Followers

Tuesday, March 4, 2014

::Jerebu Pula::

Belum pun tamat krisis air dan masalah denggi hebat melanda, satu lagi ujian besar Allah SWT turunkan.  Jerebu pula mengambil tempat, menghambat sesak nafas berpanjangan.
 
Allah benar-benar menduga umat dunia.  Bersabarlah menerima segala ketentuan, yang penting terus berdoa moga-moga Allah kasihani pada kita hambaNya.
 
Teruk juga jerebu walhal baru satu hari.  Semalam sehingga ke petang, cahaya matahari gagal menembusi perangkap asap.  Bacaan IPU di beberapa bandar utama mencatat paras tidak sihat.
 
Isu jerebu ni kerap menghantui kitakan?  Selang beberapa bulan, mesti kembali semula.  Bila jerebu, tahap kesihatan paling membimbangkan terutamanya penghidap asma.  
 
Sejak semalam sehingga ke pagi ini banyak kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur dibasahi hujan.  Sayangnya hujan turun tidak mengurangkan jerebu.  Malah keadaan semakin teruk.
 
Alhamdulillah, meski pun kehadiran hujan dikhabarkan hasil dari pembenihan awan.  Bagi saya kalau tiada izin dariNya, buatlah apa cara sekali pun hujan takkan turun.  Melalui restuNya dan kebolehan teknologi terkini terhasil air dari langit meredakan kepanasan bumi.
 
Cuma masih belum dapat kepastian samada hujan yang turun berjaya meningkatkan paras air di empangan.  Ini kerana sehingga hari ini, paras air di beberapa kawasan tadahan semakin meruncing kuantitinya.
 
Berita melalui radio melaporkan, dalam masa terdekat akan ada catuan peringkat ketiga sekiranya paras air semakin merosot dan kali ini melibatkan kawasan Ampang dan Melawati.
 
Setakat hari ini kami bernasib baik.  Rumah masih dapat menikmati kemudahan air walhal daerah sekeliling semuanya sudah melalui proses catuan air.
 
Siapa nak mandi, meh datang sini.  Saya caj tak mahal, seorang RM50 sahaja...hahahahaha...MAHAL GILA!!!  
 
Apa pun, kami sekeluarga tetap bersiap sedia.  Khuatir tiada sebarang notis dikeluarkan, tahu-tahu dah tak ada air.  Mati akal dibuatnya.
 
Oh ya, siapa dah dapat BR1M?  Mesti ramai dah dapatkan.  Tahun lepas saya layak, tahun ni tak tahu pula sebab tak update nombor akaun.
 
Ramai lagi tak dapat walaupun tahun-tahun sebelumnya pernah nikmati.  Dah update akaun nombor tapi masih tak terima.  Beberapa individu disekeliling saya sehingga hari ini masih belum terima.
 
Khabarnya tahun ini semakan ketat sedikit.  Sesiapa punya kenderaan lebih dari satu secara automatik tidak layak.  Ada mengkhabarkan semakan melalui KWSP juga turut dilakukan, Wallahualam...
 
Bagi saya tak kisah jika hendak melakukan semakan biar dengan telus.  Ini kerana ada di antara penerima sebenarnya tidak layak langsung tetapi suami dan isteri menerima bantuan.
 
Caranya mudah, daftar alamat berbeza dan isytihar ibu atau bapa tunggal.  Ada juga suami daftar alamat lain, isteri daftar tempat lain, kedua-duanya peroleh.
 
Saya bukan tabur fitnah atau mereka-reka cerita.  Ini pengakuan mereka yang buat perkara sedemikian.  Dah mereka nak lakukan sedemikian, apa saya nak kata meski itu satu kesalahan.
 
Rasanya mereka ini sudah cukup dewasa menimbang tara perbuatan.  Bukan budak-budak, ada yang sudah boleh menimang cucu.
 
Sebab itulah saya kata, Kerajaan harus menyediakan satu mekanisme khusus untuk menyemak supaya dapat menyalur bantuan secara telus.  
 
Ini kerana ada di antara yang tidak dapat menerima BR1M sebenarnya golongan benar-benar memerlukan bantuan.  
 
Harap sangat Kerajaan Malaysia memandang serius isu ini dan bukan sekadar memberi sebagai gula-gula kepada rakyat.  Terlebih manisan mengundang padah, terutamanya kesihatan.
 
Dari kisah cuaca, masuk ke isu BR1M pula.  Suhu dingin menyebabkan otak ligat berpusing, itu yang muncul macam-macam cerita :)
 
Selamat bertugas pada yang berada di pejabat dan selamat menjalani bulan ketiga di tahun 2014.  
 
 
 
nota:  teruslah hujan hendaknya...
 
 
 
 
 
 

Thursday, February 27, 2014

::Krisis Air Mula Melanda::

As-salam di pagi Khamis yang indah meski sedang diuji cuaca kering agak melampau sehingga mengakibatkan emapangan takungan air turun ke paras kritikal.

Apa lagi, siapa siaga semua warga Malaysia terutamanya yang berada di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Dalam masa yang sama, mari kita menadah doa semoga Allah SWT menurunkan hujan rahmat bagi mengakhiri musim kemarau dan menamatkan kemelut air.

Banyak masjid-masjid negeri melakukan solat hajat memohon segala yang terbaik dari Maha Esa.  Sekiranya solat hajat ada dilakukan berhampiran anda, marilah kita turut serta. 

Semalam pembenihan awan gagal dilaksanakan ekoran kekurangan awan.  Hmm..nampak gaya krisis air akan berlarutan sementelah Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca kering akan berlarutan sehingga pertengahan Mac.

Semoga perancangan pembenihan awan akan berjaya dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini bagi membantu menaikkan kembali paras air di empangan yang semakin kering.

Bagi mereka yang terlibat dalam jadual catuan air, mulalah menyimpan bekalan segera.  Menurut rakan yang punya pengalaman, tak semestinya 2 hari sahaja.  Catuan boleh berlaku sehingga ke seminggu lamanya.  

Setakat ini kawasan saya tidak terlibat lagi tapi mulai Ahad ini lebih banyak lagi kawasan akan mula mengalami catuan air.  Parah!

Sebumbung dengan bilangan lebih dari 8 orang, sudah pasti kami begitu terkesan sekiranya air dicatu.  Anak-anak di rumah tidak keruan jadinya bila bilangan mandi terpaksa dikurangkan.

Itu belum ambil kira memasak dan membasuh.  Bayangkan sekiranya baju tidak dicuci dalam tempoh dua hari, tidakkah menggunung hasilnya nanti?

Masak di rumah pun susah, makan di luar pun susah.  Dah masak kemudian makan, operasi membasuh memerlukan air yang banyak.  Makan di luar setiap hari tiris pula poket nanti.

Susahkan bila krisis air melanda?  Dalam tempoh sebegini harap jangan ada yang ambil kesempatan sesama sendiri.  Peniaga-peniaga tong air janganlah naikkan harga tong sehingga 200%-300%.

Ini bukan tuduhan mahupun omongan.  Sudah ada rungutan bila ada kedai menjual tong tadah air dengan harga sangat mahal.  Siap boleh kata kalau nak beli, kalau tak nak cari tempat lain.

Kita sama-sama berada dalam krisis, apa salah lebih kurang.  Bukan dengan sesiapa pun, dengan orang-orang kita juga, rakyat Malaysia.

Dalam situasi ini semua terkesan.  Bekerja ke duduk rumah ke, peniaga ke pembeli ke, anak-anak di sekolah ke anak-anak di rumah ke, pendek kata SEMUA terpaksa berhadapan dengan isu ini.

Tak perlulah kita mengambil langkah mementingkan diri sendiri.  Fikir juga situasi orang lain turut berdepan isu yang sama.    

Bagi mereka yang tidak berhadapan krisis air ini, apa kata tolong sama-sama berdoa semoga segala kembali pulih.  Lagi ramai berdoa, Insyaallah segera doa tersebut disambut Allah SWT.

Selepas ini jangan membazir air ya.  Allah marah :)




nota:  air oh air...air oh air...air oh air...

Thursday, February 20, 2014

::Borak-Borak::

Lagi beberapa hari sahaja Februari pula bakal melabuhkan tirai.  Aduh, terlalu pantas saat beredar tanpa menoleh ke belakang seketika.  Takut pula berdepan hari-hari mendatang.

Tiba-tiba teringat saya belum langsai sepenuhnya hutang puasa.  Dahlah banyak hari, jawabnya minggu hadapan harus dipaksa diri supaya segera melunas apa yang perlu.

Bicara puasa tak lupa kait perihal raya meski jauh lagi.  Jauh tak jauh sekelip mata sahaja nanti harinya tiba.  Putaran waktu mana pernah berhenti.

Tema baju raya telah dibincangkan dan mendapat kata sepakat.  Jenuh juga memikirkannya.  Harus rajin ke kedai kain bagi mendapat tawaran hebat serta menepati tema diingini.

Tak perlu berhelai-helai, sepasang sudah mencukupi.  Apa yang ada di gerobok masih boleh recycle sebulan.  Semua masih elok tergantung.  Cuma saiz sahaja bakal menjadi isu.

Bukan makin menguncup ya, bertambah mengembang itu sudah pasti.  Sementelah tiada sasaran penurunan berat badan, redha sahaja dengan apa yang ada..hahaha...lebih pada nada kecewa.

Kita sedang berada di musim kering setelah melalui fasa perubahan cuaca mendadak buat seketika.  Setiap hari berita berkenaan paras air di empangan semakin surut dan  berada di paras membimbangkan.

Hutan-hutan Malaysia pun sudah ada yang terbakar dengan sendirinya dek penangan cuaca panas melampau.  Penyakit bertebaran meluas, klinik penuh sentiasa.

Ini semua dugaan buat kita.  Bersabarlah hendaknya dan berdoa moga Allah melimpahkan hujan rahmat bagi mengatasi masalah sedia ada.

Tapi sebenarnya satu dunia sedang berdepan pelbagai dugaan.  Ada negara tidak pernah banjir, tiba-tiba disaluti air.  Ada negara yang aman sekelip mata dihujani peluru.  Ada negara yang suhunya paras sejuk secara tiba-tiba mendadak naik suhu.

Hari tu sedang menanti di sebuah tempat sambil menonton berita dunia, seorang pakcik berbangsa Cina tersenyum melihat musibah bencana melanda dunia.

Dengan tenang dia berkata "worlds is coming to the end, get ready".  Tersentak saya seketika!  Bukan tidak percaya akan Kiamat (naauzubillah) tapi terkadang alpa mengingatinya.

Pakcik tersebut bukan Islam agamanya tetapi sudah bersedia dengan ketentuan.  Saya ni?? hmm...lebih menghitung dosa dari pahala.  Aduhai!

Dah bercampur-aduk cerita.  Tak ada sasaran butiran macam nilah jadinya.  Got to go, ada kerja sedikit.  Insyaallah ada masa saya tambah bebelan lagi :)

Have a nice day ahead friends!




nota:  kecut perut secara tiba-tiba...



Tuesday, February 18, 2014

::Terjawab Sudah::

Akhirnya segala angin bertiup kencang berkenaan rumahtangga aktres kesayangan ramai, Erra Fazira terjawab sudah.  

Saya minat Erra dari awal pembabitan dia di dunia seni.  Minat sebab dia cantik di mata saya.  Kemudian kisah percintaan romantis di antara Erra dan Awie.

Bila pasangan ini putus tunang, sedih betul saya dan berharap akan ada jalan untuk menyambung kembali perhubungan yang tidak menjadi.

Kalau dah suka, buatlah apa pun nampak elok sahaja di mata..hehehe...bercinta+putus, kahwin+bercerai semuanya saya sokong aktres cantik ini dari jauh.  

Hari ini, secara sah Erra bercerai talak satu dengan Engku Emran dan hak penjagaan Aleeysa dapat pada bekas suaminya.  Manakala, Erra mendapat hak melawat dan bermalam.

Kasihan melihat kisah hidup si cantik jelita ini.  Dia punya segala tapi belum menemui bahagia di alam perkahwinan.  

Semoga selepas ini Erra Fazira juga pengacara rancangan wanita popular Primadona akan terus berjaya dalam segala lapangan diceburi dan menjumpai cinta sejati.

Sebagai peminat, saya mendoakan dia akan berbahagia dunia dan akhirat.  Mac ini Erra Fazira, Awie dan Ziana Zain akan beraksi di Istana Budaya.  

Bagi peminat-peminat filem Sembilu jangan lupa dapatkan tiket dan melihat persembahan mereka yang pastinya memukau dan khabarnya akan mengimbau kenangan filem-filem lakonan mereka bertiga.  Agak-agak Abang nak pergi tonton tak? ;) 




nota:  bertemu dan berpisah adat manusia...

Saturday, February 15, 2014

Alhamdulillah, Rezeki

Mula blog dalam tahun 2009 ke 2010 macam tu.  Buat blog bila teruja melihat beberapa orang disekeliling seronok punya ruang peribadi.

Tapi sayangnya, dah ada blog rasa tak sesuai pula nak cerita kesemua hal diri.  Kebuntuan idea sering menghantui.

Makanya harap maklumlah jika nilai terkumpul di Nuffnang hanya setakat mana yang ada.  Lama betul buka akaun, baru ini cash out.

Tak apalah, saya tidak pernah meletak sebarang sasaran.  Apa yang dapat rezeki namanya :)

Cash out sekali dengan nilai dalam ChurpChurp.  Dari mula diperkenalkan sehinggalah cash out, jumlah ngam-ngam layak untuk tunaikan..hehehe..

Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah...

Nota: entri dari tablet yang dipinjam

Thursday, February 13, 2014

::Ragam Bersekolah::

2014 bermula segala yang baru.  Harapan dan cita-cita juga tidak terkecuali tapi yang paling utama bila anak-anak di rumah mula bersekolah.  

Buah Hati officially Standard One, satu cabaran besar bagi dia dan juga kami di rumah.  Biasalah cucu sulung, segalanya menjadi perhatian.

Berdebar sebenarnya mengenangkan karektor dia yang pelbagai.  Risau lebih bila dia ke sekolah.  Mujur 3 tahun di tadika sedikit sebanyak membantu.

Itu pun tak sampai 2 bulan sudah timbul macam-macam cerita terutamanya barangan peribadi lesap entah ke mana.  Pening kepala mama dia!

Paling best, kasut di kaki boleh bertukar dengan orang lain.  Pelik tapi benar.  Sampai hari ini dia tak boleh beritahu siapa ambil kasut.  

Mendidih hati semua orang di rumah sementelah kasut dibawa pulang koyak+sangat buruk.  Tak pasti apa sebenar cerita disebalik pertukaran kasut.  

Dia memang kuat berahsia sehingga ke tahap kalau orang buli dia pun takkan buka mulut.  Sudah ke sekolah mengadu pada guru, sayangnya tiada sebarang tindakan susulan.

Terfikir juga takkan ibu bapa budak yang ambil kasut Buah Hati tidak perasan langsung.  Lagipun Siti Cutie siap tulis nama di kasut tersebut.  Hujung minggu takkan tak pantau anak-anak cuci kasut.

Sehingga ke hari ini jika bertanya siapa ambil kasut dia, jawapan diberi "tak tahu..tak tahu..tak tahu.."

Saya sendiri ke sekolah 2 hari berturut-turut, siap check kasut kawan-kawan dia (dah satu kerjakan).  Malangnya tidak jumpa.

Mungkin ada yang kata "alah, kasut je pun!"  tapi bagi kami ini bukan sekadar isu kasut.  Memang kasut baru boleh dibeli.  Ini lebih kepada sikap budak-budak yang tidak tahu hormat hak orang lain.

Tak saya nafikan Buah Hati ada salahnya juga.  Jika dia punya ketegasan pasti perkara ini tidak berlaku, tetapi jika dia tidak tegas sekali pun adakah boleh sewenang-wenangnya dipermainkan?

Tolonglah ibu bapa di luar sana.  Ambil tahu hal-ehwal anak-anak, kalau dah terambil barang orang pulangkan semula.  Jangan ajar anak ambil mudah semua perkara.  Dari situ banyak lagi perkara negetif boleh timbul.

Kalau kenang insiden kasut tu memang panas hati.  Tengoklah sampai bila agaknya kasut dia akan terus ghaib.  Buah Hati didenda pakai kasut kotor.  Kalau nak kasut bersih, dapatkan semula kasut.  Entah berjaya atau tidak misi ini.  

Cayang Eki juga mula ke tadika.  Cabaran juga meski dia yang meminta untuk ke sekolah, bila dah ke sana lain jadinya.  

Hari pertama seharian Ninie bertangga di tadika walhal dah berjanji hanya hantar dia sahaja ke sana.  Gerak mahu pulang, terus melalak.  

Seharian menangis sehingga mohon bantuan Macho Man.  Dia takut sedikit dengan Papanya tu.  HARAM tak jalan.  Menangis tetap menangis..hahaha...

Hampir seminggu juga insiden menangis.  Saya hantar pagi ke sekolah menangis, keluar rumah menangis, pakai baju menangis.  Yang best, dah masuk dalam kelas hilang airmata.  Kuat berdrama betul!

Memang dia kecil lagi, meski baru berusia 4 tahun, potensi dah ada.  Ajar semua masuk.  Tapi itulah, dah bijak 1001 alasan diberi mengapa dia tidak perlu ke sekolah.  Sampai hari ini setiap pagi adalah sedikit masalah.  Menangis sahaja dah hilang.

Manje Yash tak kurang hebat.  Dia ke sekolah Siti Cutie mengajar.  Memanglah tak nangis ke buat hal ke tapi dah melekat macam gam dengan Mamanya.  Macamana Mama dia nak mengajar.

Sudahnya, genap sebulan terus tak ke sekolah.  Tak apalah, dia baru tiga tahun, masih banyak masa lagi.  Nampak sangat duduk di rumah lebih seronok dari bersekolah.

Macam-macam halkan!  Seronok lihat depan mata mereka membesar.  Dulu kita mula bersekolah, bagaimana perasaan mak ayah kita agaknya.  Gemuruh bak gunung berapi agaknya.

Nanti lain kali saya kongsi lagi kisah persekolahan mereka, Insyaallah.  Setakat hari ini saya punya kelapangan menghantar dan menjemput mereka.  Tapi bukan setiap masa, ada giliran masing-masing.

Sekolah semuanya belakang rumah, tak berbaloi naik kenderaan sekolah.  Nak biar ke sekolah bersendirian satu perkara mustahillah.  Lagi pun kadar jenayah masa kini takut nak menyebutnya.  Lebih ramai hati binatang dari hati manusia!




nota:  pening..pening..pening..

Wednesday, February 12, 2014

::Dah Penat::

Walau tidak merancang secara rapi, setiap kali masuk tahun baru pasti ada resolusi disenaraikan meski kebiasaannya setakat melakar azam sahaja.  Masuk bulan ketiga, semua hilang entah ke mana.

Baru saya perasan, tahun ini saya tidak meletakkan azam untuk kurus atau menurunkan berat badan.  Walhal setiap tahun, azam tersebut sentiasa renew.  

Dah malas dan penat untuk letak harapan barangkali kerana itu tidak endah sangat dengan agenda menurunkan berat badan.  Janji sihat!

Semakin berusia semakin dapat menerima kenyataan.  Tak semua kita ingini bakal bertukar realiti.  Tapi kalau usaha berlipat ganda, tiada yang mustahil.

Jenis orang pemalas nak gigih berusaha turunkan berat badan beginilah gayanya.  Cuba 5% bertahun-tahun, 95% effort balance give up...hahahha...

Sesiapa yang berazam untuk mendapatkan berat badan ideal, jangan sampai berputus asa seperti saya.  Giatkan usaha!  Berat badan penting dalam mengekalkan kesihatan diri.

As for me, asal in a good shape dan kesihatan great cukuplah.  Makan harus dijaga juga, nanti merana kelak.



nota:  gembira walau gemuk...hehehe...


Tuesday, February 11, 2014

::Projek-Projek Amal::

Sesiapa pernah baca entri-entri lepas, ada saya ceritakan sedikit mengenai projek-projek amal yang saya turut serta.  Nak kata aktif sangat tu tidak juga.  Bergantung kepada kelapangan.

Tapi saya mengikuti rapat berita dari NGO ini.  Ada lebih sedikit isi kantung saya salurkan buat tambahan pungutan.  Selebihnya saya hanya jadi tukang war-war.

Di sini saya kongsikan beberapa pertubuhan yang aktif membantu baik di dalam dan luar negara.  Mostly mereka update aktiviti di FB so just "LIKE" page mereka.  

1)  Projek Iqra' - currently mereka mengadakan Kelas Rakyat di rumah anak-anak Baitul Ehsan, Gombak dan At-Taqwa, Puchong.  Sesiapa berminat menjadi sukarelawan membantu anak-anak pemangkin generasi ini boleh lawati FB mereka di:   https://www.facebook.com/ProjekIqra  Dari masa ke semasa ada sahaja program dilancarkan

2)  Telekung Project - sekarang sedang melancarkan program #Bubur4Ukhwah.  Program pemberian bubur setiap hari Jumaat di masjid-masjid terpilih.  Dana diperlukan dari masa ke semasa.  Untuk projek akan datang Telekung Project boleh lawati: https://www.facebook.com/TheTelekungProject.  Banyak program berjaya dilaksanakan dan akan datang banyak lagi menanti dari kalender Telekung Project.

3)  Aman Palestine - dari nama Pertubuhan pun dah tahukan, mereka membantu saudara-saudara kita di Palestine.  Sumbangan sentiasa diperlukan untuk disalurkan kepada mereka di sana.  Link FB Aman Palestine:https://www.facebook.com/AmanPalestinOfficial

4) Islamic Relief Malaysia - NGO ini memberi tumpuan bantuan kemanusian ke seluruh dunia seperti Syria, Palestin, Mesir dan banyak lagi.  Kebanyakkannya negara menjadi mangsa pergolakkan Kerajaan.  Nak tahu lebih lanjut:  https://www.facebook.com/IslamicReliefMalaysia

5)  Project Made -  Pertubuhan membantu rakyat Malaysia tanpa mengira agama.  Project Made ada Feeding Programme, Festive Contribution, Medicine Programme dan banyak lagi.  Sesiapa berminat nak turut serta sebagai sukarelawan dan menghulur bantuan seadanya boleh ke: https://www.facebook.com/pages/Project-Made-FB-Page-2013/210284292448522

Banyak lagi di luar sana NGO bergerak aktif.  Ini antara yang saya pernah turut serta.  Peluang bersama untuk rebut saham akhirat.  

Tiada paksaan dalam bagaimana dan apa yang hendak kita sumbangkan.  Sebarkan pada orang ramai pun satu cara kita menyumbang kepada komuniti.  Ramai dari kita lebih dari mampu, apa salahnya jadi sebahagian dari mereka-mereka ini. 



nota:  hasil dikongsi bersama demi pembangunan ummah...

::Panas, Jangan Lupa Jaga Kesihatan::

Kalau tak silap, sudah masuk minggu ketiga air dari langit tidak turun membasahi bumi.  Setelah kecoh seketika perubahan suhu cuaca, awan seakan merajuk pula mahu berkongsi air.

Bila suhu persekitaran meningkat, badan pun rasa semacam.  Luar dalam rasa panas.  Tidur malam, Ya Allah sangat membahang.  Terpaksa hidupkan penyaman udara seketika.

Panas macam ni pun dah tak tahan, esok di Padang Masyar apalah keadaannya.  Ambil ikhtibar sikit ya tuan empunya diri.  Jangan leka ingat dunia sahaja.  

Harapnya Allah hadiahkan sedikit titisan hujan buat penyejuk seketika.  Kawasan-kawasan lain di Malaysia pun lebih kurang sama ke?  Maaflah ya, tak baca akhbar sangat inilah jadinya.

GM sukalah cuaca sebegini, sidai kain kurang dari 3 jam dah selesai kering.  Tak perlu berlama-lama di ampaian.  Tapi kulit pedih sedikit bila panahan terik menikam.

Cuma itulah, ramai betul jatuh sakit.  Klinik dan hospital penuh orang menanti rawatan.  Paling teruk dikhabarkan wabak denggi.  Tolonglah rakyat Malaysia semua, jaga persekitaran.

Bukannya apa, bila wabak merebak ramai terlibat sama.  Hanya kerana kesilapan kita tidak peka dan enggan menjaga kebersihan sehingga aedes membiak bermaharajalela, orang tidak berdosa menjadi mangsa.

Kematian tidak mengenal usia tetapi bila maut mengundang dari kelalaian kita, berdosa jadinya.  Ambil beratlah sedikit isu demam denggi ni dan ambil langkah awal menyekat penyebaran secara berleluasa.

Budak-budak di rumah ini pun tak berapa sihat.  Lepas seorang, seorang pula jatuh sakit.  Dah pergi ke hospital, Alhamdulillah tiada denggi cuma ada jangkitan bakteria pula.  Itu yang demam dan batuk.

Risaukan bila ramai sakit.  Saya pun hari tu dah rasa tak sedap badan, cepat-cepat telan ubat+supplement.  Nasib baik okay sedikit.  Kalau tak, haru juga jadinya.

Kawan-kawan di luar sana, ambil berat kesihatan diri juga.  Banyakkan minum air putih, elakkan terdedah dengan udara luar yang tidak sihat dan kalau boleh ambil vitamin tambahan bagi menguatkan antibodi.

Jangan lupa juga mohon dari Allah SWT supaya kita dikurnia kesihatan baik dan sentiasa dilindungi dari anasir-anasir sakit yang hebat melanda.  Insyallah, semuanya akan okay.

Tapi kalau diuji dengan sakit, redha sahaja.  Sakitkan juga satu kifarah dalam misi penghapusan dosa-dosa (Wallahualam).  Lagipun bila ujian melanda itu tandanya Allah sayang pada kita dan sentisa mahu kita ingat DIA  :)




nota:  asal jangan panas hati...


Sunday, February 9, 2014

::Maharaja Lawak Mega 2013::

Dah masuk Februari, entri di blog masih sendu.  Semangat masih belum stabil meski laptop sudah dibaik pulih.  Masalahnya software pula belum ada.  Payah juga nak edit gambar.

Semalam berlangsung Final Maharajalawak Mega 2013.  Confirm semua terpacak di depan kaca TV, mahu menghibur hati sambil berteka-teki siapa bakal menggodol hadiah lumayan.

Keputusan sudah pun kita ketahui, Sepahtu berjaya menjadi juara.  Which I guess they won due to popularity not on content.  Tak bersetuju, its okay.  Pendapat masing-masing.

Sedari awal bila Kumpulan Sepahtu menjadi peserta, saya membayangkan mereka bakal menjadi pemenang epik.  Menang dengan penuh bergaya dan selayaknya memegang mahkota juara.

Sayangnya, dipertengahan program prestasi merudum.  Lawak disajikan tidak lagi menyengat.  Samada kekeringan idea atau pun masalah keserasian, tetapi dulu mereka bertiga juga.

Hari tu ada terbaca surat terbuka buat Jepp Sepah di FB.  Katanya kenalan lama yang kecewa prestasi Sepah menurun dan ianya berpunca dari ketiadaan Mamat.  Wallahualam!

Malam tadi, persembahan Sepahtu bertaraf biasa sahaja.  Tapi adalah momen menarik yang boleh capture penonton.

Melihat pada persembahan keseluruhan saya mengagak samada Shiro dan Bocey bakal membuat kejutan.  Lagi pula mereka sangat konsisten sepanjang pertandingan.  Setiap minggu membawa cabaran ke satu tahap lebih tinggi.

Dunia lawak perlu pelapis berpotensi dan mereka antara layak menerajui dunia lawak Malaysia tapi harapnya mereka tidak selesa dengan apa yang dah ada.  Terus memperbaiki diri dari masa ke semasa.

Saya agak kecewa bila Nabil tidak mampu terus konsisten setelah memberikan persembahan terbaik di awal-awal minggu and he deserve the place :(

Jangan tak tahu saya penyokong Nabil dari zaman Raja Lawak lagi.  Melihatkan kebolehan melawak secara solo dan mampu menggeletek hati penonton, itu sudah cukup baik.  Satu kepala tidak sama dengan dua atau tiga kepala ya!

Tak pasti samada Nabil keputusan idea atau dia terlalu sibuk dengan kerja seharian sehingga menjejaskan persembahan saban minggu.  Ingatkan Nabil mampu memberi saingan sengit pada peserta lain.

Apa pun, meski  Nabil did not nail me during final and week before but I will support him along his career as comedian.  Cuba kita fikir siapa sahaja yang boleh berlawak secara bersendirian?  

Am not fan of Jambu since day one.  Bukan tak best, bukan juga best.  That's how I feel.  Lagi pula, saya agak kurang gemar lawak ala Jambu.  Tapi bila menonton ada yang mencuit hati gelak juga :)

Lumayan benar hadiah ditawarkan.  Mesti Astro untung banyakkan?  Main sponsor Daia pun making money.  Rezeki masing-masing.  Tengok tu, hanya dengan melawak mampu hidup senang tau!  

Next year siapa pula contestant bakal bertanding.  For sure Sepahtu tak akan berada di dalam senarai melainkan mereka menambah ahli atau keluarkan ahli sedia ada.  

Agak-agak Nabil nak bertanding lagi tak?  Ada desas-desus mengatakan ini pentas terakhir buat dia, setelah asyik dikecam saban minggu.  Macam merajuk sahaja bunyinya.

Terima kasih Maharajalawak Mega 2013 kerana telah menceriakan setiap malam Sabtu kami.  Lepas ni, harap peserta masa akan datang akan lebih bersedia dan memberikan persembahan lebih baik dari sebelumnya




nota:  rindu pula lawak Jozan...


Wednesday, January 22, 2014

::Suatu Yang Baru::

Selayaknya digelar Chipsmore bila kehadiran entri "sekejap ada sekejap tiada".  Nak buat macamana, banyak perkara masih belum stabil dan mengizinkan diri untuk terus berada di hadapan komputer.

Sekejap sahaja dah menuju ke akhir Januari.  Kehadiran cuti bersilih ganti lagi menambah rasa pantas masa berjalan.  Masakan tidak, semua pun sibuk menanti hari cuti, betul tak?

Terima kasih atas keprihatinan beberapa teman sudi berkongsi petua menghilangkan kegatalan yang melanda.  Alhamdulillah beransur sembuh meski belum sepenuhnya.  

Semalam ambil keputusan drastik untuk memotong rambut ke paras yang sangat pendek.  Kalau tak silap dekat 15 tahun macam tu tak pernah nak bergaya sedemikian.

Due to unforeseen reason, terpaksalah mengorbankan rambut.  Kalau ikutkan memang dah nak potong tapi tak adalah nak cut short.  Kalau bukan sebab "masalah" sah-sah tak jadi macam ni.

Nak kongsi gambar, tak pandai pula nak upload.  Pinjam laptop Macho Man beginilah nasibnya.  Payah pakai gajet berteknologi tinggi.  Pening kepala pun ya juga!

Tapi gambar ada dalam FB dan Instagram.  Oh, FB tak boleh tengok sebab restricted tapi Instagram boleh je ;)  

Bila renung kat cermin, sedih pun ada.  Terkenang zaman sekolah pun ya juga.  Dulu waktu bersekolah beginilah fesyen rambutnya.  Bezanya dulu kuncup sekarang terlebih ibu roti.  

Tak kisahlah, janji nampak muda remaja.  Inilah jadinya bila tak dapat menerima kenyataan umur semakin meningkat, asyik ingat nak nampak muda seperti belasan tahun.

New version of me in 2014, InsyaAllah new life coming ahead.  Past remain as sweet memories, future to be bloom for the best among the rest =) May Allah keep bless towards  everything!

Sedang merangka beberapa perancangan demi masa depan.  Dengan izin Allah SWT apa diusahakan harap mencapai kejayaan.  Yang penting nak keluarga dan orang berdekatan gembira dan bahagia, baru diri boleh bahagia sama.


nota:  suka sangat!

  

Wednesday, January 15, 2014

::Gatal-Gatal::

Dari minggu lepas hinggalah ke hari ini badan dilanda kegatalan melampau.  Bermula dari satu dua tempat di bahagian badan, sekarang dah merebak teruk!

Kerja asyik menggaru tak berhenti sehingga luka jadinya.  Tak tahu apa punca, tiba-tiba naik bintik macam gigitan nyamuk.  Kemudian membengkak.

Bila tak ubah seperti beruk kena belacan, baru terhegeh-hegeh ke klinik.  Itu pun puas ke sana sini mahukan doktor yang dah kenal.

Akhirnya mengalah, pergi juga jumpa doktor yang tak pernah buat rawatan.  Well, bila doktor tak biasa rawat di baginya ubat biasa.  Zyrtec+Piriton which I had consume earlier before seeing him.

Bezanya dapat suntikan.  Jadi marilah berdoa semoga gatal-gatal ini akan reda.  Malu rasanya bila tak berhenti menggaru.  Depan orang pun dah tak kira, miang punya hal.

Mean time, cari juga traditional remedy.  Anyone would like to share?  Cuci dengan air garam dah buat so other than that okay.  

Kalau tak baik juga terpaksa ke hospital.  Ini yang leceh but I pretty confident masalah ini akan berakhir.  

According to doctor, is either allergy towards food or surrounding.  Habuk ke hama ke pepijat ke semua boleh jadi so I took this reason sebabnya bilik dah lama tak berkemas.  Confirm kedap virus!

Kalau sudi, tolong doakan saya supaya gatal-gatal ini berlalu pergi.  Nak tengok gambar ke?  Nanti ya, buat masa sekarang fobia pula nak share.  Takut lama bertapuk di badan.



nota: macam-macam hal...

Saturday, January 11, 2014

::Update Biasa-Biasa::

Sepatutnya update blog sekerap mungkin antara azam 2014 tapi nampak gaya macam tak berapa nak menjadi.  Selagi isu internet dan laptop tak selesai, memang berkubur sahaja impian tersebut.

Sudah minggu ke-2 di tahun baru.  Alhamdulillah, permulaan baik bagi tahun ini meski masih ada perkara-perkara yang belum boleh diselesai sepenuhnya.  

Insyaallah, satu persatu akan dipermudahkan olehNya.  Yang penting terus berusaha dan berdoa.  Hanya Dia tempat mengadu terbaik.

Tahun ini juga anak-anak di rumah semuanya bermula sekolah.  Buah Hati masuk darjah satu, Cayang dan Manje ke tadika.  

Sunyi rumah bila mereka tiada.  Satu tapak ke hadapan mendekat diri dengan dunia luar.  Setiap kali mengenangkan kedewasaan mereka, setiap kali itulah juga hati dihambat sayu.

Beerti saya semakin jauh meninggalkan usia muda remaja, selamat datang usia dewasa.  Samada bersedia atau tidak, kenyataan harus dihadapi.  

Kalau tanya sesiapa, semua orang pun akan mengatakan tidak! hahaha..Janji hati sentiasa muda remaja.  Itu penting demi membawa keceriaan di dalam kehidupan seharian.

Ke mana sahaja hala tuju rakan-rakan hari ini?  Insyaallah petang ni saya nak ke restoran steamboat.  Ada orang nak belanja, Alhamdulillah.  Moga bertambah rezeki orang yang belanja kami hari ini.

Tak pernah pergi pun restoran steamboat ni.  Harap-harap menepati citarasa, nanti boleh bawa keluarga saya ke sana pula.  

Dah tak tahu nak cerita apa.  Berbicara tanpa imej macam tak best pula.  Nak buat macamana, pinjam laptop Macho Man bukan pandai nak download gambar segala.  Redha!

Umur panjang saya sambung berbicara lagi.  Saja update supaya bergeraklah juga senarai entri.  Sayang, idea mencurah tapi kekangan kemudahan membantutkan segalanya.



nota:  sedang berfikir....

Wednesday, January 1, 2014

::Suria 2014::

Indah benar suria pagi 2014.  Bibir hanya mampu mengukir senyuman tatkala masih bernafas di tahun baru, Alhamdulillah.

Apa perancangan di hari kelepasan am?  Cuti atau tidak masa saya sama sahaja.  Mengharapkan kesibukkan akan menjadi teman sejati sepanjang 2014.  

Malam tadi ada perhimpunan aman di Dataran Merdeka.  Ramai suara sinis menyindir tak turut serta ke?  Its okay, they have my support from far.

Kita punya hak untuk bersuara bukan bila merasakan sesuatu tidak kena dan isu kenaikkan harga bukanlah perkara enteng kerana kesan terasa sangat!

Jika tidak TURUN ke jalan, saluran mana lagi hendak KERAJAAN dengar rintihan?  Sedangkan apa sahaja kita lakukan selama ini seolah tidak membuka mata pihak berwajib.

Tak apalah seandainya ada tidak bersetuju dan selesa dengan kenaikkan harga tapi bagi kami yang sangat tersepit, itu adalah antara usaha meski saya yakin KERAJAAN memandang sepi.

Alamak, kenapa di hari nan indah ini saya membebel perkara menyengit hati?  Supposed fill with something positive to start my day.

Okaylah, nak siap siaga.  Mahu menjemput Abang dan mengisi hari pertama 2014 dengan perkara-perkara indah.  Esok Buah Hati mula bersekolah, tak sabar nak kongsi pengalaman!




nota:  hanya perlu senyum...

::Selamat Datang 2014::

Secara rasminya 2013 melabuhkan tirai dan memberi laluan pada angka 2.0.1.4. pula membuka lembaran baru.  Alhamdulillah masih lagi dipanjangkan usia untuk terus menikmati setiap detik yang ada.

Tidak dinafikan, 2013 banyak memeta kenangan-kenangan duka.  Ujian diberikan bersilih ganti sehingga ada ketika hilang punca.

Namun dalam setiap ribuan kepahitan, terselit momen indah untuk dikenang dan disimpan rapi.  Biar hanya mengukir senyuman seketika itu sudah cukup membawa erti.

Alhamdulillah, disaat 2013 siap siaga menutup episod, Allah turunkan berita gembira tidak terperi.  Segala kepahitan yang ditelan selama ini serasa hilang dengan hanya setitik kemanisan.

Ternyata 2014 adalah langkah baru bagi kami semua.  Segala rintangan didepani selama ini akan menjadi panduan membina sebuah kehidupan lebih bermakna, Insyaallah.

Pentas 2013 sangat hebat!  Banyak lakonan dipertontonkan dalam membuat pertimbangan siapa kawan siapa lawan.  Bukan semua yang baik itu berterusan baik dan tidak semua yang jahat selamanya jahat.

Terima kasih tak terhingga pada beberapa individu yang amat memahami situasi sebenar dan sering mengutus kudus doa supaya segala permasalahan berjaya dirungkai dengan segera.

Entah kenapa, saat menaip entri ini tersenyum mengingat apa telah dilalui.  Betapa hebat dugaan Mu Ya Allah, hebat juga diri ini tegak berdiri menerima semua ketentuan.  Segalanya penuh hikmah!

Tidak lupa buat keluarga serta insan bertakhta di hati.  Apa lagi diperlukan selain dari kasih sayang?  Menerima itu semua dari mereka sudah besar rahmat kerana kasih dihulur sayang diberi tiada bandingan dengan sebarang material di dunia.

Semoga 2014 akan dipenuhi dengan keceriaan dan detik-detik indah untuk diabadikan.  Allah tidak menghambat umatNya dengan duka nestapa sentiasa, betul tak?

Apa azam rakan-rakan?  Saya kalau nak disenaraikan, rasanya berkajang-kajang muka surat sementelah tiada satu pun azam 2013 berjaya digapai.  Nampak gaya bawa ke tahun 2014 dan ditambah dengan senarai baru.

Salah satu darinya nak rajin update blog?  Heheheh...Dah hampir 4 tahun, prestasi setakat itu sahaja.  Tak mencabar langsung!  Harap juga dapat tambah kawan baru di alam siber :)

Yang lain-lain tu biarlah rahsia.  Kalau berjaya diwar-warkan, kalau belum masanya nak direalisasikan kita diam-diam sudah.

Selamat Tahun Baru bagi membaca.  Terima kasih sudi menjenguk ke daerah yang tidak seberapa ini.  Maaf seandainya menyinggung nurani melalui kata-kata tidak terjangka keluar dari fikiran.

Beralih tahun beerti bertambah usia.  Oh tidak!!!!



nota:  sambut mana?