Followers

Wednesday, December 21, 2011

::Bicara Hati::

Sejak pulang petang tadi, hati digayut sayu.  Entah mengapa kurang pasti.  Tiba-tiba seribu satu rasa bermain di dalam diri.  Mungkin dua tiga hari kebelakangan ini sibuk mengulit kerja, tiada masa untuk bermain dengan emosi.  Bila punya ruang buat diri sendiri, segala terbelit kembali menjerut.

Tiada siapa di dunia mengimpikan laluan onak berduri, walau diri tidak putus berdoa meminta segala dipermudahkan.  Tetapi jika Allah memilih kita, apa lagi daya untuk menolak.  Lagi pula kita hamba yang lemah, pasti liku-liku dilalui adalah hasil dari pemilihan jalan-jalan yang tersedia ada.  

Suka atau tidak laluan berduri harus dirempuh jua meski kulit cacat penuh luka.  Apa perlu takut pada luka, kerana kesan yang tinggal itulah bakal memberi peringatan dan pengajaran.  Cuma dari kesan luka tersebut, akan ada meninggalkan kesan begitu mendalam.  Andai ditoreh kembali, menggamit nanah berpanjangan.

Ya, diri ini sedang merawat segala kelukaan tetapi di kala merintis masa hadapan, duri sekeliling mula merucuk.  Bimbang dan takut menguasai diri.  Adakah duri-duri itu akan kekal sebati atau bakal membawa kejayaan?  Yang pasti, comotan hasil luka yang berparut itu menyebabkan nilai diri berkurangan.  Tiada lain boleh dilakukan selain dari pasrah...

Telah jauh perjalanan kehidupan ini.  Entah mengapa terfikir juga, bila agaknya akan tiba ke penghujung.  Jika dihitung memang banyak belum terlaksana, masih tidak terkira tanggungjawab tergalas dibahu belum dilunas, cuma andai punya kuasa mutlak mahu sahaja usia tiba ke penghujung agar tiada lagi onak duri dunia mencengkam diri.

Manusia saat susah ketika itulah bergegar mencari pelindungan, tak berhenti meminta belas ihsan Maha Pencipta.  Tetapi punya waktu senang, segalanya dilupakan.  Itu jugalah saya lakukan sepanjang bernafas.  Betapa rendahnya martabat saya, betapa hinanya perilaku sedia ada.  Namun Allah masih lagi membuka ruang penghidupan, susah macamana pun tetap ada sedikit sinar.  Sedikit sinar, besar pula gaung dan curam disekeliling.  Itulah hisabnya..

"YA ALLAH, ANDAI INI TAKDIR MU HAMBA MU INI TERIMA SEADANYA.  NAMUN KAU BERKATILAH DAN BERIKAN KEREDHAAN ATAS SEGALA USAHA DIKERJAKAN.  PANDANGLAH HAMBA MU YANG HINA INI DENGAN BERIBU IHSAN SUPAYA DIPERMUDAHKAN SEGALANYA.  BIMBINGLAH HATI KU DAN HATI MEREKA-MEREKA YANG TURUT SAMA DALAM MELAKSANAKAN APA DICITAKAN HINGGA BERJAYA.  BIMBINGI JUGA KAMI KE JALAN BENAR DAN SENTIASA HAMPIR PADA MU.  HANYA PADA MU AKU MEMOHON DAN HANYA PADA MU AKU BERSERAH, KABULKAN DOA KAMI SEMUA" Amin...  




nota:  biarkan ia berlalu pergi...



   

No comments :

Post a Comment