Sehingga hari ini, boleh dikatakan kesakitan dialami hanya 40% sahaja pulih. Selama terlantar, pelbagai rencah rasa bermain di benak fikiran. Kadangkala aura negetif terlalu menguasai lantas menimbulkan emosi bercelaru. Inilah sebenarnya dirasai oleh mereka-mereka yang berhadapan dengan aneka penyakit di dunia. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kini saya lebih memahami mengapa pesakit-pesakit kronik mudah putus asa untuk meneruskan hidup.
Setiap hari harapan untuk pulih sebelum berlakunya insiden seminggu lalu sering tersemat. Sebelum melelapkan mata, doa dipohon moga Allah kabulkan permintaan. Benar Allah belum memberi restuNya namun saya tidak akan berputus harap. Setiap penyakit ada ubatnya dan apa yang sedang saya tanggungi pasti menemui titik noktah.
Seminggu lebih terlantar di katil saya benar-benar menginsafi diri. Saat tubuh badan sihat, saya sering alpa dan taksub dengan kerja seharian. Tatkala di landa musibah, hari-hari lepas dilalui jelas bermain di birai mata ibarat lakonan semula. Apa yang berlaku ini pasti ada hikmah di sebaliknya bukan.
Hari-hari mendatang mungkin tidak akan sama lagi seperti semalam. Saya redha namun tetap berusaha untuk memulihkan diri. Apa yang saya alami ibarat 10% sahaja dari apa yang dialami oleh sesetengah individu. Terima kasih buat keluarga, Abang, teman-teman, saudara mara yang tidak putus-putus mengambil berat dan menghulurkan kata-kata semangat. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi mereka-mereka ini.
Ternyata saya tidak mampu berlama di kerusi. Bisa sakit semakin menular. Elok saya berundur buat seketika dan merehatkan segala ketegangan. Insyaallah jika diberi kekuatan dan idea mencurah kita bertemu lagi di ruangan ini. Selamat melayari hujung minggu rakan-rakan!!!!
nota: Perlukah meneruskan perancangan untuk esok??!! Masih berfikir...
No comments :
Post a Comment