Followers

Friday, December 16, 2011

::Gelombang Ombak Rindu::

Saya turut tidak ketinggalan merasai kehangatan filem bualan ramai masa kini.  Saya pernah kongsikan di sini lagu tema filem Ombak Rindu yang berjaya membuai hati sayu tetapi secara jujur tidak merancang untuk menonton filem kerana yakin benar peneman setia tidak akan mahu bersama ke panggung.  

Lagi pula, saya takut apa yang berlaku saat menonton Lagenda Budak Setan akan turut sama pada Ombak Rindu ini.  Senang cerita, tak puas namun tatkala ramai memberi komen memberangsangkan serta ada pula yang mengalir air mata tanpa henti saat menonton, keinginan merasai kehebatan Ombak Rindu (OR) mula menjalar.  Seorang teman siap berpesan, jangan lupa bawa bersama sekotak tisu, jika tidak baju akan menjadi sasaran untuk menyapu air mata.

Minggu-minggu terawal tayangan cuba mempelawa orang sekeliling jika ada yang berminat. Jawapan menghampakan malahan Abang lebih tertarik ke panggung untuk menonton Twilight.  Saat berduyun penonton beratur membeli tiket OR, saya pula berasak-asak membeli tiket filem pecah panggung antarabangsa.  Sangat tidak bersifat kenegaraan waktu itu..he..he..he..Apa pun, Twilight tidak mengecewakan dan tak sabar menanti sambungan. Merungut-rungut saya kenapa perlu ada sambungan, alangkah bagus terus sahaja tamatkan filem. Makan masa 4 jam pun saya yakin peminat filem ini sanggup meluangkan masa.

Bila masuk minggu kedua dan berjaya meraih pulangan jutaan ringgit, baru saya berjaya memujuk.  Sempena cuti Keputeraan Sultan Selangor yang lalu, kami ambil kesempatan untuk menonton OR.  Itu pun tengok tayangan di waktu malam.  Siang masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. 

Pada awalnya merancang pergi bertiga seperti biasa dengan Ayu Bam Bam dan Abang, sekali GM beria-ia nak menonton.  Bawa sekali jelah, lagi pula tiket GM yang bayar (sebenarnya kena bayar balik tapi ada ciri-ciri untuk dilupakan..he..he..he..).  Tempah melalui aplikasi GSC I-Phone, terus bayar dan berjaya dapat kerusi memuaskan.  Baru tahu, menggunakan aplikasi tersebut tiket pun tak perlu ada.  Yang penting kod bar di dalam telefon untuk scan nanti.  Bermacam aneka kemudahan di hujung jari sekarang nikan.

Tak perlu rasanya saya huraikan sinopsis filem ini.  Di mana-mana sahaja di laman maya  rakan-rakan dapat membaca ringkasan OR.  Pandangan jujur dari saya yang pernah membaca novel, OR di naskah lebih menyentuh jiwa dibandingkan di layar perak.  Kepuasan tidak dapat dirasai secara maksima apabila peralihan dari satu babak ke satu babak disingkat-singkatkan.  

Harus akur, takkan segala babak hendak dipamerkan cuma bila transisi singkat ini berlaku, klimaks cerita tidak begitu dapat dirasai.  Seharusnya saat Hariz tidak dapat bertemu dengan isteri akibat kemalangan dan Izzah di halau sehelai sepinggang menjadi klimaks cerita tetapi derita kedua watak ini tidak dapat dirasai secara mendalam.  

Mungkin bagi filem cinta romantis begini, elemen meleret yang tidak melampau harus ada sedikit supaya penonton dapat tenggelam di dalam keasyikan.  Ops, saya bukan kondem tetapi ini apa yang saya inginkan sebagai penonton dan selera kita tidak harus sama. Barangkali hanya saya seorang yang merasakan sedemikian.

Satu lagi, tragis kehidupan Izzah yang di dukung oleh Maya Karin juga patut dilebihkan.  Ini memberi penonton lebih terasa di hati betapa Izzah benar-benar memerlukan kebahagiaan abadi.  Kepayahan kehidupan anak yatim menumpang kasih dari saudara yang terpaksa rela membelanya, betapa Izzah dibenci kerana dianggap pembawa sial di dalam keluarga, dijual menjadi pelacur dan banyak lagi seharusnya dibawa ke layar lebih mendalam bagi merintihkan lagi hati penonton.  Tapi yalah, novel dan filem mana boleh sama (ingat ini dalam kepala bagi yang baru hendak menonton OR)

Banyak lagi sebenarnya tetapi siapalah saya hendak mengulas hasil karya orang lain. Sebelum diterjemah ke layar, pastinya segala sudut telah dipertimbangkan oleh pengarah dan penulis skrip.  Kita sedar di Malaysia nilai komersial mengatasi segalanya dalam memastikan pulangan atas hasil kerja.  Terlalu teknikal dan berseni akan membawa ke arah kegagalan dan kerana itu pemilihan pelakon begitu besar namanya yang mampu menarik jutaan penonton ke panggung wayang. 

Apa pun OR ditangan Osman Ali berjaya, cumanya saya terfikir Osman Ali memang suka watak yang berkemban ya?  Hampir ke semua filem dia akan ada wanita berkemban.  Signature beliau barangkali!  Tak apalah, setiap pengkarya ada cara tersendiri dalam menampilkan hasil kerja.

Pemilihan para pelakon untuk watak-watak utama berjaya berjaya secara dasar cuma sedikit kekurangan pada watak Izzah terutama melihat kepayahan Maya Karin untuk membuang pelat begitu ketara, di situ tidak nampak akan kekampungan Izzah.  Nampak sukar untuk dia mengatur tutur kata berirama makanya saat bermonolog yang boleh mengocak emosi penonton tidak begitu menjadi.  Tetapi dari segi mainan emosi, Maya boleh dianggap berjaya juga. 

Muka kacukan juga mematikan gambaran wajah asli gadis kampung atau mungkin barangkali ramai sebenarnya gadis kampung memiliki paras wajah cantik sedemikian, saya sahaja tidak menyedarinya.  Namun jika persoalan diajukan, siapa lagi yang lebih layak mengangkat Izzah di layar perak, saya sendiri tak tahu..he..he..he..

Tetapi berlainan pula perihalnya dengan Azizah Mahzan sebagai ibu Harriz.  Ala-ala pelat 'omputih' dia benar-benar membuat saya bertambah sakit hati dengan perwatakkannya.  Ada mengatakan tak perlulah dia mengada-ngada untuk ber'slang' bagai tetapi bagi saya pula, itulah yang menambah gumpalan menyampah di hati penonton.  Ibarat sudahlah kejam, tak sedar diri pula tu.  Sebagai Datuk, dia kononnya patut berada di dalam kelas yang tersendiri dan kerana itu bagi saya dia begitu cemerlang dalam berjaya menangani wataknya.  

Seperti tidak adil jika tidak berbicara perihal hero terhangat di pasaran.  Aaron Aziz memang sangat kacak.  Setiap gerak laku begitu mempamerkan karisma personaliti dambaan wanita.  Tidak susah dia hendak membawa rasa itu kerana tidak banyak beza di antara dunia nyata.  Saya pernah berselisih dengannya di kompleks membeli belah dan memang tidak dinafikan dia kacak!  

Apa yang kurang berkenan, Hariz menangis tetapi tidak menampakkan mengapa perlu dia menangis.  Gejolak jiwa kurang dirasai, seharusnya banyakkan babak yang menyumbang kepada tangisan tersebut.  Betapa dia begitu sakit memendam rindu patut direalisasikan di layaran.  Bagaimana untuk dizahirkan saya sendiri kurang pasti tetapi jika ianya ada, mungkin saya akan turut sama mengalirkan air mata kerana tangisan lelaki begitu berharga. Tatkala lelaki mengalirkan airmata ketika itu sudah pasti dia tidak dapat menanggung lagi beban yang begitu menyeksa.  Syabas harus diberikan kepada Aaron kerana berjaya mengeluarkan airmata jantan buat tatapan jutaan peminat.

Angan-angan saya terlalu tinggi kerana terlalu menganalisa dan membandingkan di antara novel dan filem.  Seharusnya saya tidak membawa inipati novel di kepala sewaktu menonton wayang kerana ianya gagal memuaskan hati.  Apa pun, selepas ini bila membaca novel OR sudah terbayang wajah para pelakon sedia ada ke dalam watak tersebut.  Pastinya wajah watak Hariz akan lebih melekat di kepala...ha..ha..ha..hensem tu!!  

OR menarik untuk ditonton.  Selain dari jalan cerita dan himpunan pelakon pujaan ramai, keindahan latar tempat pasti akan membuai rasa.  Anda akan merasakan bila agaknya berpeluang untuk berada di lokasi terpilih.  Elemen keindahan alam begitu mewarnai filem ini.  Keindahan ini banyak membantu mewujudkan aroma romantis selain dari kesyahduan lagu tema.  

Jika promosi di televisyen, lagu tema duet di antara Hafiz dan Adira yang sering berkumandang, tetapi di dalam filem ini ada ketikanya, Adira sahaja melagukan lagu OR.  Ternyata ia begitu terkesan di hati hingga saya rasa tidak perlu berduet.  Mungkin Adira berjaya meletak emosinya dan ia terpancar dari alunan suara.    

Walau ada yang menghentam di dada akhbar dengan mengatakan tragedi murahan melalui persembahan OR, tragedi inilah yang didambakan oleh penonton sebenarnya.  Secara keseluruhan, saya yakin pengarah berjaya meletakkan filem ini ke satu tahap berbeza.  Saya sendiri merasakan garapan OR lebih baik dari Lagenda Budak Setan.  Tetapi itulah, selera manusia bukan boleh ditebak.  Abang pula lebih menggemari Lagenda Budak Setan berbanding OR.  Lain padang lain belalang!

Dari 5 bintang saya kurniakan 3.5 bintang secara total buat OR.  Panggung wayang memanjangkan lagi tempoh ke satu minggu untuk menayangkan filem ini, dan pastinya kutipan yang dikhabarkan 10 juta boleh mencecah ke 15 juta.  Akan adakah sambungan buat filem ini?  Kerana novelnya mempunyai 3 siri berbeza.  Kita tunggu bersama akan pengumuman mengenainya.

Berbicara lagak seorang pendukung karya walhal satu pun nan ada.  Dari dulu lagi saya gemar mengupas filem-filem secara mendalam.  Bukan untuk tidak menghargai atau sengaja mencari kesilapan, demi Allah tidak terniat langsung cuma saya suka akan pemikiran kritis, sekurangnya berjalan juga otak walau hanya menonton sesuatu yang ringan.  Bicara kita berbeza tetapi selera ke arah yang sama. 


Janganlah disalah anggap entri ini.  Saya tidak menghentam atau ingin menjatuhkan filem ini.  Tidak terniat langsung!  Saya kongsikan apa yang dirasa, jika salah pun tak mengapa.  Harus bersikap terbuka kerana sesiapa sahaja bebas bersuara.  Segalanya adalah ikhlas dari sudut mata seorang penonton yang dahagakan filem Melayu.  Kata orang Melayu, kenalah bangga dengan hasil bangsa sendiri.  Betul tak?  


Okey, tadi Ninie hantar klip di bawah ini menerusi Facebook dan saya telah jatuh cinta.  Berhantu benar lagu Ombak Rindu ya, hingga ditukar kepada instrumental pun tetap menyayat hati.  Terima kasihlah pada yang membuat lagu ini, memang benar-benar terkesan susunan melodinya.





Jika Siti Cutie ingin pergi menonton saya boleh sahaja tonton buat kali kedua.  Mana tahu pandangan jadi berbeza pula, atau saya meneliti perkara yang lain pula.  Cuma, rasanya inilah pertama kali filem tempatan memakan masa tayangan 2 jam.  Selalunya 1 jam 15 minit atau 1 jam 30 minit.  

Sebelum masuk ke dalam perut panggung, saya berpesan dengan Ayu Bam Bam supaya sediakan tisu mencukupi.  Hampir ke penghujung filem, kami berpandangan dan tergelak sambil bertanya "nak nangis part yang mana ye?"  Maaf OR belum mampu memerah airmata ini.  Selamat menonton rakan-rakan.  Masih belum terlambat buat anda menjadi sebahagian dari penonton OR dan cuba menghayati filem tragis romantis ini.  Sokonglah karya tempatan dan letakkannya di tempat seharusnya.


  Gambar saya peroleh dari pencarian melalui Google Image




nota:  ombak menghempas pantai, akan berkocakkah rindu?




      


No comments :

Post a Comment