Followers

Tuesday, March 25, 2014

::MH370 Dalam Kenangan::

Selepas 17 hari penantian terhadap MH370, akhirnya semalam Perdana Menteri (PM), Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak (bukan Tan Sri Najib ya Raja Bomoh) mengumumkan pesawat tersebut telah berakhir di Koridor Selatan Lautan Hindi.

Saat PM mengumumkannya remuk rasa hati dan berkecai harapan ingin melihat kapal terbang dan kesemua penumpang serta anak kapal kembali dengan selamat.

Kenyataan ini dikeluarkan setelah mendapat pengesahan satelit dan sumber diyakini dari United Kingdom.  Malah, tiada daratan atau landasan berhampiran memungkinkan kapal terbang mendarat. 

Kerana itu melalui sidang media PM mengumumkan ianya berakhir di Lautan Hindi.  Misi kini lebih tertumpu kepada pencarian kotak hitam yang dipercayai mampu merungkai misteri MH370.

Sedih tak terkata lantas hiba menyelubungi rasa.  Ini saya yang tiada sesiapa pun berada di dalam perut pesawat.  Macamana agaknya penerimaan ahli keluarga tragedi?

Peristiwa ini akan dikenang sampai bila-bila.  Percaya pada qada' dan qadar, Insyaallah ada hikmah disebalik segala musibah.  Moga Allah kurnia kekuatan luar biasa buat keluarga dan rakan-rakan kesemua mangsa tragedi MH370.

Sekarang ini persoalan kembali menguasai kita semua.  Atas alasan apa kapal terbang berpatah balik dan menuju ke destinasi tanpa haluan?  Apa sebenarnya yang telah berlaku di atas kapal terbang?

Rasanya kita semua berhak mendapat penjelasan terperinci mengenai hal ini sementelah ianya telah melibatkan nyawa serta maruah negara.  Lambat atau cepat, satu hari nanti kebenaran pasti terserlah.

Seandainya tragedi ini satu perancangan atau punya muslihat disebaliknya, saya berharap sangat tangan-tangan yang terlibat ini akan dihukum di dunia dan akhirat.  

Demi mencapai motif dan objektif tidak diketahui, ianya telah meragut nyawa serta airmata dunia.  Hari ini Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya menangisi kehilangan MH370.

Tapi sekiranya tragedi ini satu kemalangan serta kecuaian manusia, saya berharap sangat tidak akan ada lagi tragedi kedua kali.  Banyak hati remuk-redam berhadapan dengan berita sedih sebegini.

Meski telah diumumkan pengakhiran sebegini, manalah tahu akan ada sedikit cahaya harapan pada kesemua 239 penghuni MH370 kerana "jika mati mana kuburnya, jika hidup mana jasadnya".  Keajaiban dan kekuasan itu milik mutlak Sang Pencipta bukan?

Semangat turun separuh dari malam tadi.  Kerja semua tertangguh dan kepala tidak habis memikir segala kemungkinan.  Lena malam separa nyenyak penangan kesedihan menimpa.

Marilah sama-sama kita sedekah Al-Fatihah buat semua mangsa dan berdoa keluarga dan kenalan mangsa tabah dan kuat menghadapi dugaan.

Got to go meski hati sebal dengan apa Malaysia sedang lalui.  Rahsia Allah tiada siapa mengetahuinya!



nota:  sedihnya...


No comments :

Post a Comment