Ada masa, jom masukkan cerita yang bergambar. Memang nekad hendak masukkan entri ini sebelum penutup 2011 sebagai kenangan. Dalam dua minggu lepas, jika tak silap kami berangkatan ke sebuah tempat berada di Mukim Batang Kali. Kali pertama buat kami yang turut serta, kecuali Macho Man.
Jika diberi keizinan Allah SWT serta ada rezeki kami, di kawasan sanalah akan menjadi periuk nasi kami, Insyaallah. Berdoa sangat moga Allah mempermudahkan segalanya. Di mana dan apa yang sedang diusahakan, biar waktu sahaja yang bercerita. Segalanya belum terjadi, tak elok dicanang satu dunia.
Selepas melakukan lawatan, kami singgah pula ke Kolam Air Panas yang tidak berjauhan dari tempat tersebut. Setakat menjamu mata dan melihat gelagat pengunjung. Tidak berniat pun untuk lama di sana mahupun membasahkan badan. Lepaskan lelah barang seketika sambil posing-posing, terus berangkat pulang.
Harus cepat kerana kami berkejaran ke One Utama, tiket wayang Chipmunk telah pun dibeli khusus buat Buah Hati pengarang jantung. Dia penggemar tegar filem tersebut =) . Syukur Alhamdulillah kami dapat menjejakkan kaki ke sana, sedangkan selama ini mendengar ceritera sahaja dari Macho Man. Jom layan gambar yang tak seberapa nak ada...
Seperti biasa, kami ke sana dengan dua buah kereta dan adalah wajib bagi Buah Hati untuk naik bersama saya =) Manja dengan 'Uncle Bob' katanya. Apa yang pasti, I-Phone tak renggang dari tangan
Kami di Kolam Air Panas Batang Kali. Mama menyorok di belakang, malu kononnya. Buah Hati apa lagi, berkepit dengan Uncle dialah. Bukan senang nak ambil gambar anak teruna nan seorang itu
Leka menikmati aiskrim. Dah besarkan dia. Rindu saat dia kecil dahulu, terutama teringatkan keletah manjanya. Tak lama lagi, nak peluk Along pun dah malu..huh..huh..
Saje nak meniti atas batu, walhal boleh sahaja dia ikut jalan biasa. Budak sukakan cabaran beginilah lagaknya
Posing di tengah jalan. Bolehlah dari tak ada langsung. Jurugambar seperti biasalah, memang takkan ada pun gambarnya di mana- mana..he..he..he..
Manje Iyash dengan Acunya, Ayu Bam Bam. Comel je dua-dua. Mengintai dari celahan tingkap...
Tuntutan masa tidak lagi sesenggang sebelum ini. Terlalu banyak perkara harus dikerjakan dalam satu-satu waktu. Menongkah arus mengais rezeki, saya redha jika banyak perkara harus dikorbankan. Jika telah suratan, hadapi sahaja dengan ketenangan. Ruang ini mungkin kurang meriah seperti sebelumnya, namun sekurangnya masih punya ruang jika berkesempatan.
Tirai 2011 bakal berlabuh dan menutup segala isi kandungan yang telah tersurat. Aneka corak bakal tersimpul rapi, ada bisa mengundang tawa tak kurang juga mengalirkan air mata tatkala menyelak kembali di suatu waktu. Resam di dunia, tiada yang indah belaka, apa pun kehidupan harus diteruskan sehingga tiba waktu dijemput pulang.
Jika punya waktu ingin saya berlama di sini dan luahkan segala apa terbuku, sayangnya keterbatasan masa begitu mencengkam. Mungkin 1-2 hari ini, akan ada lagi waktu terluang dan berpeluang mengabadikan coretan rasa buat penutup tahun.
Buat setakat ini, saya doakan kesejahteraan rakan-rakan, moga dilindungi dari Maha Pencipta sentiasa....
Sejak pulang petang tadi, hati digayut sayu. Entah mengapa kurang pasti. Tiba-tiba seribu satu rasa bermain di dalam diri. Mungkin dua tiga hari kebelakangan ini sibuk mengulit kerja, tiada masa untuk bermain dengan emosi. Bila punya ruang buat diri sendiri, segala terbelit kembali menjerut.
Tiada siapa di dunia mengimpikan laluan onak berduri, walau diri tidak putus berdoa meminta segala dipermudahkan. Tetapi jika Allah memilih kita, apa lagi daya untuk menolak. Lagi pula kita hamba yang lemah, pasti liku-liku dilalui adalah hasil dari pemilihan jalan-jalan yang tersedia ada.
Suka atau tidak laluan berduri harus dirempuh jua meski kulit cacat penuh luka. Apa perlu takut pada luka, kerana kesan yang tinggal itulah bakal memberi peringatan dan pengajaran. Cuma dari kesan luka tersebut, akan ada meninggalkan kesan begitu mendalam. Andai ditoreh kembali, menggamit nanah berpanjangan.
Ya, diri ini sedang merawat segala kelukaan tetapi di kala merintis masa hadapan, duri sekeliling mula merucuk. Bimbang dan takut menguasai diri. Adakah duri-duri itu akan kekal sebati atau bakal membawa kejayaan? Yang pasti, comotan hasil luka yang berparut itu menyebabkan nilai diri berkurangan. Tiada lain boleh dilakukan selain dari pasrah...
Telah jauh perjalanan kehidupan ini. Entah mengapa terfikir juga, bila agaknya akan tiba ke penghujung. Jika dihitung memang banyak belum terlaksana, masih tidak terkira tanggungjawab tergalas dibahu belum dilunas, cuma andai punya kuasa mutlak mahu sahaja usia tiba ke penghujung agar tiada lagi onak duri dunia mencengkam diri.
Manusia saat susah ketika itulah bergegar mencari pelindungan, tak berhenti meminta belas ihsan Maha Pencipta. Tetapi punya waktu senang, segalanya dilupakan. Itu jugalah saya lakukan sepanjang bernafas. Betapa rendahnya martabat saya, betapa hinanya perilaku sedia ada. Namun Allah masih lagi membuka ruang penghidupan, susah macamana pun tetap ada sedikit sinar. Sedikit sinar, besar pula gaung dan curam disekeliling. Itulah hisabnya..
"YA ALLAH, ANDAI INI TAKDIR MU HAMBA MU INI TERIMA SEADANYA. NAMUN KAU BERKATILAH DAN BERIKAN KEREDHAAN ATAS SEGALA USAHA DIKERJAKAN. PANDANGLAH HAMBA MU YANG HINA INI DENGAN BERIBU IHSAN SUPAYA DIPERMUDAHKAN SEGALANYA. BIMBINGLAH HATI KU DAN HATI MEREKA-MEREKA YANG TURUT SAMA DALAM MELAKSANAKAN APA DICITAKAN HINGGA BERJAYA. BIMBINGI JUGA KAMI KE JALAN BENAR DAN SENTIASA HAMPIR PADA MU. HANYA PADA MU AKU MEMOHON DAN HANYA PADA MU AKU BERSERAH, KABULKAN DOA KAMI SEMUA" Amin...
Entah kenapa malam ini mood Ombak Rindu pula. Mungkin gara-gara Sitie Cutie mempelawa menonton bersama, terus teringatkan akan filem tersebut. Spontan teringat akan satu lagi lagu meruntun hati melalui filem ini. Apa lagi terus terjah YouTube untuk mencari lagu dendangan sepenuhnya Adira.
Sesiapa yang telah menonton pasti tahu lagu ini dimainkan di bahagian mana. Bagi yang belum berpeluang ke panggung wayang, nikmati lagu berjudul Lara Lagi. Menepati halwa telinga anda hendaknya. Lirik ada disertakan melalui klip video tersebut.
Diambil melalui laman YouTube. Terima kasih bagi yang memuat naik klip ini
nota: Ayu Bam Bam baru sahaja buat pengakuan bahawa sebenarnya dia memang nak menangis sewaktu menonton filem Ombak Rindu, ditahan supaya tidak menjadi bahan. Cisss!! tertipu saya... Ternyata hati saya kental dibandingkan dia...ha..ha..ha..
Saya turut tidak ketinggalan merasai kehangatan filem bualan ramai masa kini. Saya pernah kongsikan di sini lagu tema filem Ombak Rindu yang berjaya membuai hati sayu tetapi secara jujur tidak merancang untuk menonton filem kerana yakin benar peneman setia tidak akan mahu bersama ke panggung.
Lagi pula, saya takut apa yang berlaku saat menonton Lagenda Budak Setan akan turut sama pada Ombak Rindu ini. Senang cerita, tak puas namun tatkala ramai memberi komen memberangsangkan serta ada pula yang mengalir air mata tanpa henti saat menonton, keinginan merasai kehebatan Ombak Rindu (OR) mula menjalar. Seorang teman siap berpesan, jangan lupa bawa bersama sekotak tisu, jika tidak baju akan menjadi sasaran untuk menyapu air mata.
Minggu-minggu terawal tayangan cuba mempelawa orang sekeliling jika ada yang berminat. Jawapan menghampakan malahan Abang lebih tertarik ke panggung untuk menonton Twilight. Saat berduyun penonton beratur membeli tiket OR, saya pula berasak-asak membeli tiket filem pecah panggung antarabangsa. Sangat tidak bersifat kenegaraan waktu itu..he..he..he..Apa pun, Twilight tidak mengecewakan dan tak sabar menanti sambungan. Merungut-rungut saya kenapa perlu ada sambungan, alangkah bagus terus sahaja tamatkan filem. Makan masa 4 jam pun saya yakin peminat filem ini sanggup meluangkan masa.
Bila masuk minggu kedua dan berjaya meraih pulangan jutaan ringgit, baru saya berjaya memujuk. Sempena cuti Keputeraan Sultan Selangor yang lalu, kami ambil kesempatan untuk menonton OR. Itu pun tengok tayangan di waktu malam. Siang masing-masing sibuk dengan hal masing-masing.
Pada awalnya merancang pergi bertiga seperti biasa dengan Ayu Bam Bam dan Abang, sekali GM beria-ia nak menonton. Bawa sekali jelah, lagi pula tiket GM yang bayar (sebenarnya kena bayar balik tapi ada ciri-ciri untuk dilupakan..he..he..he..). Tempah melalui aplikasi GSC I-Phone, terus bayar dan berjaya dapat kerusi memuaskan. Baru tahu, menggunakan aplikasi tersebut tiket pun tak perlu ada. Yang penting kod bar di dalam telefon untuk scan nanti. Bermacam aneka kemudahan di hujung jari sekarang nikan.
Tak perlu rasanya saya huraikan sinopsis filem ini. Di mana-mana sahaja di laman maya rakan-rakan dapat membaca ringkasan OR. Pandangan jujur dari saya yang pernah membaca novel, OR di naskah lebih menyentuh jiwa dibandingkan di layar perak. Kepuasan tidak dapat dirasai secara maksima apabila peralihan dari satu babak ke satu babak disingkat-singkatkan.
Harus akur, takkan segala babak hendak dipamerkan cuma bila transisi singkat ini berlaku, klimaks cerita tidak begitu dapat dirasai. Seharusnya saat Hariz tidak dapat bertemu dengan isteri akibat kemalangan dan Izzah di halau sehelai sepinggang menjadi klimaks cerita tetapi derita kedua watak ini tidak dapat dirasai secara mendalam.
Mungkin bagi filem cinta romantis begini, elemen meleret yang tidak melampau harus ada sedikit supaya penonton dapat tenggelam di dalam keasyikan. Ops, saya bukan kondem tetapi ini apa yang saya inginkan sebagai penonton dan selera kita tidak harus sama. Barangkali hanya saya seorang yang merasakan sedemikian.
Satu lagi, tragis kehidupan Izzah yang di dukung oleh Maya Karin juga patut dilebihkan. Ini memberi penonton lebih terasa di hati betapa Izzah benar-benar memerlukan kebahagiaan abadi. Kepayahan kehidupan anak yatim menumpang kasih dari saudara yang terpaksa rela membelanya, betapa Izzah dibenci kerana dianggap pembawa sial di dalam keluarga, dijual menjadi pelacur dan banyak lagi seharusnya dibawa ke layar lebih mendalam bagi merintihkan lagi hati penonton. Tapi yalah, novel dan filem mana boleh sama (ingat ini dalam kepala bagi yang baru hendak menonton OR)
Banyak lagi sebenarnya tetapi siapalah saya hendak mengulas hasil karya orang lain. Sebelum diterjemah ke layar, pastinya segala sudut telah dipertimbangkan oleh pengarah dan penulis skrip. Kita sedar di Malaysia nilai komersial mengatasi segalanya dalam memastikan pulangan atas hasil kerja. Terlalu teknikal dan berseni akan membawa ke arah kegagalan dan kerana itu pemilihan pelakon begitu besar namanya yang mampu menarik jutaan penonton ke panggung wayang.
Apa pun OR ditangan Osman Ali berjaya, cumanya saya terfikir Osman Ali memang suka watak yang berkemban ya? Hampir ke semua filem dia akan ada wanita berkemban. Signature beliau barangkali! Tak apalah, setiap pengkarya ada cara tersendiri dalam menampilkan hasil kerja.
Pemilihan para pelakon untuk watak-watak utama berjaya berjaya secara dasar cuma sedikit kekurangan pada watak Izzah terutama melihat kepayahan Maya Karin untuk membuang pelat begitu ketara, di situ tidak nampak akan kekampungan Izzah. Nampak sukar untuk dia mengatur tutur kata berirama makanya saat bermonolog yang boleh mengocak emosi penonton tidak begitu menjadi. Tetapi dari segi mainan emosi, Maya boleh dianggap berjaya juga.
Muka kacukan juga mematikan gambaran wajah asli gadis kampung atau mungkin barangkali ramai sebenarnya gadis kampung memiliki paras wajah cantik sedemikian, saya sahaja tidak menyedarinya. Namun jika persoalan diajukan, siapa lagi yang lebih layak mengangkat Izzah di layar perak, saya sendiri tak tahu..he..he..he..
Tetapi berlainan pula perihalnya dengan Azizah Mahzan sebagai ibu Harriz. Ala-ala pelat 'omputih' dia benar-benar membuat saya bertambah sakit hati dengan perwatakkannya. Ada mengatakan tak perlulah dia mengada-ngada untuk ber'slang' bagai tetapi bagi saya pula, itulah yang menambah gumpalan menyampah di hati penonton. Ibarat sudahlah kejam, tak sedar diri pula tu. Sebagai Datuk, dia kononnya patut berada di dalam kelas yang tersendiri dan kerana itu bagi saya dia begitu cemerlang dalam berjaya menangani wataknya.
Seperti tidak adil jika tidak berbicara perihal hero terhangat di pasaran. Aaron Aziz memang sangat kacak. Setiap gerak laku begitu mempamerkan karisma personaliti dambaan wanita. Tidak susah dia hendak membawa rasa itu kerana tidak banyak beza di antara dunia nyata. Saya pernah berselisih dengannya di kompleks membeli belah dan memang tidak dinafikan dia kacak!
Apa yang kurang berkenan, Hariz menangis tetapi tidak menampakkan mengapa perlu dia menangis. Gejolak jiwa kurang dirasai, seharusnya banyakkan babak yang menyumbang kepada tangisan tersebut. Betapa dia begitu sakit memendam rindu patut direalisasikan di layaran. Bagaimana untuk dizahirkan saya sendiri kurang pasti tetapi jika ianya ada, mungkin saya akan turut sama mengalirkan air mata kerana tangisan lelaki begitu berharga. Tatkala lelaki mengalirkan airmata ketika itu sudah pasti dia tidak dapat menanggung lagi beban yang begitu menyeksa. Syabas harus diberikan kepada Aaron kerana berjaya mengeluarkan airmata jantan buat tatapan jutaan peminat.
Angan-angan saya terlalu tinggi kerana terlalu menganalisa dan membandingkan di antara novel dan filem. Seharusnya saya tidak membawa inipati novel di kepala sewaktu menonton wayang kerana ianya gagal memuaskan hati. Apa pun, selepas ini bila membaca novel OR sudah terbayang wajah para pelakon sedia ada ke dalam watak tersebut. Pastinya wajah watak Hariz akan lebih melekat di kepala...ha..ha..ha..hensem tu!!
OR menarik untuk ditonton. Selain dari jalan cerita dan himpunan pelakon pujaan ramai, keindahan latar tempat pasti akan membuai rasa. Anda akan merasakan bila agaknya berpeluang untuk berada di lokasi terpilih. Elemen keindahan alam begitu mewarnai filem ini. Keindahan ini banyak membantu mewujudkan aroma romantis selain dari kesyahduan lagu tema.
Jika promosi di televisyen, lagu tema duet di antara Hafiz dan Adira yang sering berkumandang, tetapi di dalam filem ini ada ketikanya, Adira sahaja melagukan lagu OR. Ternyata ia begitu terkesan di hati hingga saya rasa tidak perlu berduet. Mungkin Adira berjaya meletak emosinya dan ia terpancar dari alunan suara.
Walau ada yang menghentam di dada akhbar dengan mengatakan tragedi murahan melalui persembahan OR, tragedi inilah yang didambakan oleh penonton sebenarnya. Secara keseluruhan, saya yakin pengarah berjaya meletakkan filem ini ke satu tahap berbeza. Saya sendiri merasakan garapan OR lebih baik dari Lagenda Budak Setan. Tetapi itulah, selera manusia bukan boleh ditebak. Abang pula lebih menggemari Lagenda Budak Setan berbanding OR. Lain padang lain belalang!
Dari 5 bintang saya kurniakan 3.5 bintang secara total buat OR. Panggung wayang memanjangkan lagi tempoh ke satu minggu untuk menayangkan filem ini, dan pastinya kutipan yang dikhabarkan 10 juta boleh mencecah ke 15 juta. Akan adakah sambungan buat filem ini? Kerana novelnya mempunyai 3 siri berbeza. Kita tunggu bersama akan pengumuman mengenainya.
Berbicara lagak seorang pendukung karya walhal satu pun nan ada. Dari dulu lagi saya gemar mengupas filem-filem secara mendalam. Bukan untuk tidak menghargai atau sengaja mencari kesilapan, demi Allah tidak terniat langsung cuma saya suka akan pemikiran kritis, sekurangnya berjalan juga otak walau hanya menonton sesuatu yang ringan. Bicara kita berbeza tetapi selera ke arah yang sama.
Janganlah disalah anggap entri ini. Saya tidak menghentam atau ingin menjatuhkan filem ini. Tidak terniat langsung! Saya kongsikan apa yang dirasa, jika salah pun tak mengapa. Harus bersikap terbuka kerana sesiapa sahaja bebas bersuara. Segalanya adalah ikhlas dari sudut mata seorang penonton yang dahagakan filem Melayu. Kata orang Melayu, kenalah bangga dengan hasil bangsa sendiri. Betul tak?
Okey, tadi Ninie hantar klip di bawah ini menerusi Facebook dan saya telah jatuh cinta. Berhantu benar lagu Ombak Rindu ya, hingga ditukar kepada instrumental pun tetap menyayat hati. Terima kasihlah pada yang membuat lagu ini, memang benar-benar terkesan susunan melodinya.
Jika Siti Cutie ingin pergi menonton saya boleh sahaja tonton buat kali kedua. Mana tahu pandangan jadi berbeza pula, atau saya meneliti perkara yang lain pula. Cuma, rasanya inilah pertama kali filem tempatan memakan masa tayangan 2 jam. Selalunya 1 jam 15 minit atau 1 jam 30 minit.
Sebelum masuk ke dalam perut panggung, saya berpesan dengan Ayu Bam Bam supaya sediakan tisu mencukupi. Hampir ke penghujung filem, kami berpandangan dan tergelak sambil bertanya "nak nangis part yang mana ye?" Maaf OR belum mampu memerah airmata ini. Selamat menonton rakan-rakan. Masih belum terlambat buat anda menjadi sebahagian dari penonton OR dan cuba menghayati filem tragis romantis ini. Sokonglah karya tempatan dan letakkannya di tempat seharusnya.
Gambar saya peroleh dari pencarian melalui Google Image
nota: ombak menghempas pantai, akan berkocakkah rindu?
Sekejap sahaja dah tiba ke hari Jumaat. Pejam celik pejam celik habis satu minggu berganti minggu baru. Waktu bersilih ganti makin tidak terasa kerana tidak terkejar kepantasannya. Sekelip mata masa berganti baru, dan kita manusia seolah tidak punya cukup nafas untuk turut sama berlari.
Minggu ini cuaca begitu rundung sekali. Langit kurang mempamer wajah ceria, cukup masa awan gelap menyeliputi alam. Benar, musim tengkujuh telah tiba dan kerana itu juga minggu ini topik Kuala Lumpur ditenggelami banjir hangat diperkatakan. Kasihan mereka-mereka yang terperangkap di dalam kesesakan lautan kereta. Sesiapa berjaya menundakan perjalanan bernasib baik, tidaklah menjadi sebahagian isi perut jalan yang membuak-buak di waktu puncak.
Saat ini saya kembali ke meja tugasan. Masa sepenuhnya dibangku kerja untuk melunaskan segala tanggungjawab di amanahkan. Alhamdulillah, setelah melalui kepayahan dalam tempoh agak lama, kini usaha pemulihan berada di landasan. Rezeki GP pulang dari Tanah Suci barangkali.
Masih banyak perlu diusahakan lantaran kejayaan tidak datang bergolek tetapi pagar getir semakin hari semakin meruncing. Ketajamannya mula mencucuk berbisa. Jika sebelum ini kami mampu berdiri teguh, kali ini pasti bukan masalahnya lagi. Yang penting bersatu hati serta usahakan sebaik mungkin demi masa depan.
Apa pun, perjalanan masih jauh. Walau Allah telah mula memberi secara sedikit demi sedikit, segalanya harus bermula sekarang. Kesusahan dan kepayahan yang kami alami selama ini mungkin berganda kerana inilah adat dunia. Bermula dengan kepahitan pasti berakhir dengan kemanisan. Cuma saya berdoa biarlah yang kemanisan bakal dikecapi itu kekal selamanya.
Dalam tempoh kemarau berpanjangan, terlalu banyak pengalaman dikutip. Satu persatu wajah sebenar manusia disekeliling saya dan keluarga Allah pertunjukkan. Jika selama ini, mereka-mereka yang kami anggap baik itulah akhirnya memijak dan menyumpah kami sekeluarga. Mungkin telah sampai masanya Allah ingin kami tahu siapa mereka sebenarnya. "Alhamdulillah atas segala kurniaan diberikan Ya Allah"
Biarlah mereka lakukan apa sahaja kerana Allah Maha Adil dan Saksama. Setiap apa perilaku kita akan mendapat balasan setimpal samada baik mahupun buruk. Redha sahaja dengan ketentuan Illah, namun pengajaran yang mereka berikan akan kami semat di dada. Bukan untuk berdendam, bukan untuk tujuan pembalasan tetapi sebagai ilmu kehidupan di dunia.
Jika perlu kami menongkat dengan sendiri, pasti kami akan redah. Walau jalan capik, langkah kurang teratur segalanya akan dilakukan dengan sendiri. Penat dan jemu menagih simpati yang akhirnya menghumban kami ke satu pengalaman begitu berharga. Masih menanti sinar baru bakal menyuluh segala kegelapan selama ini. Meski harus bermula dari bawah, tetap tidak akan mengalah kerana percaya Allah bersama menerangi jalan dan Maha Pencipta tidak akan menzalimi hambanya.
Eh, kenapa membebel tak tentu hala ni? Tak mengapa, biarlah bicara hati ini bersemadi di sini untuk dikenang disuatu hari indah di mana Insyaallah kejayaan berada di dalam genggaman...
nota: tak dapat memejamkan mata, lantas berkelana di sini...
Lama tidak berada di sini. Meski kesihatan secara sedikit demi sedikit kembali pulih tetapi kurang tenaga untuk meluangkan masa sambil mencanai idea. Kebanyakkan blog saya baca dari telefon bimbit sahaja. Hilang selera untuk menatap skrin komputer riba.
Sambil-sambil mengembalikan mood jauh melayang entah ke mana, saya merajinkan diri meninjau gambar yang tersimpan kemas di dalam folder. Banyak juga boleh diceritakan, cuma entah bila bisa melakukan sedemikian. Paksa juga diri, rasa malas harus dibuang jauh sementelah ada sedikit sinar menanti esok hari. Banyak kerja perlu dilunas, andai kemalasan bermaharajalela sendiri akan rugi.
Okeylah, gambar ini diambil lebih kurang sebulan nan lalu. Lama sebenarnya GM berhajat melawat ke daerah dia melalui zaman kanak-kanak hingga remaja di Lenggeng Negeri Sembilan. Menjejak memori tersimpan kemas di dalam diari kehidupan GM, seorang anak yang dibesarkan oleh ibu dan nenek. Mungkin Lenggeng, mungkin punya ceritera tersendiri buat GM dan keluarga yang tak bisa dikongsi bersama. Kami ke sana pada 13 November 2011 bersamaan hari Ahad.
Kami berusaha melunaskan impian GM walau sedar risiko bakal tidak bertentang mata dengan sesiapa di sana. Apa lagi yang tinggal sementelah tuan empunya rumah telah lama kembali ke Rahmatullah. Sebelum sampai, anggapan kami hanya sebuah rumah usang sahaja bakal menyambut ketibaan kelak. Jangkaan jauh meleset kerana tiada lagi dirian atap, segalanya telah dimusnah Sang Jentolak. Hanya perigi tempat saya pernah menimba air sahaja yang masih utuh menanti kehadiran tetamu.
GM dimanjakan oleh mereka-mereka yang bukan datang dari darah daging. Menumpang kasih pada yang sudi, jasa mereka semua pastinya tidak dapat dilupakan. Apa yang tersirat di hati GM hanya dia sahaja mengetahui dan kami anak-anak akur, ranjau yang dilaluinya sejak kecil cukup mengajar erti sebuah kehidupan.
Saya sendiri turut berpeluang merasai apa yang dilalui GM satu ketika dahulu. Arwah Mak sering bawa saya ke sana. Jika tidak silap, setiap kali musim cuti persekolahan pasti akan ke Lenggeng. Duduk berhari-hari sambil menikmati udara kampung. Walau terpaksa mengerah tenaga menaiki dari satu bas ke satu bas, segalannya dilupakan atas erti tali persaudaraan yang dibina.
Berkenalan dengan saudara, bermesra walau bukan dari susur galur yang sama. Seronok mengingat kembali saat-saat di mana saya menjadi perhatian dek keletah mencuit hati barangkali. Di sana juga saya mula menggemari makanan yang kini hanya kami sekeluarga sahaja bisa menyediakan. Saya diulit oleh nenek-nenek, atuk-atuk yang pada ketika itu merindui derai tawa anak kecil. Aduh, indah sungguh kenangan!
Walau kini segalanya tinggal menjadi memori, namun saya tahu siapa mereka dan betapa istimewa daerah tersebut di sanubari. Beruntung dapat merasai detik itu jika dibandingkan dengan adik-adik yang lain. Seorang wanita tua berhati mulia yang saya panggil Onyang Lenggeng telah bertahun lamanya menghadap Illahi. Raut wajah tenang masih kemas tersimpan di kotak ingatan meski pengalaman berulang-alik selama bertahun di sana semakin menyusut.
Masih terbayang di birai mata saat arwah diduga dengan sakit hingga meragut sinar wajah seorang tua yang periang. Terlantar di perbaringan sambil mengira bila masanya dijemput Maha Pencipta. Arwah Mak yang kerap berulang menziarah juga mula mengurangi aktiviti rutin saban tahun dek keadaan tidak lagi mengizinkan. Tahu-tahu berita tiba mengatakan Arwah Onyang Lenggeng telah bertemu Maha Penciptanya.
Andai segala bisa diundur, saya yakin GM pasti ingin pulang ke saat di mana dia menjadi kesayangan. Walau hanya menumpang kasih tidak terluak rasa sayang mereka semua. Hingga hari ini GM berusaha menjejak saki baki saudara di sana. Moga Allah perkenan doa GM untuk bertemu dengan mereka semua. Bilangan yang tidak ramai tetapi agak mustahil untuk dijejak. Mereka-mereka pasti tidak percaya bahawasanya saya juga kini menginjak ke satu usia jauh meninggalkan zaman kanak-kanak.
Bukti kaki akhirnya jejak kembali ke daerah satu ketika dulu sering dilawati
Pekan yang tidak jauh beza berubah. Lengang dan tidak sesak. Mungkin penghuni daerah telah mula keluar berhijrah
Tak tahu hendak menghala ke mana, berhenti di Pekan Lenggeng membeli kuih muih. Harga tidak jauh beza dengan di bandar atau mungkin mereka melihat kami sebagai orang luar, maka harga dinaikkan sedikit. Tak mengapa bersangka baik buat Pakcik dan Makcik ini =)
Sibuk menghala lensa kamera ke sana sini. Apa agaknya istimewa pekan ini di mata seorang jurukamera bertaraf amatur?
Basikal hijau menarik perhatian lensa kamera Abang. Mungkin ada seni yang tidak mampu diterjemahkan oleh mata kasar kita. Hanya yang mengambil gambar sahaja mengetahuinya
Apa sahaja dirajukkan Buah Hati. Bergaduh dengan 'Unclenya' kalau tak silap. Muncung panjang sedepa. Dah besar betul Buah Hati nikan
Bersantai di perhentian bas Pekan Lenggeng. Tak pernah rasanya saya tunggu bas di sini kerana bas memang lalu betul-betul di hadapan rumah Arwah Onyang. Turun naik di laman rumah sahaja ;). Eh, Buah Hati dah berpelukan semula dengan Uncle. Apa-apa sahajalah diaorang berdua tu!!
GM sedang cuba menghubungi rakan yang masih lagi tinggal di sana. Percubaan gagal kerana telefon tidak berjawab
Boleh pula waktu ni Manje demam suspek demam campak tetapi tetap berangkut. Orang lain keluar, mereka berdua duduk sahaja di dalam kereta sambil memerhati sekeliling.
Nak ke Lenggeng harus menghala ke arah Broga. Tiada apa boleh diambil, papan tanda pun jadilah
Diakhiri dengan sepasang kasut yang comel rupa bentuk dan warna. Entah mana silapnya sepanjang bulan, setiap sepatu yang tersarung di kaki Macho Man pasti putus..ha..ha..ha..
Sayangnya kami terlupa mengambil gambar tapak rumah serta rumah di hadapan. Waktu sampai tak terfikir, dalam perjalanan pulang hujan lebat turun. Mungkin ia menjemput kami lagi ke sana barangkali kerana itu gagal merakam sebarang kenangan.
Walau memakan masa perjalanan hampir dua jam tetapi tetap berbaloi. Sekurangnya GM dapat melepaskan rindu melihat keadaan sekeliling. Sunyi benar keadaan kawasan dan tidak berjaga. Yalah, jika tak silap Arwah Onyang tidak punya waris ramai. Anak yang seorang itu pun dah meninggal dunia. Mungkin kerana itulah orang dahulu gemar punya anak ramai, supaya segala hasil penat lelah dapat diturunkan ke generasi akan datang.
Insyaallah, panjang umur kami akan ke sana dan keberangkalian untuk bersua muka dengan mana yang tinggal cerah. Al-Fatihah buat mereka semua yang telah tiada. Terima kasih di atas segala kenangan yang ditinggal..
nota: semakin jauh kenangan ditinggal semakin hampir kita kepada Pencipta..
Hampir 2 tahun menanti peluang, sekarang ianya bermain-main di birai mata dan minda. Entahlah, tidak pasti akan kewajaran untuk memohon. Hati menghentak-hentak mahukan tetapi akal berfikir ligat. Kemampuan dari pelbagai sudut harus diambil kira. Tak salah mencuba tetapi andai hadirnya rezeki persediaan bagaimana?
Tak suka berada di dalam dilema sebegini. Obor cita-cita tidak pernah dan tidak akan terpadam, hanya masa sahaja belum tentu pasti. Dek runsingkan perkara ini, mata sendiri sukar terkatup walhal jarum waktu berdenting-denting berlalu laju. Moga Allah beri petunjuk terbaik buat diri ini..
Selamat dibuai mimpi indah rakan-rakan dan bangun dalam keadaan menggembirakan kelak!!
Lama tidak bercanda di sini. Saya sakit untuk kesekian kalinya :( Rasanya tahun ini paling banyak jatuh sakit! Hampir setiap bulan mesti ada sahaja tidak kena. Entah di mana silap saya sendiri kurang pasti. SABAR dengan dugaan adalah pegangan utama, walaupun kadang kala tidak mampu untuk bertahan. Masih belum pulih sepenuhnya. Diberi keizinan, saya kembali berceloteh...