Followers

Monday, February 13, 2012

::Bergantung Harap::

Menghitung hari tidak pasti sampai bila penghujungnya, itulah yang sedang dialami kebelakangan ini.  Sampai bila segala kepastian akan terlerai hanya Allah SWT sahaja mengetahui rahsia di sebalik ini semua.

Dek terlalu runsing memikirkan kesihatan turut terjejas.  Sudah 4 hari diserang selsema, mujur demam tidak menjengah.  Dalam keadaan sebegini, bukan risaukan diri tetapi lebih kepada budak-budak di rumah.

Tak cukup dengan selsema, kunjungan mesra "rakan baik" pula muncul.  Tiada sebarang isyarat khusus, tahu-tahu sudah tiba.  Nak menangani karenah "rakan baik" ini pun satu hal juga.  Nasib baik masalah datang pada hari pertama sahaja, kalau tidak....  

Harap sangat esok bakal memberi sedikit harapan dan kepastian.  "Ya Allah, bantulah hambaMu ini yang berharap segalanya berjalan seperti apa dirancang.  Makbulkanlah doa dan kurniakan ketenangan di dalam diri ini berhadapan apa jua kemungkinan"


Ternyata hidup dalam penantian amat menyeksakan.  Namun saya yakin setiap apa dilakukan dengan jujur dan ikhlas ditambah dengan usaha, Insyaallah akan memberikan hasil.  Cepat atau lambat, itu sahaja.

Bohonglah andai saya tidak meletakkan harapan tinggi walaupun berkali-kali menasihati diri supaya tidak terlalu berkeyakinan, tetapi saya manusia biasa.  Paling tidak kejayaan dalam melaksanakannya satu pencapaian buat diri.

Entahlah, buat masa ini takut untuk melelapkan mata bimbang esok akan mengecewakan dan sebahagian dari rasa itu, tidak sabar menunggu kedatangan esok yang menjanjikan kejayaan.  Senak dan sebak hati!!

Apa pun, hukum alam bila malam menjelma wajib untuk melelapkan mata barang seketika melainkan terpaksa mencari sesuap nasi.  Jadi apa kata saya cuba tenangkan debaran hati dengan bawa diri ke tilam nan empuk dan pejamkan mata.

Selamat Bermimpi Indah buat diri sendiri dan Selamat Hari Baru bagi yang baru sahaja membaca entri ini....





nota:  Yakinlah....

 



No comments :

Post a Comment