Followers

Sunday, February 19, 2012

::Melayan Malam Minggu::

Baru pulang dari Pasar Malam Jalan TAR.  Lama sudah tidak ke sana, setahun lebih rasanya ke sudah menjengah ke angka dua.  Jika dahulu menjelang sahaja hujung minggu, ke situ adalah acara wajib.

Nampak sangat sudah berusia lantas tidak lagi betah untuk berasak sambil mencuci mata.  Sekarang jika inginkan sesuatu barulah akan berkunjung ke tempat diingini.  Dari siang teringinkan laksa dari Pasar Malam Jalan TAR, mujur juga Abang mahu melayan.  Kelebihan orang sakit begitulah!  ha..ha..ha..

Pelawa GM & Ayu Bam Bam, pantas sahaja mereka menurut.  Buah Hati pun turut serta tetapi tak berapa sesuai sebenarnya berjalan dengan budak seusia dia sambil berhimpit.  Tak apalah, beri pengalaman baru juga pada Buah Hati.

Selera berjaya dipenuhi dan ternyata rasa laksa tersebut tidak pernah berubah.  Malangnya tiada sebarang gambar untuk dikongsi bersama, jadinya nak terangkan di bahagian mana gerai tersebut agak sukar sedikit.  

Usai menikmati laksa, kami segera pulang.  Hujan pantas menyirami bumi, kasihan pada Buah Hati.  Demam pula dia nanti.  GM dan Ayu Bam Bam pasti tidak puas berjalan, nak buat macamanakan.  Lain minggu kita datang lagi!

Meski sudah lama bertapak dan bertahun lamanya beroperasi, Pasar Malam Jalan TAR tidak pernah mengecewakan pengunjung.  Saban minggu penduduk kota pasti memenuhi ruang jalan dan peniaga pasti tersenyum gembira.

Seronok melihat gelagat pengunjung serta peniaga.  Aneka makanan dan barangan padat memenuhi ruang niaga.  Nasihat saya pada Ayu Bam Bam, jika nampak apa diingini atau terasa ingin membeli setelah berada di depan mata, teruskan sahaja niat.  Untuk berpatah balik setelah melewati jalan panjang adalah mustahil.

Cuma harga dikenakan para peniaga semakin meningkat.  Yalah, harga barangan mencanak naik, takkan mereka hendak mengekalkan harga lama.  Berada di sana sekeping not RM50 boleh habis begitu sahaja melainkan betul-betul hanya ingin mencuci mata.

Seronok juga melewati malam minggu di salah satu tarikan bandaraya Kuala Lumpur.  Sepuluh tahun dari sekarang, sekiranya masih wujud lagi Pasar Malam Jalan TAR pasti banyak kenangan bisa terimbau saat menyusuri kawasan.  Agak-agak waktu tu kakak yang jual laksa kegemaran tu ada lagi tak? =)




nota:  entri layan mata....


 

No comments :

Post a Comment