Followers

Monday, November 22, 2010

::Santai Hujung Minggu::

Sesekali bila tiada sebarang rencana di hujung minggu, mati akal juga dibuatnya.  Inilah nasib warga kekal ibu kota.  Telah habis pelusuk bandar dijelajah.  Dari kawasan gelap hinggalah ke jajahan yang terkenal di mata dunia, hampir kesemua tempat telah ditinggalkan kesan tapak kaki.  Apa tidaknya, bersekolah di sekolah yang berdiri megah di tengah bandaraya metropolitan, segalanya tidaklah begitu asing bagi saya.  Kerana inilah setiap kali tiba hujung minggu, perasaan bosan mula menguasai diri.

Semalam seharian menghabiskan masa di bengkel kereta.  Biasalah, setelah menabur jasa dan kami heret ke sana ke mari, pasti sampai masa minta di belai.  Walau hanya sebuah kenderaan yang tidak berperasaan tetapi bila tiba masanya rengekkan mengalahkan kanak-kanak.  Hampir RM700 melayang duit dari poket demi menjaga sebiji kereta yang disayangi.  Harap-harapnya bukanlah dalam masa terdekat ini kereta menginginkan belaian tambahan.

  Berusaha gigih mekanik memantapkan lagi kualiti kereta

Empunya kereta termenung mengenangkan nasib tatkala terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk kereta kesayangan

Sewaktu menantikan kereta siap diservis, tangan tidak berhenti-henti menekan skrin telefon berborak dengan Fieza.  Ada cerita panaslah katakan, haruslah kami berdua bergossip seharian.  Tidak puas dengan panggilan telefon akhirnya kami mengambil keputusan untuk bersua bagi memanjangkan lagi perbualan.  Makanya setelah selesai urusan di bengkel kereta, saya dan Abang bergegas ke Kampung Pandan, menikmati sate atas cadangan Fieza.   Bersualah kami di Restoran Sate Station.  Mengikut kata Fieza, restoran ini terkenal dan perasmiannya di laksanakan oleh Datuk Siti Nurhaliza.  Sayang tiada sebarang gambar yang boleh dikongsikan di sini lantaran kami leka menikmati keenakan sate yang terhidang bersulam perbualan pelbagai topik.  Bagi sesiapa yang ingin merasakan keenakan sate tersebut, bolehlah jadikan blog ini sebagai panduan anda.  Puas bercumbuan kami pulang ke pangkal jalan.

Ahadnya, pagi lagi Abang menyelesaikan baki kerja berkaitan keretanya dan saya hanya bermalasan di atas katil.  Bangun..tidur..bangun..tidur...itu sahaja yang saya mampu lakukan bagi menanti Abang melangsaikan segala tugasnya.  Lewat petang kami berkunjung ke kedai pemborong permainan.  GM meminta membelikan hadiah hari jadi Buah Hati.  Kalau nak tengok hadiahnya, nantikan entri kemudian hari :).  Abang juga membeli hadiah untuk Buah Hati tetapi saya masih lagi berfikir-fikir hadiah apakah yang sesuai untuknya. Selesai membeli, Abang mempelawa ke rumah keluarganya yang mana berakhir dengan makan malam di sana.  

Tepat 8.30 malam, perlawanan badminton di antara seteru tradisi iaitu Datuk Lee Chong Wei dari Malaysia dan Lin Dan dari negara China yang amat dinantikan bersiaran secara langsung di kaca televisyen.  Tumpuan di berikan kepada perlawanan walaupun keputusannya agak mengecewakan bagi rakyat Malaysia.  Apa pun, Datuk Lee Chong Wei telah berusaha keras untuk mengalahkan lawan.  Walau apa jua spekulasi terhadap diri beliau, saya pasti dia sendiri tidak mahu tewas pada pihak lawan.  Rezeki masih belum lagi menyebelahinya dalam perlawanan tersebut.  

Usai perlawanan, saya pulang ke rumah dengan mata yang agak mengantuk dan fikiran melayang.  Betapa mudahnya masa berlalu bukan?  Dalam keadaan santai, ianya tetap bergerak pantas tanpa menoleh ke belakang.  Di saat meniti penghujung hari, saya bertelegu di hadapan komputer riba bagi mengimbas detik yang baru sahaja berlalu pergi.  Moga esok menjanjikan sesuatu kepada kita semua.  Alangkah indah jika hujung minggu berpanjangan... @_@




nota:  mula terbayangkan tilam nan empuk...



No comments :

Post a Comment