Followers

Wednesday, September 29, 2010

Di Landa M.A.G.I.K.A.

Saat ini saya sedang menikmati keenakan Kuah Kacang GM bersama Nasi Himpit.  Kenikmatan yang saya tidak dapat rasai secara total pada 1 Syawal yang lalu.  Alhamdulillah, masih ada rezeki saya untuk merasainya.  Sambil-sambil itu, jari pantas menekan tetikus melayari dunia tanpa sempadan tetapi bosan pula menguasai diri.  Lantas buka pula ke ruangan bicara hati ini tetapi aura kemalasan bermaharajalela maka setiap apa yang berada di dalam simpanan draf dipandang sepi.  Alhamdulillah kesihatan telah kembali pulih lebih kurang 90% dan baki lagi 10% tertinggal di dalam semangat diri yang belum kembali kental meneruskan penghidupan.

Sedang mencari-cari arah, secara tiba-tiba kepala menerawang jauh kembali ke aktiviti yang dilakukan pada hari Ahad baru-baru ini.  Terus jemari memberi arahan membuka laman web You Tube untuk mencari sedikit sumber-sumber yang mungkin berkait.  Walau tidak banyak yang saya peroleh dari You Tube tetapi cukuplah untuk menghiburkan saya saat makan pada tika begini.  Sebenarnya, bukanlah hebat mana pun aktiviti yang dilakukan jika setakat menonton wayang.  Cumanya aktiviti tersebut amatlah jarang saya lakukan pada hujung minggu atas alasan kesesakan.  Movie Date saya adalah pada hari Khamis sebenarnya, cumanya Abang ingin membawa saya keluar setelah berkurung selama seminggu.

 
Kenapa saya begitu teruja ye sehingga sanggup menggeledah laman You Tube?  Okeylah, penerangan berbunga sangatkan.  Tanpa sebarang perancangan saya telah pergi menonton filem Magika yang sedang panas berputar dipanggung sekarang ni.  Filem muzikal pertama  negara hasil buah tangan produksi terkenal KRU.  Saya adalah penyokong filem melayu, biar apa pun orang lain kata.  Cuma keterujaan saya amat kurang pada Syawal kali ini, mungkin akibat daripada rasa tidak sihat yang berpanjangan.  

Jadinya apabila Abang menyeret saya ke panggung wayang, walau dengan berat hati saya tetap memilih untuk menonton Magika tanpa membuat sebarang penyelidikan secara am ke atas filem tersebut.  Telah menjadi kebiasaan saya sebelum menonton sesebuah filem di panggung saya akan memastikan butir perjalanan cerita, siapa pengarah, siapa pelakon, apa maklum balas awal ke atas filem tersebut dan macam-macam lagilah.  Abang siap memberi amaran supaya jangan tertidur ataupun mahu keluar awal kerana saya seolah-olah begitu asing dengan filem ini.  

Syukur filem ini tidak mengecewakan saya langsung.  Malah saya amat terhibur dan yang membuat ianya lebih istimewa di hati saya adalah ianya berbentuk MUZIKAL.  Ya, saya adalah peminat tegar sebarang pementasan dan juga filem muzikal.  Mungkin orang lain cepat bosan dan boleh tertidur tetapi tidak saya.  Selama ini, saya hanya berhidangkan cerita-cerita muzikal dari negara luar tetapi kali ini ianya adalah ramuan dari produksi tempatan.  Syabas kepada jenama tersebut apabila sekali lagi berjaya mencipta sejarah industri hiburan tempatan.

Mungkin pendapat saya ini kelak berlainan dengan suara-suara yang lain.  Setiap kita mempunyai sudut pandangan berbeza dan saya memandang Magika dari sudut kacamata sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.  Apa yang boleh saya kongsikan di sini, Magika sememangnya mempunyai magisnya yang tersendiri.  Bukan untuk mengangkat dan memuji filem ini setinggi langit cuma saya rasa Magika wajar mendapat tempat di hati kita semua.  Memang benar jalan ceritanya terlalu biasa.  Ringan dan santai tanpa sebarang penglibatan pemikiran mendalam mahupun sindiran sinikal.  Dogengan Melayu dizahirkan melalui filem ini melalui suatu dunia yang berbeza dari alam nyata.  Pada mulanya saya fikirkan filem ini bakal meniru jalan cerita filem-filem fantasi dari luar, tetapi tidak sebenarnya.  Fantasinya lebih mudah dan dekat dengan masyarakat Melayu khususnya.

Watak-watak yang wujud sepanjang penceritaan ini menggunakan  wajah mereka-mereka antara yang termahal di Malaysia.  Apa yang saya boleh katakan, ini adalah formula bagi melariskan filem ini.  Dek kerana ianya percubaan pertama, maka produksi harus mempertaruhkan mereka yang berlabel popular berserta bakat supaya dapat menarik penonton ke panggung.   Walhal kemunculan setiap pelakon bukannya lama  mana pun.  Paling lama mungkin dalam 15 minit, kecuali watak-watak utama.

Ternyata strategi ini nampak berjaya dan yang pasti untuk berlakon filem ini harus pandai menyanyi, kata pun filem muzikalkan dan kerana muzikal jugalah telinga saya seperti terngiang-ngiang akan lagu-lagu yang dinyanyikan sepanjang filem ini.  Nasib dapat mengubat kerinduan ke atas lagu-lagu tersebut melalui laman You Tube.  Jika ditanya apa yang menariknya lagu-lagu tersebut?  Ia cuma lagu-lagu biasa tetapi gaya muzikal yang selama ini hanya dapat dilihat pada filem-filem Inggeris akhirnya wujud di dalam gaya Bahasa Melayu.  Sesuatu yang saya impikan selama ini.  

Secara keseluruhan filem ini tidak mengecewakan saya, cumanya jika elemen fantasi yang lebih real dapat dizahirkan pasti cerita ini akan lebih menarik.  Bajet yang tinggi mungkin mengekang untuk pergi lebih jauh, rasa sayalah.  Abang juga turut terhibur menonton filem ini.  Bukan senang untuk memuaskan hati penonton seperti Abang kerana dia lebih gemarkan filem-filem luar yang berkualiti cuma mungkin jiwanya ke arah muzik agak lebih, itulah yang dia juga boleh turut bersama di dalam Magika.  

Apa pun, jika sesiapa berminat dan ingin menyokong jenama Malaysia segeralah ke panggung wayang.  Sekiranya tidak menepati citarasa masing-masing jangan salahkan saya pula kerana saya amat berpuas hati.  Sudut-sudut teknikal adalah di luar bidang kuasa pemerhatian saya makanya jika filem ini tidak sempurna sekalipun saya telah dapat menerimanya sepenuh hati hanya kerana Magika adalah Muzikal.  Selamat menonton kepada anda semua yea... ;)

Gambar di ambil dari Google Image


nota:  agak-agak kalau pergi untuk kali kedua berbaloi ke?

No comments :

Post a Comment