Sehari sebelum raya pagi-pagi dah bangun, segera keluar rumah. Nak kena servis kereta pula. Haruslah servis bagi mengelakkan sebarang insiden tak diingini.
Ke bengkel biasa kami di Jalan Ipoh. Meski esok nak raya masih lagi ramai orang menghantar kereta. Semuanya misi yang sama.
Yalah, walaupun bengkel milik usahawan berbangsa Cina, tutup bengkel mengalahkan Melayu. Hampir seminggu lamanya, itu yang ramai menyerbu di hari sama.
Ingatkan nak servis biasa, sekali tu banyak pula hal bersabit. Hampir tengahari juga saya dan Abang duduk menunggu di sana. Itu pun ada yang tak boleh nak diselesaikan tapi masih selamat untuk dipandu.
Orang nak beraya, kereta pun nak tukar barang baru juga. Nak menangis bila melihat not ringgit bertukar tangan. Habis duit bonus Abang :(
Selesai di bengkel pergi ambil kek pula kemudian terus cari pemborong. Misi membeli kacang dan kerepek untuk dua buah rumah. Memang setiap tahun pun begitu cuma tahun ini terlewat beli.
Banyak pemborong dah tutup kedai. Nak ke Chow Kit bimbang tersangkut dalam kesesakkan. Akhirnya ambil keputusan ke NSK Selayang.
Dapatlah beli 3-4 jenis kacang dan kerepek. Bunga api pun dapat juga! Masing-masing anak buah ramai, layankan sahaja.
Dah puas hati segera pulang ke rumah saya. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Abang dan Macho Man akan membakar lemang.
Tahun ni dalam 25 batang lemang harus dilangsaikan. Mujur GP beli barang pasar awal, kalau tidak lewat juga nak mula membakar. Lambat mula, lambat siap.
Mereka berdua ni dah kira tahap pro bakar lemang, yalah kerja wajib saban tahun. Hasil pun tak mengecewakan, cantik sahaja tekstur lemang dibakar
Lebih kurang 9 malam, siap dibakar. Cuma sedikit kecewa tahun ni GM terlupakan ketupat. Hambar rasa bila tak dapat menikmati ketupat di pagi Syawal
Sambil-sambil bakar lemang, seperti biasa yang perempuan buat kerja di dapur bantu GM masak juadah terakhir berbuka puasa. Tak adalah tolong beria, setakat suka-suka..hahaha..
GM takkan masak rendang dan kuah kacang di malam raya. Memang begitu saban tahun, katanya nanti hilang feel nak makan di pagi raya.
Biasanya GM akan bangun jam 4-5 pagi dan akan terus siap juadah di pagi hari. Tapi nasi himpit memang rebus malam.
Ayu Bam Bam pula merealisasikan misi kuih raya. Nak buat macamana, langsung tak ada kuih rayakan, terpaksalah juga buat 2-3 jenis. Kalau tidak kosong balang kuih. Isi kacang, kerepek dan popiah jawabnya.
Itu pun dia buat mana yang termampu, separuh lagi simpan bakar lain kali. Tak larat dah nak melayan sampai ke Subuh. Kalau diteruskan tak beraya dia tahun ni.
Siap-siap kemas tempat bakar lemang, tengok jam masih awal lagi. Pujuk Abang ke Uptown. Tak dapat ke Jalan TAR, Uptown pun jadilah. Sambil cuci mata mana tahu ada yang terpikat boleh beli.
Sesi memujuk. Nasib baik berjaya walaupun penat. Kasihan dia nak kena layan karenah macam-macam di malam raya
Adalah beli 2-3 barang termasuk brooch dan butang baju melayu. Tiap-tiap tahun beli brooch tapi bila nak pakai semua entah ke mana. Pelik betul!
Itulah padahnya jika bersikap sambil lewa bila menyimpan. Hujung-hujung semua ghaib. Setiap tahun kerjanya adalah membeli yang baru.
Balik sebelum hujan turun dengan lebat. Perasan tak, setiap kali malam raya mesti hujankan?
Eh tak tahulah sama ke tidak dengan orang lain tapi seingat saya memang tiap-tiap tahun malam raya hujan akan turun. Lebat dengan tidak itu sahaja bezanya. Hujan rahmat namanya.
Abang balik, saya pun naik atas terus GGEEDDDEBUSSH! Konon nak tengok siaran secara langsung di TV, akhirnya tersadai. Letih terkejar sana sini 2-3 hari tu yang letih melampau.
Selalu ada juga saya tolong keluarkan balang kuih, susun-susun atas meja. Tahun ni haram! Alas meja pun tak cari. Telanjang bulat meja tetamu. Ke laut betul mood.
Bila fikir-fikir balik, tak enjoy pun ya. Habis tu, buat semua perkara terkejar-kejar mana nak ada feel. Next year, Insyaallah tak boleh macam ni dah. Hilang momen manis nak sambut Syawal.
Entri pra-Syawal cukup sampai sini. Dah tak ada apa nak diceritakan pun. Itulah lebih kurang kisah nak sambut Aidilfitri kali ini. Bukanlah menarik mana tapi tetap kongsi di sini.
Terima kasih tau pada yang membaca. Lepas ni proceed cerita riang ria Aidilfitri pula. Seperti biasa tak ada gambar setakat celoteh panjang berjela :)
nota: mudah benar tersentuh hati...