bagi golongan ini.

Bayangkan sedang enak menikmati suasana di dalam bangunan, ada individu OKU berhempas-pulas mencari ruang kosong untuk meletak kereta.

Nama sahaja berilmu tetapi nilai-nilai murni diletakkan di bawah tapak kaki.  Ikut kata hati sendiri tanpa memikirkan bahawa kehidupan di dunia perlu dikongsi antara satu sama lain.


Gambar ini saya ambil di McDonald berhampiran rumah.  Sedang menanti giliran pandu-lalu terpandang akan Auntie ini keluar dengan tenang dari dalam menuju ke kereta.  

Dia meletak kereta di lot OKU.  Sihat tubuh badan, mampu mengangkat barang-barang berat dan tiada cacat-cela.  

Kereta di hadapan saya bunyikan hon tanda protes kerana dia bersenang-lenang meletakkan kereta di kawasan tidak sepatutnya.  

Dengan muka selamba dia menjeling dan membuka pintu dalam keadaan marah.  Pada mulanya saya ingatkan barangkali dia punya masalah pendengaran, kerana golongan ini pun dikira OKU.

Rupanya tidak.  Sekali lagi dengan wajah bersahaja dia berbual di telefon bimbit sambil memperdengarkan suaranya yang nyaring.

Individu seperti inilah tidak harus kita hormat kerana dia tidak pernah hormat orang lain. Maaf saya bukan bersifat perkauman melalui siaran gambar ini.

Insiden berlaku depan mata, siapa sahaja melakukan kesalahan jika punya kesempatan akan saya rakam supaya menjadi peringatan ramai.

Kesedaran rakyat Malaysia terhadap golongan OKU harus dipergiatkan.  Saya punya rakan-rakan OKU dan secara jujur mereka mudah rasa terpinggir dengan tindakan kurang sensetif sebegini.

Tolonglah ya rakan-rakan budiman.  Hormatilah hak OKU.  Mereka juga rakyat seperti kita dan mereka punya ekuiti sama untuk menikmati segala kemudahan diberikan Kerajaan.


nota:  bila berada di tempat mereka baru tahu apa rasa sebenarnya...








::Aktiviti Sabtu Lalu::

Agak lama tidak berbicara.  Nak buat macamana, penggunaan komputer sejak akhir-akhir ini amat terbatas.  Yalah, saya terpaksa menanti ruang kosong sekiranya mahu menggunakan komputer.

Jika kosong saya pula tidak punya waktu untuk berbicara dan kerana itulah laman ini terdampar kesepian buat seketika.

Apa pun terima kasih pada rakan-rakan masih sudi melawat walaupun tiada apa menarik untuk dijamu.  Insyaallah selepas ini akan kembali rajin.  

Sebenarnya masih sedikit blur, tak tahu nak cerita apa.  Hilang arah seketika.  Bila lama tidak beriadah di sini inilah kesannya.  Kisah bergambarlah bagi entri ini :)

Pada Sabtu lepas, dalam jam 11 pagi berkesempatan ikut Ninie ke Tasik Titiwangsa.  Ini rutin mingguan mereka sekeluarga. 

Sementelah Daddy Cayang Ejiki outstation saya dan Ayu Bam Bam menemankan mereka.  Kebetulan Buah Hati pun tidak pulang ke Ampang.

Cayang Ejiki amatlah meminati kuda.  Setiap minggu akan terpacak di sana without fail!  Kalau tak pergi merengek seharian.

Setelah puas dengan aktiviti kuda segala, singgah minum sebentar terus bertolak ke One Utama bagi memburu hadiah.  

Petang itu kami ada jemputan sambutan harijadi Arif, anak Cik Ani.  Sambutan di rumah Allahyarham Neklong di Jalan Ipoh.

Dekat jam 6 petang juga baru sampai ke majlis.  Nasib baik belum mula apa pun.  Tuan rumah menanti kehadiran semua tetamu.

Tiada siapa pun, semuanya kaum kerabat GM.  Bila berkumpul rasa macam hari raya pula. Biasalah di sanakan jadual rutin hari raya pertama kami sekeluarga.

Sesiapa yang membaca blog saya pasti sudah tahu :)  Gamat suasana dengan keriuhan sanak-saudara.

Seronok dengan suasana sebegitu.  Nama pun keluarga kecil.  Tetapi kecil-kecil pun fuuuhhh!! Dahsyat riuhnya.

Lama juga tersangkut di sana.  Kebetulan hujan turun maha lebat.  Hendak bertolak balik pun tergalang-galang.  

Lebih kurang jam 9 malam baru bertolak pulang.  Itu pun Cik Ani sibuk menghalang.  Kalau boleh suruh balik lewat tengah malam.

Minggu ini giliran rumah kami pula.  Ada kesempatan saya kongsikan di sini, Insyaallah.  Jom saya sajikan sedikit gambar buat kenangan.  



Ini sahaja gambar yang ada.  Gambar budak-budak ni menunggang kuda ada, tetapi tiada di dalam simpanan saya.  Cayang Ejiki mahu jadi penunggang kuda barangkali bila besar nanti.  Obses sangat dia dengan haiwan ini!


Makan time!  Antara hidangan sewaktu jamuan.  Maaf gambar gelap, hanya menggunakan lensa dari telefon


Mereka yang lahir dalam bulan November.  Nampak tak kelibat Buah Hati?  Harijadi dia pun bakal menyusul hujung bulan nanti


Kek aiskrim yang sangat sedap.  Kek aiskrim Baskin Robin pun kalah.  Gabungan kek dan aiskrim sangat menjadi dan tidak pelik di mulut


GM dan Siti Cutie sibuk melayan kerenah Buah Hati dan Cayang


Jom buka hadiah!  Apa lagi yang menyeronokkan bagi mereka jika bukan dengan limpahan  buah tangan.  Yang tak menerima pun tumpang gembira





nota:  entri apa pula selepas ini ya??


  


Sunday, November 4, 2012

::Geramnya!!::

Sebelum turun menghadap komputer riba, nafsu memuncak mahu meneruskan agenda di ruangan ini namun semuanya hilang bila mendengar perihal ITU.  
 
Dari bersemangat, terus api menjadi marak marahkan seseorang atau mungkin individu-individu.  Hidup penuh alasan!  Seringkali kami yang terpaksa menurut keadaan.
 
GGGEERRRAAMMMnya!!!!  Tak pernah berubah, meski Allah turunkan pelbagai dugaan bagi membuka pintu kesedaran.  
 
Ya, mungkin saya tersalah sangka tetapi saya tahu dan dapat menjangka apa agenda sebenarnya.  Kalau berada di depan mata mungkin saya sudah membuat zina pertuturan dan pasti akan ada insan berkecil hati!
 
Argghh, pergi jauh perasan ini semua!  Saya mahu bergembira di penghujung hujung minggu bersama keluarga tersayang.  Keluarga yang cukup sempurna jika tanpa kehadiran anasir-anasir luar.
 
Mungkin saya kejam, tetapi bagi akal terdidik dengan baik saya tahu ianya berasas dan tanpa membuta tuli.  Semakin jelek dengan kerenah dipertontonkan!
 
Maaf November, entri pertama di bulan mu ini cacat dengan kata-kata kesat.  Apa pun saya manusia biasa, punya 1001 rencam rasa dan saya juga bukan para sufi boleh menzahirkan segala luar dalam dengan begitu suci.
 
 
 
 
nota:   bila masa perhitungan ya...