Sekejap sahaja dah nak menuju ke penghujung minggu. Sekarang ni memang terasa cepat betul masa berlalu. Bercerita mengenai hujung minggu, Insyaallah hujung minggu yang akan muncul bakal dipenuhi dengan jemputan rumah terbuka. Jika tiada aral serta dikurniakan kesihatan serta dipermudahkan segalanya saya pasti akan tiba ke rumah mereka-mereka yang telah menghulur jemputan.
Telah menjadi trend masyarakat hari ini membuat rumah terbuka sempana Hari Raya. Dari awal hingga ke penghujung Syawal setiap hujung minggu pasti dipenuhi dengan merata undangan rumah terbuka. Rezeki perut orang sekarang memang senantiasa murah. Pendek kata sepanjang Syawal ni bolehlah juga berjimat duit perbelanjaan. Dek kerana terlalu padat jadual rumah terbuka ada yang terpaksa menganjurkan rumah terbuka pada waktu bekerja. Curi masa waktu makan tengahari untuk menjamu rakan-rakan. Murah rezeki mereka-mereka ini.
Tetapi sejak akhir-akhir ini saya dapat merasakan dengan adanya konsep rumah terbuka ini telah mematikan kemeriahan ziarah menziarahi yang menjadi amalan selama ini. Entahlah, ini apa yang saya rasa. Cuba kita lihat ye, jika dahulu bila kita hendak menziarah seseorang kita tidak perlu menunggu samada tuan rumah tersebut buat rumah terbuka atau tidak. Kita pergi ke rumah tersebut dengan niat untuk sama-sama memeriahkan suasana hari raya. Tetapi sekarang, sesiapa yang tidak membuat rumah terbuka alamatnya rumah mereka kuranglah orang datang menziarah kerana rakan-rakan dan sanak saudara sibuk memenuhi undangan rumah terbuka sehinggga tiada masa untuk bersinggahan di rumah mereka yang tidak membuat rumah terbuka.
Bukan itu sahaja, konsep rumah terbuka yang sepatutnya mengeratkan lagi tali silaturrahim yang telah sedia terjalin menjadi lebih kepada perjumpaan biasa. Ini kerana Tuan Rumah sibuk melayan tetamu manakala tetamu yang datang pula ingin segera beredar dari rumah tersebut kerana ada deretan lagi undangan yang perlu dipenuhi. Perjumpaan setahun sekali yang sepatutnya diluangkan lebih masa bersama-sama menjadi hambar. Makanya, konsep datang dan tunjuk muka bakal berlarutan dari satu rumah ke satu rumah.
Katanya pun rumah terbukakan, sudah tentulah Tuan Rumah sebaik mungkin cuba menyiapkan diri serta rumah sebaik mungkin. Dari luar sampailah ke dalam termasuk menu yang tersedia haruslah tip top. Walaupun Tuan Rumah dengan rela hati untuk melakukan segalanya tetapi jika difikirkan balik, kesian pada Tuan Rumah dan juga ahli-ahlinya. Konsep kesederhanaan yang sepatutnya menjadi amalan terpaksa dilupakan demi menjamu selera dan juga mata para tetamu. Walau tidak berganti baru tetapi hiasan rumah juga haruslah up-to-date. Nanti tetamu yang datang pada tahun lepas berkata-kata pula di belakang Tuan Rumah memerli mana yang patut.
Semenjak semakin ramai yang membuat rumah terbuka semakin sering pula saya mendengar rungutan Tuan Rumah mengatakan menu yang dihidangkan tidak habis. Manakan tidak, sebagai Tuan Rumah sudah semestinya kita akan menyediakan makanan yang secukupnya buat tetamu. Kita yang mempelawa sudah tentu kita tahu berapa ramai mereka yang bakal hadir, tetapi sayang kebanyakkan tetamu hanya mengusik sedikit sahaja makanan yang terhidang. Ini kerana masih banyak lagi menu yang perlu diisi kelak, lalu untuk menjaga kesendatan perut tetamu hanya mencuit-cuit sahaja mana yang perlu demi menjaga hati Tuan Rumah.
Saya di sini bukanlah untuk menjatuhkan konsep Rumah Terbuka atau mencemuh niat baik mereka-mereka yang membuat Rumah Terbuka dan juga yang menghadirkan diri ke jemputan tersebut. Ini apa yang saya rasa. Terpulang kepada kita untuk menilai mana yang baik dan buruk. Saya dan keluarga sendiri mengamalkan konsep Rumah Terbuka setiap tahun. Ini bagi menyenangkan GM supaya dia tidak perlu sentiasa kalut. Lagi pula kami ini ramai ahlinya. Rumah Terbuka kami sekeluarga paling tidak harus mempunyai 2 buah khemah di halaman rumah kerana kami sebuah keluarga yang besar. Cuma perkara-perkara di atas membuat saya berfikir sejenak. Berfikir bagaimana kelak agaknya kita bakal meraikan Syawal dalam 10 tahun akan datang?
Cuma tahun ini sahaja kami sekeluarga tidak merencana Rumah Terbuka terutamanya apabila Puan Ninie dan Siti Cuty sibuk mengusung perut mereka yang memboyot ke sana sini. Kesian nanti mereka bakal keletihan kelak jika tetap menganjurkannya. Lagi pula tahun ini kewangan keluarga tidaklah begitu memberangsangkan, mungkin tiada rezeki kami untuk menjamu rakan-rakan pada tahun ini. Tetapi jika ada yang ingin menziarah kami terima dengan hati yang terbuka. Insyaallah jika umur panjang dan dimurahkan rezeki pada tahun-tahun akan datang pasti kami sekeluarga berpeluang menganjurkan Rumah Terbuka..
nota: baru perasan yang tahun ini jemputan agak berkurangan jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya..
No comments :
Post a Comment