Followers

Friday, February 24, 2012

::Allah Tahu Segalanya::

Salam Penghulu Hari, moga hari ini membawa perkhabaran gembira serta dirahmati oleh Allah SWT.  Terasa mahu mencerna kata-kata tetapi tak tahu berjaya secara keseluruhan atau pun tidak.

Badan lemau semacam gara-gara nasi lemak kerang sambal lebih.  Kalau ikut hati, mahu sahaja bawa diri ke tilam nan empuk dan memulakan pelayaran.  Sebab itulah jarang-jarang mengambil fat rice di siang hari kelak hilang produktiviti.

Kononnya enggan menjamah sebarang nasi, hanya lauk sahaja.  Sepanjang minggu berjaya menahan nafsu namun permintaan GM telah menyekat kobaran semangat.  Salahkan orang lain pula walhal nafsu serakah melampau batas..huh!!

Semalam kebanyakkan kita dikejutkan dengan pemergian Adik Faris yang menderita akibat barah darah dan terdampar kesakitan selama lebih dari tiga minggu.  Allah mengetahui segalanya, ini mungkin yang terbaik buat Allahyarham dan keluarga.

Saya hanya menyedari penderitaan Arwah dalam minggu ini, itu pun setelah membaca di bebarapa blog terkenal dalam usaha mendapatkan bantuan pembiayaan hospital mencecah ratusan ribu ringgit.  Namun pada ketika itu saya membaca sekali lalu tanpa mendalami kisah sebenar.

Bila Allah menjemputnya barulah saya mencari apa sebenarnya berlaku terhadap Allahyarham.  Blog Mazidul dan Kak Red antara yang diselongkar.  Ada juga lain-lain tetapi saya menembak masuk secara rambang.  

Beruntung sebenarnya Arwah Adik Faris kerana kebetulan ibu bapanya berkawan dengan orang-orang terkenal justeru itu bantuan kewangan dipohon Alhamdulillah mudah diperoleh dan keprihatinan orang ramai telah membawa ramai ke hospital bagi tujuan lawatan.

Penderitaan Adik Faris adalah secebis kisah di dalam kehidupan yang sering diuji.  Dari seorang kanak-kanak cerdik, sering bergurau senda secara tiba-tiba berubah duka.  Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.  

Meluangkan masa membaca ternyata hati dirundung pilu hinggakan saya terpaksa berhenti membaca beberapa kali.  Cuba meletakkan diri di tempat ibu dan bapa Arwah, aduh tidak tertanggung rasanya.

Tatkala melihat gambar comel, terbayang akan anak-anak di rumah ini.  Andai kami di tempat mereka...entahlah!!  Sukar untuk digambarkan!!  Saat ini terkenang kembali apa dilalui keluarga Allahyarham bergetar hati.  Begitu kuat dugaan mereka.

Bila bapa Arwah mula redha dan sanggup melepaskan Adik Faris pergi, meruntun jiwa dan seolah Arwah mendengar hajat bapanya itu dia pergi dengan wajah tenang tetapi tidak tahu bagaimana penderitaan sakit yang ditanggung.  Hanya Allahyarham sahaja mengetahuinya.


Bangga bila mengetahui target sumbangan berjaya mencapai sasaran.  Betapa murni dan luhur hati para penderma sekalian.  Di luar sana masih ramai lagi mengharapkan bantuan sedemikian, harap rakyat Malaysia sedia ada sudi membantu.


Namun ada juga menghambur kata-kata negatif buat keluarga Allahyarham dan mengambil kesempatan di atas situasi ini.  Biar apa pun tanggapan mereka, satu sahaja saya pinta.  Letaklah diri anda di tempat keluarga Arwah Adik Faris dan nilailah sendiri.


Sebagai ibu bapa mereka berusaha sebaik mungkin demi anak tersayang walau sanggup berkorban nyawa.  Jika itu yang mereka rasa terbaik restuilah pilihan mereka dan hulurkan bantuan seadanya.  Bukan iringi usaha mereka dengan cemuhan sebagainya.

Andai tidak mampu cukup sekadar berdoa moga apa sahaja diusahakan menemui kemenangan.  Bantuan spiritual juga amat diperlukan buat sesiapa sahaja berada di tempat mereka.


Ya benar, Adik Faris sudah tiada.  Tak guna kenang tetapi jadikanlah iktibar supaya si pencemuh dan pengeluar kata-kata negetif tidak mengulangi terhadap mana-mana keluarga sedang berhadapan situasi sedemikian kelak.


Apa pun, Adik Faris Nur Daniel telah punya tempat di syurga dan menanti kehadiran keluarganya kelak.  Segala suratan sudah tertulis sejak azali.  Sebagai saudara Islam, kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah dan berdoa moga keluarga arwah tenang dan seredhanya menerima ketentuan ini.



nota:  rahsia Allah tidak pernah siapa ketahui...





  

No comments :

Post a Comment