Followers

Sunday, February 19, 2012

::Coretan 3 Pagi::

Sekejap sahaja Februari hampir tiba ke penghujung.  Sinar gemilang 2012 masih belum dirasakan.  Kehidupan sama seperti dua tahun sudah walau harapan tinggi menggunung.

Tak sabar hendak menghurai perkara yang terbelit.  Andai berjaya apa dicitakan, satu persatu akan dilerai.  Sengsara bertahun mampu diubati meski meninggalkan bekas luka mendalam.

Bila melihat rakan sebaya mampu meraih kebahagiaan hasil usaha sendiri terdetik rasa cemburu.  Masakan tidak, ada di antara mereka jauh ketinggalan dari sesebahagian faktor namun mereka berjaya.

Itulah nasib!  Tak semua punya segalanya mampu berjaya dan tidak semua yang dahulu kita anggap loser akan terus berada di bawah.  Saya yakin tekad untuk berada seperti apa yang mereka ada sekarang membuahkan kejayaan.

Di usia sebegini, dapat dirasakan tempoh makin singkat.  Andai Allah menjemput esok hari, paling tidak Dia sudah pinjamkan nyawa selama 32 tahun masakan tidak boleh di ambil semula.

Tetapi jika benar itu berlaku, mungkin saya antara hamba yang penuh sesal di dada.  Banyak impian dan cita-cita belum mampu dilaksanakan.  Ada di antaranya menunggu masa dan tika yang sesuai.

Oleh itu, tidak jemu saya memohon doa moga Allah SWT memanjangkan usia seadanya sehingga sebahagian dari hajat dan impian terlaksana.  Apa pun, Maha Pencipta itu tahu segalanya.  Jangan dipertikaikan segala kerjaNya.

Susah menjadi saya dan susah juga untuk orang fahami saya.  Biarlah segala lemparan cacian dan hinaan berterusan dituju kerana saya suka mendengar akan gelaran KOMPLEKS kerana ada masa saya juga tidak faham diri sendiri...ahaks!!!

Saya akan terus menggantung harapan kerana itu sahaja mampu dilakukan buat masa ini.  Terima kasih kepada yang kononnya mengenali saya tetapi anda sebenarnya tidak kerana dengan sengaja hati telah terluka.  

Biar sahaja memori silam menjadi penawar rindu kerana buat masa ini segalanya tidak mungkin berulang melainkan pintu hati tertutup rapat berjaya dibuka semula.  Kita bermula dari dua arah berbeza mungkin pengakhiran juga di bawah haluan yang lain. 

Maaf alam siber kerana terpaksa lagi membaca lara hati.  Sampai bila lagu sedih ini akan berkumandang saya tidak pasti namun keyakinan tinggi segalanya akan berakhir juga satu hari nanti.




nota:  bila tak tidur malam inilah jadinya...

    

No comments :

Post a Comment