Seperti pernah saya perkatakan sebelum ini, Sabtu lepas adalah hari indah buat saya. Tidak terfikir akan melalui pengalaman sebegitu. Mungkin bagi sesetengah orang, tiada apa pun sebenarnya, tetapi tidak bagi saya kerana ianya merupakan pengalaman manis secara peribadi selama saya meluangkan masa di dunia blog.
Okay, sesiapa mengikuti Twitter saya, pasti tahu saya telah menonton teater muzikal The Secret Life Of Nora (TSLON). Hmm...setakat pergi menonton teater, apa yang istimewanya? Istimewanya saya telah dipilih oleh seorang blogger tersohor iaitu Redmummy (Kak Red) untuk turut menonton sama dengan memberi dua keping tiket. Bagaimana boleh terpilih? Tak pasti apa kriteria, tetapi mungkin rezeki saya.
Dua minggu sebelum TSLON dipentaskan, saya menelek harga tiket persembahan. Bagi seorang penggemar teater muzikal pastinya tidak mahu melepaskan peluang menjadi sebahagian dari penonton, tapi sayangnya.. Tempat duduk menarik semuanya mahal belaka. Telan air liur sahajalah mengenangkan kos terpaksa dikeluarkan.
Tak mampu rasanya kali ini. Tiket murah ada, tetapi tidak puas pula menonton. Pernah berbual dengan Abang dan kami bersetuju mungkin bukan pada pementasan kali ini. Banyak komitmen harus didahulukan dari membayar ratusan ringgit. Bukan tidak menyokong industri, tetapi tidak mampu.
Malam Jumaat sebelum keluar bertemu seorang rakan, saya terpandangkan Tweet dari Kak Red dengan menawarkan tiket untuk menonton TSLON. Sesiapa berminat harus re-tweet apa yang Kak Red shout dan hantar maklumat terperinci ke email. Saya hanya memandang sepi kerana tahu, pasti ramai akan cuba merebut peluang dan kebiasaannya saya sentiasa tidak bertuah dalam segala hal.
Sedang duduk-duduk minum, sekali lagi Kak Red shout sekali lagi dalam Twitter mengatakan peluang masih terbuka. Terus tergerak hati untuk mencuba dan inilah kelebihan pengguna telefon pintar. Boleh sahaja melaksanakan apa sahaja walau tidak berada di hadapan komputer. Kelam kabut juga re-tweet dan hantar email pada Kak Red. Tapi tak letak sebarang harapan.
Setengah jam kemudian rasanya, saya dapat balasan mengatakan berjaya peroleh 2 tiket untuk persembahan keesokkannya. Wah!! Macam tak percaya. Berulang-ulang kali melihat email tersebut seolah berada di alam mimpi. Seronok tidak terkata, hingga tersengih-sengih sendirian dan ditegur orang sekeliling. Walhal, saya sudah tidak meletak harapan untuk menonton TSLON sedari awal dan inilah rezeki namanya.
Dalam pada itu, inilah pertama kali mendapat sesuatu dari dunia blogging. Tetapi, secara jujur risau mengenangkan bagaimana hendak bergaul dengan orang tidak dikenali kelak. Isu pergaulan adalah masalah besar bagi saya. Lagi pula siapa sahaja kenal saya. Hanya seorang penulisan picisan di ruangan sendiri.
Apa pun demi menghormati pemberian orang dan juga demi TSLON, saya redahkan rasa cuak dan bimbang. Bukan ramai beruntung seperti saya dan yakin pasti ramai inginkannya. Inilah sesuatu yang menggembirakan dan menceriakan saya sepanjang hujung minggu lalu. Lebih manis apabila dapat bersua muka secara personal dengan dua orang blogger yang memang saya minat dan amat hormat. Sudah semestinya Kak Red dan Kak Mya.
Terima kasih Kak Red dan pihak yang menyumbangkan tiket TSLON. Sebuah persembahan menghiburkan dan berada di dalam liga tersendiri. Nantikan sedikit review pendapat dari sudut pandangan saya sebagai seorang penonton serta gambar-gambar yang sempat dirakam sepanjang menonton muzikal TSLON pada entri selepas ini.
nota: seperti biasa, entri tidak bergambar..
No comments :
Post a Comment