Seperti mahu menulis sesuatu tetapi tidak tahu apakah yang sewajarnya dikongsikan. Kesihatan belum kembali pulih, malahan proses pemulihan agak perlahan. Manakan tidak, tiada sebarang ubat diambil sudah pasti menyukarkan keadaan.
Baru sahaja menyelak laman-laman agama berkaitan solat di kala uzur. Itulah manusiakan, bila dah tak mampu barulah nak buat segalanya dalam keadaan konsisten. Sewaktu tiada aral melintang perkara wajib ditolak tepi.
Ya, saya manusia biasa. Di waktu senang, di waktu suka banyak perkara diabaikan. Solat 5 waktu tidak berjaga langsung. Bila terdetik hati barulah kelam kabut mencari telekung sejadah.
Mungkin kerana itu saya sedang menerima segala pembalasan. Di usia sebegini kesihatan saya seolah manusia berusia 70 tahun. Kesempitan dan kesukaran melanda seolah saya punya dosa seribu tahun.
Namun saya redha dan berterima kasih kepada Allah kerana memberikannya kepada saya sekarang. Di kala punya kesihatan otak dan semangat tidak berputus asa. Sepanjang Allah menduga, saya semakin hampir kepadaNya. Kembali mencari diri.
Inilah hikmah terbesar dapat saya rasakan. Walau belum cukup sempurna, Alhamdulillah saya berusaha melaksanakan tanggungjawab. Sedikit sebanyak berusaha membimbing kembali diri yang kucar-kacir.
Paling tidak, solat 5 waktu saya tidak pernah culas. Ditambah dengan solat sunat lain, semua itu saya bersyukur atas perubahan melandan. Malahan sekiranya ia tidak dapat dilakasanakan hati tidak karuan.
Kerana itu barangkali dalam keadaan sebegini lemah, hati masih tidak tenang andai solat terabai. Hmm...Subhanallah...tiba-tiba dapat merasakan ada sedikit riak di dalam entri ini. Bukankah kita tidak seharusnya memperbesarkan segala ibadah yang dilakukan?
Saya beranggapan biarlah entri ini menjadi kenangan. Mana tahu di suatu waktu saya kembali khilaf (minta dijauhkan) sekurang-kurangnya saya renung kembali saat ini. Saat di mana semakin dunia menjauhkan diri, saat itu kasih sayang Allah semakin meruap di rasa.
Terima kasih Allah kerana masih sudi menjentik "rasa itu" ke dalam diri. Paling tidak, saya punya ruang untuk memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan diri. Mari kita sama-sama berdoa moga Allah sentiasa memberi petunjuk hingga nyawa dihujung badan...Wallahualam!!
nota: bertawakal....
No comments :
Post a Comment