Sejak berjinak dengan tempat pasar malam yang baru, saya amatlah rajin untuk menjejakkan kaki ke sana. Sebenarnya, dari kecil lagi saya memang gemar ke pasar malam. Mungkin rajin menemankan Arwah Nenek aka Mak satu ketika dahulu, menjadikan pasar malam tempat kegemaran saya. Ini kerana kami membeli barangan basah bagi stok selama seminggu di pasar malam. Bila Arwah Mak telah tiada, GM pula meneruskan budaya ke pasar malam.
Banyak yang boleh kita lihat dan peroleh di sana terutama berkaitan variasi makanannya. Lihat sahaja apa yang dijual pasti mengecurkan air liur pembeli seperti saya. Cumanya semenjak pindah ke Kota Damansara, keinginan ke pasar malam semakin berkurangan sementelah keadaan pasar malamnya amatlah menyedihkan sehinggalah berjumpa dengan tempat yang baru. Maka kerajinan yang selama ini tersimpan, muncul semula.
Tetapi keseronokkan membeli belah di Pasar Malam tersebut agak terbantut tatkala mengenangkan harga yang dikenakan kepada para pembeli amatlah mencekik leher. Bayangkan, harga dua ketul halia muda yang tidaklah terlalu besar saiznya adalah RM3. Terkejut tidak mendengarnya. Sehingga hari ini saya telah banned gerai tersebut atas perletakkan harga yang tidak munasabah. Mungkin kerana memikirkan golongan pembeli di kawasan tersebut merupakan antara yang mampu, maka kenaikkan harga yang melampau di kenakan kepada pelanggan.
Hari ini sekali lagi keterujaan saya tergugat. Saya berhasrat membeli Yong Tau Foo kerana menyedari GM pasti suka lebih-lebih lagi buat santapan malam. Lalu saya mengambil keputusan membelinya, lagi pula GM tidak memesan untuk membeli sebarang makanan. Dengan tenang, saya mengambil 2 keping FuChok, 2 cucuk isi ketam, sekeping fish cake, sekeping tauhu, 2 biji fish ball, sekeping vege cake. Tatkala bertanyakan berapa yang harus saya bayar, peniaga tersebut menyuarakan "RM12.30". Terbeliak juga biji mata saya mendengarkan harga tersebut. Seolah tidak masuk akal pula hanya dengan mengambil sebegitu saya dikenakan harga sedemikian. Walaupun tidak berpuas hati, namun tangan tetap menghulurkan kepingan duit dengan kerutan muka seribu.
Sepanjang berjalan di Pasar Malam saya asyik meratap pada Ayu Bam Bam. Bukan saya terlalu berkira tetapi merasakan tidak puas hati yang amat sangat. Bayangkan saya membeli 3 bungkus nasi lemak dengan berlaukkan ayam goreng, sambal kerang dan sambal ikan bilis petai, harga yang dikenakan pada saya "RM10.00". Jauh beza bukan dengan harga Yong Tau Foo tersebut. Jika saya memang mengambilnya pada kadar yang banyak, tidak kisah harga yang dikenakan agak tinggi tetapi ini ibarat makan untuk seorang sahaja dan harga yang dikenakan..... sudahlah rasanya setakat biasa-biasa. Maka dengan ini, gerai tersebut juga akan menerima nasib yang sama. Hanya sekali ini sahaja saya akan kunjunginya. Tiada kali kedua mahupun ketiga.
Maaf, saya bukan seorang yang berkira apabila melibatkan dengan hal ehwal makanan. GP telah mendidik kami dari kecil, jika berkaitan dengan makanan janganlah berkira kerana segalanya adalah rezeki yang diperturunkan oleh Allah SWT. Tetapi harga yang tidak masuk akal, pasti sesiapa pun tidak akan berpuas hati. Pada cuti Deepavali yang lepas juga saya mengalami peristiwa yang lebih kurang sama. Insyaallah akan saya kongsikan cerita tersebut di sini suatu hari nanti. Hak masyarakat untuk mengetahuinya dan nilailah mengikut pertimbangan. Apa pun, saya memang tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang telah saya belanjakan untuk Yong Tau Foo tersebut.
Para peniaga sekalian, janganlah terlalu mengambil kesempatan. Jika segalanya bersederhana, saya yakin Allah pasti akan melimpah ruah rezeki jualan anda. Beragaklah tatkala meletakkan harga supaya kelak anda tidak menerima cemuhan dan juga ratapan yang bakal membinasakan perniagaan anda kelak. Kepuasan pelanggan adalah kejayaan yang bakal dimiliki oleh setiap peniaga.
nota: sakit hati bila mengenangkannya walaupun esok makanan tersebut menjadi sisa buangan di pagi hari
No comments :
Post a Comment