Followers

Wednesday, February 23, 2011

::Langkawi 8::

Terlalu lama episod Langkawi tidak disambung.  Dari tahun lepas, kini Februari 2011 hampir menutup tirai, barulah ada masa untuk kembali bercerita.  Bagi sesiapa yang belum pernah membaca episod sebelum-sebelum ini, nanti di hujung entri saya bagi link yang telah sudah.

Secara jujur saya sendiri telah lupa di mana saya berhenti pada episod yang lalu.  Satu kerja pula terpaksa menggeledah kembali entri-entri 2010.  Ok, episod 7 saya berkongsi pengalaman kami di Gua Kelawar melalui pakej Kilim Geoforest Park.  Selepas meneroka Gua Kelawar kami semua menaiki bot yang telah sedia menanti untuk membawa kami semua ke Rumah Ikan.

Rumah Ikan ini diwujudkan bagi memberi peluang para pengunjung melihat sendiri dengan lebih dekat ikan-ikan yang boleh di dapat di Sungai Kilim.  Besar-besar ikan yang mereka bela.  Ada sejenis ikan, maaf tiada gambar atau nama boleh dikongsi di sini, sememangnya jinak.  Kita boleh memegangnya dan memberi makan tanpa perlu mencampak ke arah ikan tersebut.  Ada juga dua ketiga jenis ikan lain yang mempunyai gelagat tersendiri.  Jika mengambil pakej ini, jangan lupa singgah ke rumah ikan ini.  Bagi yang mempunyai anak-anak mereka pasti akan terhibur.

Berhampiran Rumah Ikan ini juga terdapat restoran terapung.  Kami tidak berhenti makan kerana telah terikat dengan pakej yang diambil.  Bagi sesiapa yang berminat untuk mencuba, sila beritahu pemandu bot awal-awal supaya mereka boleh mengira peruntukkan masa.  Seperti apa yang diperkatakan oleh pemandu bot kami, hidangan makanan di restoran terapung tersebut boleh tahan enak dan berpatutan harganya.  

 Antara yang sempat dirakam oleh lensa kamera kami

Selesai beriadah di rumah ikan, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, meneroka keindahan hutan paya bakau (mangrove).  Pemandu bot yang kami dapat boleh dikatakan profesional juga walaupun usianya muda dari kami semua.  Sepanjang perjalanan, pemanduan bot di dalam kadar sederhana.  Tidak terlalu laju tidak terlalu perlahan.  Kami menikmati sepuasnya keindahan alam ciptaan Allah.

Ketenangan begitu mengulit jiwa.  Mata seolah tidak percaya akan ciptaan Yang Maha Kuasa.  Begitu takjub melihat ekosistem serta struktur geografi di sepanjang Sungai Kilim.  Hidupan yang mendiami persisiran sungai juga begitu lincah menyambut kedatangan para tetamu seperti kami.  Sewajarnya UNESCO mengiktiraf kawasan ini sebagai Geoforest Park  di bumi Asia Tenggara dan akan dilindungi.

 Gelagat kami di dalam bot

Antara pemandangan yang mendamaikan

Selain dari melihat keindahan alam, banyak juga yang dapat dipelajari.  Sebagai persediaan awal, sekali lagi saya menasihati supaya mendapatkan pemandu bot yang bermaklumat dan boleh menjawab segala pertanyaan yang diajukan.  Antara yang masih saya ingat ialah, Langkawi di beri nama sempena burung helang dan juga batu kawi yang banyak terdapat di sana.  Batu kawi ini bila jatuh ke dalam air, ianya akan terapung.  Sehingga hari ini Langkawi masih lagi menjadi industri Batu Kawi.   

Kami menghabiskan masa hampir setengah jam melihat panorama sekeliling sebelum bot mula memasuki kawasan Laut Andaman.  Kenapa kami memilih untuk melalui Laut Andaman?  Nanti saya bersambung di episod seterusnya ya... :)  Jika rajin boleh membaca entri-entri yang lepas!!

nota:  Terasa canggung apabila kembali menulis...



No comments :

Post a Comment