Followers

Monday, March 17, 2014

::FMFA Mengejutkan::

Di saat Malaysia menghadapi ujian bersilih ganti, tiba-tiba kita dikejutkan pula dengan berita kematian remaja sewaktu menonton konsert di Festival Music Future Asia (FMFA).

Mengucap panjang saya seketika saat berita tersebut saya baca lebih-lebih lagi ianya melibatkan saudara sesama Islam :(

Sudahlah punca kematian dikaitkan dengan alkohol dan dadah.  Bertambah-tambah sedih saya dengan remaja sekarang.

Terdetik di hati siapa agaknya penganjur FMFA serta tiada pemantauankah bagi pihak Kerajaan?  Bukankah setiap konsert dari luar negara perlu ada garis panduan tertentu?

Bagaimana benda-benda terlarang ini boleh terlepas masuk?  Rakan-rakan saya yang biasa dengan konsert atau anjuran festival sebegini dengan jujur memberitahu ini semua normal.

Lebih teruk dari itu pun ada.  Cuma kali ini nasib tidak menyebelahi event bila ada melibatkan kes kematian maka its being an eye opener to all of us.

Kemudian saya menelurusi satu persatu perkongsian berita dimuat naik di internet.  Sekali lagi saya mengurut dada.  Macam-macam kisah rupanya disebalik FMFA.

Tak perlu saya kongsi link atau gambar di sini.  Cari sahaja melalui satu klik, semuanya akan terpampang.  

Nampaknya Kerajaan tidak boleh memandang ringan isu ini.  Remaja hari ini aset negara masa hadapan.  Sekiranya mereka sudah diracuni di awal usia, bagaimana masa depan nanti?

Tiba-tiba sedih mengenangkan perkara sebegini boleh berlaku di sebuah negara Islam.  Tercalar sudah imej Islam Malaysia.  

Saya tahu saya pun bukanlah baik mana orangnya.  Iman lagi nipis dari kulit bawang, tetapi paling tidak saya masih meletak batasan di setiap perilaku sejak dari dahulu lagi.

Lahir di tengah kepesatan kota, pendedahan sangat ekstrem.  Saya tidak menafikan pengaruh alkohol dan dadah di kalangan rakan-rakan sangat berleluasa.

Sehingga ke hari ini ada di antara mereka gagal melepaskan diri dari belenggu masalah alkohol dan dadah.  Tapi Alhamdulillah sekali pun saya tidak pernah terjerat.

Mungkin saya beruntung kerana dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang bersikap terbuka.  Baik dan buruk sesuatu perkara didedahkan seawal usia kanak-kanak.

Tapi itu didikan cara dahulu.  Cabaran hari ini lebih besar kerana input tidak sahaja datang dari rumah.  For instance, sejak Buah Hati bersekolah banyak perkara yang tidak kami kongsi dia ketahui dari rakan-rakan di sekolah.

Entahlah, masih terkejut dengan insiden di FMFA.  Saat kita semua sibuk melaksanakan solat hajat segala bagai bagi memohon perlindungan Allah SWT dari pelbagai musibah, tahu-tahu ini yang berlaku.

Benar kita jangan buka lagi aib mereka yang sudah tiada, tetapi ambillah ini sebagai petunjuk dan juga iktibar untuk kita semua.  Masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.

Semoga Allah beri ketabahan buat keluarga mangsa percaturan jahat manusia dan lindungi kita semua dari perkara-perkara sebegini kemudian hari.  Terus berdoa juga untuk kesejahteraan MH370.



nota:  terus-menerus berdoa....


No comments :

Post a Comment