Followers

Wednesday, November 24, 2010

::Hal Astro::

Memiliki akaun Astro bukan lagi satu perkara yang asing bagi kita semua.  Jika dahulu mungkin ya malahan sesiapa yang mempunyai Astro pasti dikatakan mewah.  Manakan tidak, seingat saya untuk mendapatkan perkhidmatan Astro sebanyak RM900 harus dibayar sebagai permulaan di samping yuran bulanan.  Kami sekeluarga mempunyai Astro pun di sebabkan membeli kereta baru Proton, sewaktu itu Proton melakukan promosi "Beli Kereta Dapat Astro" dalam tahun 2000 macam tu.

Semakin lama Astro semakin mengukuhkan pengaruhnya di kalangan rakyat Malaysia.  Sehingga hari ini, rumah saya mempunyai 4 set Astro.  Bukan itu sahaja, pelanggan baru tidak dikenakan sebarang bayaran bagi mendapatkan dekoder Astro, hanya yuran pemasangan sahaja yang dikenakan.  Berlumba-lumbalah orang memasang Astro kerana dijanjikan pelbagai hiburan menepati citarasa.  Betapa besarnya pengaruh Astro bukan.  Lebih-lebih orang seperti saya yang minat mengawal peti televisyen.  Hidup pasti kosong tanpa kehadiran siaran-siaran televisyen.   Lagi pula saya memang mendominasi alat kawalan jauh sejak dari dahulu lagi.  Sebab itulah saya mempunyai Astro yang tidak dikongsi dengan sesiapa pun supaya saya boleh terus meraja di daerah jajahan sendiri. 

Tetapi semakin lama semakin kecewa dengan prestasi stesen tv berbayar tersebut.  Dek kerana tiada pesaing, kini saya melihat mereka lebih kepada mengaut keuntungan berlipat ganda tanpa memikirkan kepuasan pelanggan.  Kita sedia maklum Astro kerap bersiaran ulangan hampir setiap masa cumanya siaran ulangan yang dijadualkan tidak masuk akal.  Ada-ada cerita kita boleh menontonnya lebih dari dua kali sehari.  Jika ceritanya yang memang mendapat hati di penonton tidak mengapalah juga, ini tidak.  Naik jemu melihat aturan siaran yang disusun sehinggakan ada ketikanya langsung tiada cerita yang boleh dilayan.

Ingatkan sindrom ulangan ini hanya melanda channel movie sahaja.  Rupanya channel tempatan juga menerima nasib yang sama.  Pada penghujung tahun lepas jika tidak silap, Astro memperkenalkan Astro Mustika dan pasti saya antara yang terawal subscribe kerana yakin akan kandungan inti pati rancangan-rancangan tersebut.  Lagi pula konsep siaran santai sememangnya menjadi pilihan lantaran setelah seharian bekerja pasti saya inginkan sesuatu yang tidak berat walaupun kadangkala dihidangkan dengan adegan jenaka bodoh.  Ramai yang pada mulanya tertarik dengan saluran tersebut telah mengalah dan berhenti subscribe tetapi saya tetap setia.  Alhamdulillah, semakin banyak siaran yang dipaparkan.  Apa yang membuat saya tidak berpuas hati langsung  apabila siaran yang kononnya eksklusif untuk mereka yang membayar Astro Mustika, kini boleh menontonnya samada di saluran Astro Ria ataupun Astro Prima.  Di manakah hak eksklusifnya kepada kami yang membayar lebih dari pelanggan biasa? 

Sebagai pelanggan tegar, saya kecewa dengan keadaan ini.  Lebih baik saya berhenti  membayar lebih, kelak rancangan tersebut akan tersiar juga.  Cepat atau lambat sahaja keadaannya.  Sudahlah siaran ulangan yang sentiasa di sajikan.  Semakin lama semakin hambar rasa saya terhadap stesen berbayar ini.  Ramai juga yang telah membatalkan akaun mereka.  Haruskah saya yang tidak boleh hidup tanpa siaran televisyen ini melakukan perkara sedemikan?  Kini saya terfikir, adakah pihak Astro akan mendengar luahan hati saya ini kerana saya yakin bukan saya sahaja yang mengeluh.  Di luar sana pasti ramai juga yang mula bosan dengan pendekatan Astro.  Saluran apakah yang boleh kita guna untuk membuat bantahan ataupun rungutan terhadap pihak Astro?

Kita tutup cerita episod ulangan.  Lagi satu yang saya cukup tidak berkenan apabila Astro gemar memasukkan rancangan dari negara luar seperti Indonesia.  Saya bukannya bersikap perkauman ke atau membenci mereka, tidak sama sekali.  Tetapi perasaan tidak berpuas hati menguasai.  Perlukah sebenarnya menggunakan taktik dengan memaparkan cerita-cerita dari luar untuk menaikkan rating penonton atau adakah membeli cerita dari luar lebih murah jika dibandingkan produksi tempatan.  Bukankah ianya juga satu tanggungjawab bagi Astro untuk menyokong produk tempatan yang lahir dari rakyat Malaysia sendiri?  Secara terangan saya akui muak dengan cerita-cerita dari Indonesia yang mendominasi saluran tempatan.  Bagi sesiapa yang amat meminati siri-siri dari luar ini, maafkan saya kerana bersikap sedemikian.  Tetapi inilah hakikatnya, saya tidak suka!!! 

Kini iklan juga kerap memasuki ke saluran-saluran Astro.  Bukankah di awal dahulu mereka berjanji tidak akan ada iklan yang bersiaran melalui saluran-saluran Astro.  Cukup-cukuplah dengan iklan dalaman mereka yang  menjalankan promosi silang sesama saluran.  Kini ditambah pula dengan pengiklanan produk yang meluas.  Adakah kami membayar yuran bulanan hanya untuk menikmati siaran iklan?  Sudahlah bayaran bulanan harus dilakukan tepat pada masanya, kalau tidak secara automatik Astro tidak akan bersiaran.

Macho Man dan Ninie, telah menaik taraf Astro mereka kepada Astro Beyond.  Katanya kualiti siaran lebih baik dan dalam masa yang sama gangguan semasa hujan juga bakal kurang.  Tetapi pada hakikatnya tidak.  Makin teruk adalah jika dibandingkan dengan saya yang tidak memakai Beyond.  Tidak pernahkah Astro terfikir untuk membaiki mutu pancaran mereka sehinggakan masalah hujan ini seolah tidak akan diselesaikan.  Janganlah kerana tiada pesaing, Astro mengambil sikap acuh tak acuh dalam menyelesaikan masalah ini.  Bayangkan jika seharian hujan lebat melanda, makanya seharian jugalah kami tidak dapat menikmati siaran.  Jika sebulan hujan maka sebulan jugalah kami bakal bungkus dekoder Astro dengan bayaran harus dijelaskan.  

Atas alasan-alasan ini juga saya memilih untuk tidak menaik taraf Astro saya kepada Astro Beyond.  Biarlah dahulu lagi pula yuran langganan saya telah cukup mahal iaitu lagi beberapa ringgit mencecah ke RM100.  Satu amaun yang agak tinggi jugakan hanya untuk memuaskan nafsu duniawi.  Haraplah sangat Astro akan ada perubahan dalam masa yang terdekat.  Ini kerana seperti yang telah saya nyatakan tadi, pasti ramai yang bersama-sama saya di dalam satu kapal.  Rungutan-rungutan kami ini semuanya rungutan membina dan bukanlah untuk menjatuhkan pihak stesen televisyen tersebut.




nota:  kenapa ye petang-petang ini, nak menceceh tak tentu hala??

No comments :

Post a Comment