Followers

Wednesday, November 26, 2014

::Kenangan UPSR::

Hari ini keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) keluar.  UPSR paling kontroversi rasanya dengan kisah menduduki semula beberapa subjek mendapat soalan bocor.  Terfikir di manakah intergriti guru dan juga ibu bapa terlibat.

Tak mahulah persoalkan yang itu lagi.  Perkara dah berlalu.  Tahniah pada adik-adik yang berjaya peroleh keputusan memberangsangkan.  Di FB ramai anak rakan-rakan pass with flying colors.

Apa pun keputusan UPSR bukan penentu segalanya.  Masih jauh perjalanan sementelah banyak lagi peperiksaan besar bakal ditempuh.  Dengan format pendidikan yang baru (rasanya), cabaran menanti bukan calang-calang.

Diri harus dipersiap sebaik mungkin.  Seandai terkandas masih belum terlewat untuk memperbetul keadaan.  Yang penting tidak jemu berusaha dan tidak cepat mengalah.  

Tersenyum sendirian bila terkenang saat saya menjadi calon UPSR tahun 1992.  Dah 20 tahun lebih memori kemas tersimpan di lipatan sejarah.  Segalanya masih segar dan saat ini saya seolah memutar kembali video lama.

12 tahun, angka usia yang cukup mentah.  Usia permulaan memasuki alam remaja.  Sedikit kepintaran Allah kurniakan, walau tak sehebat mana tapi di sekolah saya antara 40 orang pelajar kelas pandai.

Dulu murid-murid di kelaskan mengikut tahap kepandaian berdasar keputusan peperiksaan.  Sekarang ni tak tahulah pula masih wujud sedemikian atau tidak.

Kenapa saya kata kelas pandai, kerana dari seluruh darjah 6 sekiranya saya mendapat tempat ke-40 di dalam darjah beerti saya adalah murid ke 40 dari keseluruhan darjah 6.  

Perbezaan markah di antara satu sama lain sangat sengit.  Kedudukan no 1 boleh sahaja diduduki lebih dari 3-4 orang dek markah sama.  Begitu juga kedudukan nombor-nombor lain.

Bila berada di dalam kelompok bijak, walau tidak sepandai mana pun tetap juga tumpang label PANDAI.  Biasalah tu!  Terlanjur mendapat gelaran sedemikian, mesti target pun tinggi.

Bukan setakat guru kelas tapi seluruh sekolah.  Katanya kami semua boleh bantu menaikkan nama serta gred sekolah peringkat negeri.  Berusaha tahap bermati-matian juga.

Keluarga pun tentulah inginkan sesuatu yang terbaik.  Alang-alang duduk kelas pandaikan, mungkin adalah harapan peroleh keputusan cemerlang.

Bila keputusan keluar, agak meleset juga target saya.  Dari 4A dapatlah 3A 1B.  Fuh, sedih bukan main.  Entahlah, sedih banyak ke malu banyak ke saya pun tak pasti.  Tapi menangis tahap tersedu-sedu.  Sampai bengkak mata.

Kawan rapat semuanya dapat 4A, saya terkontang-kanting tak dapat full set.  Tengok mereka seronok meraikan kejayaan, bertambah pilu di hati.  Waktu tu rasa end of world sangat!

Bukan tak ada rakan sekelas yang tak dapat 4A tapi entah kenapa touching sangat.  Rasa dah gagalkan impian semua orang.  Siap boleh salahkan diri kenapa tak belajar lebih subjek Matematik.

Immediate waktu tu terbayang kawan-kawan semua akan ke sekolah baik tapi saya bakal belajar di sekolah bertaraf biasa.  At that time memang high competition.

Saya aim nak masuk sebuah sekolah popular di KL tapi dah tahu takkan dapat dengan keputusan sedemikian.  Sekolah tersebut hanya akan ambil pelajar yang lulus cemerlang.

Those days manalah pandai nak muhasabah diri ke, terima sebagai takdir ke, ini perancangan terbaik dari Allah ke bagai.  Yang saya tahu saya GAGAL!

Pujuk-pujuk GP supaya saya dimasukkan ke sekolah tersebut, haram dilayan.  Dia kata sekolah di mana pun sama.  Yang penting diri.  Kalau malas belajar duduk sekolah baik pun tak akan dapat keputusan baik.

Makanya redha dengan keputusan bersekolah di sekolah yang saya tamat sehingga Tingkatan 5.  Sekarang mestilah saya akan kata segalanya telah ditulis dengan baik oleh Maha Pencipta.

Segala perancangan Allah SWT buat saya pasti ada hikmah.  Hari ini tiada siapa pun bertanya berapa keputusan UPSR.  Apa yang saya peroleh bukan tiket untuk teruskan kehidupan.

Berapa ramai kawan-kawan saya terkandas sewaktu UPSR hari ini jauh lebih berjaya dari saya.  Pegang jawatan tinggi, malah yang jadi Professional pun ada.  Saya dengan mereka ibarat jauh panggang dari api.

Itu tanda mereka tidak putus asa dan ambil ikhtibar dari kegagalan lampau.  Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih.  Saya respek walaupun kadang-kadang bila bersua ada sahaja giat mereka, "Oh, Kaukan budak pandai.  Takkan nak duduk sama dengan kitaorang".

Dalam dunia sebenarnya tak ada yang pandai mahupun bodoh.  Sama sahaja, cuma bagaimana kita handle kehidupan serta berdepan dengan keadaan.  

Ibu bapa pun tak perlu tekan anak-anak seandainya keputusan tidak memberangsangkan.  Pupuk minat belajar dan sentiasa beri semangat pada mereka.  Insyaallah, ada rezeki anak-anak dapat keputusan cemerlang.



nota:  bagaimana pula UPSR sepuluh tahun akan datang?
               


No comments :

Post a Comment