Secara rasminya kita telah pun mengetahui siapa terkeluar dari Maharaja Lawak minggu ni. Nanti-nantilah saya komen, sekali harung dengan gambar dari kamera Fit Sparrow. Walau apa pun, Maharaja Lawak malam ni memang best dan sekali lagi Nabil dan Sepah berjaya menawan hati. Jozan pula mula menunjukkan taring, macam nilah baru bagus. Status FB malam ni pun bersepah mengenai Maharaja Lawak. Mujur saya tiada akaun Twitter, kalau tidak mahu menderu-deru komen di sana masuk.
Esok rakan-rakan buat apa agaknya. Saya sudah terbayangkan apa bakal berlaku esok hari. Seharian 'kekasih hati' bekerja sampai malam. Kereta pula pada dia, makanya tersadailah saya di rumah. Mungkin esok satu lagi hari baik buat saya meneruskan agenda berehat. Tapi, asyik berehat sahaja pun lemau juga rasanya. Jika berpeluang ingat nak juga menjengah panggung wayang, cuma esok tidak akan berlaku nampaknya.
Ada juga perancangan hendak menjenguk Nova sekeluarga. Siapa Nova? Kan bulan 10 yang lalu saya ke Langkawi bersama mereka sekeluarga. Nova baru sahaja bersalin. Sebagai kawan, haruslah menziarahi orang barukan. Mungkin hari Ahad boleh dilaksanakan. Entahlah, bergantung kepada keadaan kerana baru tadi Abang kata mak dia masuk hospital. Pasti nanti dia ingin menjengah juga.
Sejak kebelakangan ini, asal malam sahaja rasa nak demam. Tak pasti pula apa puncanya. Mungkin saya aktif di siang hari sehingga lupa kemampuan saya bukan seperti dahulu lagi. Segalanya kini perlu dibataskan demi kebaikan diri sendiri. Moga Allah perkenankan doa saya untuk sembuh seperti sebelumnya.
Hujung minggu ni rumah serasa sunyi. Mana tidaknya, Buah Hati pulang Ampang. Kalau tidak dialah madu dan dia juga racun. Rumah pasti riuh dengan gelagatnya. Aduhai, semakin dia membesar semakin sayang pada budak nakal tu. Ada sahaja perangainya yang mencuit hati. Pagi tadi bangun-bangun hening je rumah. Selalunya pagi-pagi lagi dia dah membuka peti suaranya. Tak apalah, mereka di Ampang pun pasti merindui Buah Hati juga. Paling lewat pun hari Ahad dah balik ke sini semula.
Hmm, hujung bulan ni ada cutikan? Nak susun perancangan ke tidak? Entahlah, buntu bila memikirkan banyak hal yang sedang melanda. Bila memikirkan naik sakit kepala. Ada atau tidak jalan penyelesaian saya sendiri tidak pasti. Namun, saya yakin Allah tidak akan mengecewakan permohonan umatNya ini.
Masa untuk belayar ke alam mimpi. Mampukah saya malam ini untuk melelapkan mata? Malam-malam sebelum ini saya gagal. Selagi jarum jam tidak menyentuh angka 3, selagi itulah mata bundar ini menolak untuk pejam. Masalah betul. Ini kerana segalanya bergerak secara carca marba apabila waktu tidur kita tidak berada di paksi yang betul. Minggu lepas sewaktu bersama dengan Fieza secara terangan dia kata tidak suka saya tidur lewat. Umur dah semakin tua, tidak baik untuk kesihatan. Saya bersetuju tapi nak buat macamanakan...
Baik berhenti sebelum meleret ke mana-mana. Selamat berhujung minggu rakan-rakan...
nota: Masih terkenang gelagat Maharaja Lawak yang mencuit hati
No comments :
Post a Comment