Followers

Tuesday, October 12, 2010

::Tragedi 10.10.10 ::

Hari ini topik utama di dada akhbar dan juga laman-laman web sudah tentu mengenai kemalangan maut yang meragut 12 nyawa dan lebih 40 orang cedera berlokasi di Lebuhraya Plus semalam.  Tarikh 10.10.10 yang dianggap cantik susun atur nombornya dan juga diharap membawa tuah kepada sesetengah individu menjadi mimpi ngeri kepada mereka yang terlibat di dalam kemalangan.

Saya menyedari akan kemalangan tersebut lebih kurang pada pukul 11 malam sewaktu memandu pulang.  Siaran Sinar memberi laporan khas mengenai kemalangan tersebut.  Saat saya mendengar akan berita tersebut, saya tersentak seketika dan mengucap panjang.  Ini kerana saya baru sahaja melalui kawasan kemalangan mungkin pada jam 5.30 petang.  Saya dan Abang telah pergi ke Muar.  Bukan setakat kami bertiga sahaja iaitu termasuk Ayu Bam Bam tetapi seluruh ahli keluarga Abang dan juga saudara maranya turut serta.  Adik lelaki Abang telah melangsungkan perkahwinan pada hari Ahad tersebut iaitu 10 Oktober 2010.

Bertolak ke Muar sehari sebelum majlis iaitu pada hari Sabtu dan kami semua pulang sejurus tamat majlis perkahwinan.  Lebih kurang hampir pukul 4 petang kami memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.  Alhamdulillah perjalanan kami semua selamat dan dilindungi Allah SWT cumanya apabila mendapat tahu akan kemalangan tersebut, saya memanjat kesyukuran kepada Illahi kerana kami semua tidak terlibat (mintak dijauhkan kalau boleh).  Bayangkanlah sekiranya kami melewatkan perjalanan mungkin dalam tempoh sejam tidak mustahil kami juga bakal menjadi mangsa kejadian.

Kemalangan tersebut berlaku pada lebih kurang pukul 6.50 petang dan pada waktu itu rasanya kami semua baru sahaja menyambung semula perjalanan pulang setelah berhenti rehat seketika di Perhentian R&R Seremban.  Kecuaian pemandu bas tersebut telah mengakibatkan kemalangan jiwa ngeri berlaku.  Agak menghairankan juga, ini kerana pada waktu kemalangan terjadi kenderaan sememangnya agak banyak di lebuh raya.  Macamana ye pemandu bas tersebut boleh memandu dengan laju??  Inilah akibatnya apabila mengabaikan undang-undang serta keselamatan di jalan raya sehinggakan mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa.  

Takziah diucapkan kepada ahli keluarga yang terlibat di dalam kemalangan tersebut.   Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah buat umat Islam yang menjadi mangsa.  Di harap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya dalam kes ini. Saya berkesempatan melihat gambar-gambar ngeri kemalangan tersebut tetapi tidak tergamak rasanya untuk muat naik di sini.  Jika anda ingin melihat gambar-gambar tersebut bolehlah menjengah ke :

Sebenarnya banyak lagi gambar-gambar dari rakan blog cumanya saya hanya berkesempatan melihat gambar-gambar tersebut di blog mereka ini.  Berikut antara gambar-gambar yang saya ambil dari Blog Amazing Nara.  Moga ianya menjadi pedoman buat kita semua dan sentiasa ingat bahawa jalan raya bukanlah tempat untuk kita mengikut tuntutan perasaan dan nafsu.






nota:  ASTAGHAFIRULLAHALLAZIM!!!!
 

No comments :

Post a Comment