Pulang dari bertemu Abang tadi, baru terperasan potongan sebanyak 10% bagi yuran tol selepas jam 12 tengah malam telah dimansuhkan. Sampai di rumah segera melayari internet, rupanya tawaran tersebut sehingga tahun 2010 sahaja.
Memang benar, 10% tidak memberi impak besar terutamanya seperti saya yang kerap menggunakan Tol Plus dari Jalan Duta ke Kota Damansara. Tetapi jika kerap menggunakan lebuhraya, dapatlah juga penjimatan. Saya kecewa tetapi adakah yang mendengar kekecewaan saya, hanya kerana isu 10 sen.
Baru-baru ini Kerajaan mengumumkan berita yang diklasifikasikan sebagai berita baik buat rakyat Malaysia, tiada sebarang kenaikan pada tol. Berita baik ke? Maaf, ianya langsung tidak terkesan mahupun bangga dengan apa yang diumumkan. Lainlah jika ada pengurangan pada kadar tol yang sememangnya membebankan. Sudahlah perlu membayar tol, di Kuala Lumpur ini mana-mana lebuhraya pasti tidak lepas dari kesesakan lalu lintas yang maha hebat. Membayar tol ibarat membayar masa yang terbuang di jalan. Saya kecewa tetapi adakah yang mendengar kekecewaan saya, hanya kerana beban membayar tol.
Apa bezanya dengan tidak menaikkan harga tol, tetapi harga minyak mencanak naik? Jangan persoal mengapa saya tidak menggunakan RON 95 kerana saya yakin ramai di luar sana telah dapat jawapan yang sewajarnya. Khabar angin bertiup kencang, minyak akan naik lagi. Kenaikkan yang entah kali berapa kurang dari tempoh setahun. Syabas Kerajaan!!! Kalau minyak tidak naik, prestasi negara pun tidak naik jugakan.. Saya kecewa tetapi adakah yang mendengar kekecewaan saya, hanya kerana saya memilih RON97.
Sana sini orang mula memperkatakan kemelesetan ekonomi akan berlaku tahun ini. Dengan segala-galanya naik, tidak perlu tunggu kemelesetan ekonomi kerana secara dasarnya saya yakin penduduk Malaysia terutama di bandar telah mula mengalami kemelesetan kantung poket. Saya kecewa tetapi adakah yang mendengar kekecewaan saya, hanya kerana barang semua naik tidak turun-turun.
Apa yang pasti saya kecewa yang teramat dengan apa yang berlaku. Saya tidak dipengaruhi oleh mana-mana ideologi retorik politik. Saya tidak berminat dengan politik Malaysia. Tetapi saya yakin apa yang saya rasai turut dirasai ribuan penduduk Malaysia yang lain di luar sana dan sekali lagi, apa yang boleh kami lakukan hanya dengan melontar perkataan "KECEWA".
Terima kasih Kerajaan Malaysia kerana berjaya membuat kami semua hidup di dalam keadaan serba kekurangan.
nota: kerana inilah MLM dan pinjaman Ah Long sentiasa berjaya...
No comments :
Post a Comment