Followers

Friday, October 14, 2011

::Bini-Bini Ku Gangster::

Baru-baru ni melanggan filem Bini-Biniku Gangster (BBG) melalui Astro First (sehari sebelum kejadian kena potong).  Dah lama sebenarnya tidak menonton wayang sementelah Astro First diperkenalkan.  Kalau tidak, dahulu setiap hari Khamis memang hari wayang sedunia.  Lagi pula faktor kewangan tidak berapa mengizinkan, kita mengambil langkah penjimatan.  

Siapa yang belum lagi menonton filem BBG, boleh sahaja melanggan untuk tempoh dua hari.  Nak kata seronok sangat filem ni taklah juga tetapi bolehlah.  Mungkin faktor sekeliling tidak menyumbang ke arah keseronokkan jika dibandingkan dengan menonton di panggung.  Sebuah cerita santai dan sedikit mencuit hati di babak-babak tertentu.  

Filem terbitan Metrowelth ini mempertaruhkan aktor Bintang Paling Popular, siapa lagi jika bukan Shaheizy Sam.  Mutu lakonan aktor pujaan ramai ini tidak perlu disanggah kerana dia punya kelas tersendiri.  Menjadi sahaja watak di tangan beliau.  Watak heroin pula didukung oleh Yana Samsuddin, juga boleh tahan lakonannya.  Lakonan Intan Ladiayana juga tidak mengecewakan jika dibandingkan filem sebelum ini.


BBG mengisahkan bagaimana jika wanita pula yang mengetuai kumpulan samseng.  Kalau nak tahu kenalah menonton ye, kita sokong industri perfileman tanah air.  Cuma saya terfikir kenapa sejak akhir-akhir ini budaya gangster rancak mewarnai dunia perfileman?  Adakah sememangnya budaya ini telah lama menular dan kita sahaja tidak menyedarinya.

Walau genre BBG komedi dan santai tetapi hairan juga kerana motif utama adalah sama iaitu sepak terajang dunia gangster.  Bimbang di hati jika terlalu banyak pendedahan mengenai budaya samseng, khalayak akan menerimanya sebagai sebuah lagi laluan kehidupan dan menghalalkan segala aktiviti tersebut.  


Benar penonton harus bijak memilih dan menilai tetapi pengaruh dunia hiburan ini besar.  Sedikit sebanyak pasti akan membawa kesan terutama buat anak-anak.  Mereka seronok menonton adegan berlawanan yang penuh aksi mendebarkan.  Dalam masa sama menghayati setiap babak lakonan.  Besar impak filem sebegini kelak buat kita semua.

Tak apalah, filem telah pun ditayangkan dan tiba peranan ibu bapa untuk menyekat atau tidak, dalam masa yang sama bimbing anak-anak supaya bijak memilih buruk baik dalam kehidupan seharian.  Apa yang saya fikir, pihak bertanggungjawab hadkan sedikit pembuatan cerita-cerita bergenre sebegini.  Terlalu banyak pun tak elok juga untuk industri kerana ia akan menjadi satu lambakan dan klise, balik-balik benda yang sama.  Tak membina nanti.

Okeylah, sesiapa yang belum menonton boleh melanggan melalui Astro First.  Jika tanya pendapat saya, BBG lebih seronok dari menonton filem Hantu Bonceng.  Ini pendapat saya ya, lain orang lain selera.  Esok hujung minggu, selamat menjalaninya bersama keluarga mahu pun orang tersayang!!


 Gambar diambil melalui carian Google Image



nota:  bosan dengan cerita-cerita yang ada....

No comments :

Post a Comment