Followers

Tuesday, January 17, 2012

::Macam-Macam Ada::

Seronok sangat melihat ramai di antara rakan-rakan dapat melancong serata tempat baik dalam mahupun luar negara.  Siapa yang tak suka melihat tempat orangkan, tapi itulah...Setakat dalam Malaysia, tak ada masalah bagi saya tetapi nak ke luar negara tu sahaja :(  Rezeki untuk berbuat sedemikian masih belum ada lagi.  Apa pun saya redha kerana yakin akan sampai juga masanya nanti.  Tipulah kalau kata tak cemburu, kadang kala terdetik di hati kenapalah nasib sebegini.  Biasalahkan, kerja syaitan suka menghasut supaya api dendam dan hasad sentiasa menyala.  Bila tersedar, terus beristighfar...

#############################################################

Panaskan cuaca sekarang?  Tak tahulah kalau saya seorang sahaja merasa bahang kepanasan dunia, tetapi memang panas.  Ini kerana saya jarang merungut bila berkaitan dengan suhu panas.  Saya boleh sahaja tidur tanpa kipas mahu pun alat penghawa dingin di waktu cuaca bukan panas membahang sebegini.  Ayu Bam Bam sentiasa menjadi mangsa keadaan, di mana saya melarang dia memasang penghawa dingin.  Walhal dah kuyup berpeluh dia duduk dalam bilik.  Oleh itu bila saya terasa akan cuaca kepanasan, sememangnya cuaca adalah sangat terik..

###########################################################

Hari tu adalah ketikanya saya agak merajuk dengan laman sosial Face Book (FB).  Tak ada punca utama, cuma tiba-tiba merasakan segalanya begitu membosankan dan sangat menyampah melihat telatah mereka-mereka yang mempunyai akaun FB.  Faktor kesepian hati barangkali.  Jangan silap ye, itu tidak bermakna saya berhadapan sebarang kemelut cinta.  Kadang-kadang punca rakan, keluarga dan sanak saudara juga boleh terasa di hati, mampu mengundang hiba.  Lebih hebat dari penangan CINTA!!..

###############################################################

Jumaat akan datang ini, Abang sekeluarga akan mengadakan Kenduri Tahlil dan Arwah buat Allahyarham ibunya yang telah kembali ke rahmatullah pada penghujung 2011 lalu.  Sedang berfikir-fikir apa agaknya contribution yang boleh saya berikan selain dari tenaga.  Tenaga tu, mana termampu pasti akan dihulurkan cuma terfikir akan lain-lain.  Tengoklah, apa yang ada terlintas nanti.  Sekejap sahaja masa berlalu, Jumaat ini genap 21 hari arwah meninggal dunia.  Al-Fatihah..

############################################################

Sejak kebelakangan ini berhadapan dengan masalah perut meragam pula.  Selang sehari perut mesti sakit, kemudian bila nak mengeluarkan isi perut pun sakit melampau.  Keras pula tu!  Kurang air dalam badan barangkali.  Mungkin juga sebabnya kulit-kulit pun habis mengelupas kekeringan.  Atau faktor bertukar sabun barangkali, tak sesuai dengan kulit.  Entahlah, malas nak fikir.  Biarkanlah dulu, banyak lagi perkara penting nak difikirkan.  Tapi masalah perut ni kena beri keutamaan sebabnya, saya adalah pesakit gastrik.  Bahaya kalau melarat kelak...
#############################################################


Tak sedar sakit perut, tekak mengidam melampau pula.  Asyiklah teringatkan mangga muda makan bersama kuah rojak.  Aduh, sedapnya!  Masalahnya hendak mendapatkan mangga muda bukan senang, terpaksa meredah pasar Chow Kit.  Tempat lain-lain saya tak tahu di mana.  Okay, bukan saya sahaja minat ya.  Dalam rumah ni, semua pun minat.  Dari tua sampai ke muda...

#############################################################


Alhamdulillah, permulaan Tahun Baru memberi sedikit sinar walau saya masih lagi menumpang kesedihan di atas pemergian insan tersayang di dalam hidup Abang.  Serasa mampu bernafas bila apa diusahakan sedikit demi sedikit menampakkan hasil.  Benar masih jauh lagi dan banyak perkara tidak diingini boleh berlaku, tetapi kami sekeluarga yakin dengan ketentuan Illahi, Insyaallah ada rezeki buat kami semua...

##############################################################


Perasan tak, sejak akhir-akhir ini Astro semakin tidak mempunyai cerita menarik untuk ditonton.  Ke saya seorang sahaja berperasaan sedemikian?  Entahlah, tetapi terasa rugi melanggan terutama menjelang malam.  Kerap menukar siaran mencari apa yang boleh menarik perhatian, malangnya hambar.  Akhirnya alat kawalan jauh berpindah tangan ke Buah Hati.  Sekarang dah pandai menekan nombor untuk saluran yang dia minati...

################################################################


Selain dari mangga muda, selera untuk menikmati makanan laut terutamanya ketam makin membuak-buak.  Tengoklah kalau ada rezeki nanti akan saya serbu restoran makanan laut berhampiran.  Sebut sahaja ketam terus kecur air liur.  Bukan tak boleh minta GM masak, tapi tekak agak mengada-ngada inginkan yang di restoran itu.  Sangat melampau ya tekak ini...

##########################################################

Apa sahajalah bebelan saya ini?  Sebenarnya sebahagian dari bebelan tersebut ada saya sebut di laman Twitter atau pun Facebook.  Dah tak ada idea, saya bawa ke sini.  Bolehlah, dari tak ada langsung.  Satu hari nanti bila saya tengok kembali, ini menandakan jiwa di landa gelora pelbagai rasa!

#############################################################


nota:  entah 

No comments :

Post a Comment