Terpanggil untuk membuat entri ini tatkala melihatkan entri beliau berkenaan Contest Meletup TOP TOP! Julung-julung kalinya saya menyertai blog contest setelah hampir setahun berjinak-jinak dalam medium ini. Secara jujur dan ikhlas saya menyertai contest ini bukan kerana ingin memenangi hadiah yang ditawarkan tetapi saya turut serta kerana saya yakin dengan cara ini, tuan empunya blog tersebut iaitu Red Mummy (RM) ingin mendapatkan maklum balas serta sudut pandangan yang berbeza-beza mengenai blognya. Sebagai pembaca yang setia, tidak salah rasanya saya berkongsi rasa mengenai blog RM.
Saya mula mengenali RM melalui blog Nisa dalam penghujung tahun 2008. Pada waktu itu jugalah saya baru sahaja mengenali apa itu dunia blog (ketinggalan zaman betul). Nisa meletakkan link-link top bloggers dan secara rambang saya telah melawati laman RM. Ibarat cinta pandang pertama saya terus menyukai RM tetapi pada waktu itu entri RM belum lagi banyak dengan iklan-iklan yang ditaja seperti hari ini. Dek kerana menyedari RM telah lama berkecimpung di arena ini, saya sanggup meluangkan masa mengorek entri-entri lama beliau. Waktu itu jugalah saya menyedari bahawasanya seronok juga membaca kisah kehidupan individu-individu yang langsung tidak kita kenali. Tak salah rasanya jika kita mengenali seseorang itu dari jauh.
Apabila saya sendiri mempunyai blog, saya tidak lupa meletakkan link RM di dalam blog saya supaya ianya memudahkan saya untuk terus ke laman web beliau. Melawati blog RM saya sering berasa santai. Seronok mengetahui dunia RM melalui laman maya ini walaupun saya yakin tidak semua kisah hidupnya dikongsikan buat pembaca. Selain kisah sehariannya, banyak juga tip-tip yang dikongsi. Saya belum berkeluarga tetapi sekurang-kurangnya saya dapat menimba ilmu kehidupan melalui RM. Seingat saya, di awal-awal saya berjinak dengan RM banyak juga berkongsi tip-tip solekan. Walaupun saya langsung tidak mempraktikkan apa yang RM kongsi kerana saya kurang gemar bersolek, namun saya tetap membacanya sekali lalu.
Tanpa saya sedari, semakin lama RM semakin popular dan tidak salah rasanya jika saya klasifikasikan empunya blog tersebut sebagai selebriti siber. RM semakin lama semakin berubah wajah selaras dengan usianya di dunia siber ini. Daripada tip-tip serta perkongsian pengalaman, kini RM juga menjadi tempat produk-produk meluaskan pengaruh perniagaan. Mulanya jelak juga apabila RM sering menghidangkan entri-entri Advertorial Post dan Cover Event. Namun sebagai pembaca tegar akhirnya saya juga tenggelam dalam keseronokkan membaca entri-entri tersebut. Mungkin gaya tersendiri pengolahan penulisan oleh tuan empunya blog menyebabkan saya sentiasa melekat bersama RM.
Yang terbaru dan semestinya pengikut setia RM tahu, entri beliau berkaitan tas tangan. Aduhai!!! Meleleh air liur tatkala melihat RM menjinjing dari satu jenama ke satu jenama yang lain. Sudah tersurat rezeki RM sebegitu murahkan :).. Selepas ini saya yakin RM akan menjadi tempat rujukan untuk hal ehwal berkaitan tas tangan. Lagipun, perempuan dan tas tangan mana boleh dipisahkan makanya dengan tanpa segan silu dan sebagai pengikut setia RM, saya tidak kisah jika setiap hari ada sahaja hidangan entri berkenaan tas tangan jika dibandingkan dengan entri kucing (ini kerana saya tidak berminat dan takut pada kucing :( ).
Selain dari entri tas tangan, entri-entri berkaitan informasi juga turut dipaparkan. RM tidak pernah lupa untuk berkongsi setiap informasi yang diperoleh. Informasi-informasi ini boleh dikatakan ilmu juga buat kita yang tidak mengalami atau berdepan dengannya. Sekurang-kurangnya kita tidak membaca dan meninggalkan RM dengan otak yang kosong. Jika bukan kita yang bakal menggunakan informasi tersebut mungkin orang-orang disekeliling kita memerlukannya maka kita dapat berkongsi dan memanjangkan ilmu yang diperoleh. Saya sendiri tidak kisah jika entri-entri berinformasi ini sering terpampang di dalam RM
Semerah warna latar RM, saya yakin semerah itu jugalah cinta beliau terhadap blognya. Jika tidak, masakan RM sebegitu berjaya hari ini. Tidak pernah terfikir hanya dengan menulis blog kita boleh menjana pendapatan sampingan sebegitu lumayan. Saya untuk seberjaya seperti RM sudah pastilah tidak jawapannya. Entri harian pun hangat-hangat tahi ayam. Apa pun, saya yakin RM sentiasa cuba memperbaiki mana yang patut dari semasa ke semasa supaya ia terus releven di dunia tanpa sempadan ini. Mungkin permintaan kami-kami ini yang membaca RM supaya RM menambahkan bilangan entri harian agak melampau, tetapi itulah hakikatnya. 4-5 entri sehari tidaklah mencukupi namun kami juga harus menerima hakikat bahawa tuan empunya blog juga mempunyai komitment kehidupan yang menuntut masa beliau.
Kepada yang belum mengenali RM, sila-silalah menjenguk beliau di http://redmummy.com/. Jika anda bosan jangan salahkan sesiapa ini mungkin kerana kita mempunyai citarasa yang berbeza. Apa yang pasti, saya suka mengikuti blog RM dan sehingga hari ini bosan belum lagi menguasai diri saya. Buat Kak Red, maaf jika entri saya ini panjang meleret kerana saya sememangnya tidak pandai untuk memendekkan entri seperti akak. Jika bosan membaca entri ini saya faham tetapi itulah, saya masih gagal mencari formula untuk mencoret rasa dengan kaedah mudah dan ringkas.
nota: Maaf, tiada sebarang gambar dapat saya paparkan kerana saya kurang arif untuk copy gambar blog RM dan letakkannya di sini. Masih banyak yang saya perlu belajar...
No comments :
Post a Comment