Kecewa juga bila mengetahui hari ini pasukan Malaysia gagal menambah pungutan emas terutamanya dari Pasukan Hoki dan Squash Berpasukan Lelaki. Kita yang melihat berasa amat kecewa tetapi bagaimana agaknya mereka yang bertarung itukan? Seperti yang dikhabarkan sewaktu tamat perlawanan badminton yang lepas Datuk Lee Chong Wei menangis dan terus tidak mahu ditemu ramah. Mungkin bukan rezeki pasukan Malaysia untuk menambah pungutan emas buat hari ini, namun yakin kontijen Malaysia telah meletakkan usaha lebih dari 100%.
Saya bukanlah peminat sukan sangat tetapi semangat jati diri membuatkan saya tidak pernah melepaskan peluang yang ada menonton pasukan Malaysia bertarung di medan sukan. Perasaan bangga sentiasa berbunga tatkala lagu Negaraku berkumandang megah di arena antarabangsa. Tidak perlu kita mencemuh andai mereka tewas kerana kita bukan berada di kedudukkan mereka semua. Andai kita menjadi mereka barulah kita tahu betapa susahnya para atlet memerah keringat demi kerjaya dan masa depan arena sukan negara.
Mungkin saya agak ketinggalan tetapi semasa Sukan Asia 2010 inilah saya sedar akan beberapa acara baru telah wujud atau mungkin selama ini telah dipertandingkan cuma saya sahaja yang tidak mengambil pusing. Contohnya ada satu sukan seolah permainan galah panjang. Tidak pasti pula nama sebenar sukan tersebut. Sepasukan harus menjaga supaya pihak lawan tidak menembusi kawasan milik mereka, lebih kurang begitulah cara sukannya dijalankan. Saya sempat mengikutinya dalam lima minit sahaja sebelum saya beralih ke saluan lain. Sepak takraw wanita juga telah ada ya? Ingatkan selama ini sepak takraw hanya untuk kaum Adam sahaja. Sukan yang melibatkan kasut roda/roller blade juga ada. Cara sukan itu dikira adalah melalui siapa yang dapat melakukan pusingan gelanggang dalam masa terpantas , seperti sukan basikal kaedahnya.
Apa pun, Sukan Asia bakal melabuhkan tirai dalam beberapa hari sahaja lagi. Sasaran yang diletakkan oleh negara berjaya diperoleh cuma kalau melangkau dari sasaran tersebut sudah pasti suatu kenangan manis bagi kontijen Sukan Asia kali ini. Moga atlet-atlet negara peroleh pengalaman melalui pertandingan kali ini dalam mempersiapkan diri menyahut cabaran antarabangsa pada masa akan datang. Bagi sukan-sukan yang berpotensi tinggi, amatlah diharapkan mendapat perhatian Kerajaan hendaknya.
nota: seorang teman akrab akan pulang sebaik tamat Sukan Asia, pasti banyak cerita menarik yang bakal dikongsi :)
No comments :
Post a Comment