Masih dalam mood menghayati lagu "Di Saat Aku Mencintai Mu". Selalunya macam inilah, jika dah minat berputar beribu kali, bosan masih belum menjengah. Kena tunggu lagu baru yang mampu menyentap halwa telinga, barulah akan bertukar ganti.
Rakan-rakan buat apa hari ini? Saya masih belum ada perancangan kukuh, tetapi Fieza ada jugalah mengajak saya untuk keluar. Ok saja kalau nak keluar cumanya macam kasihan pula pada dia asyik nak menjemput saya di rumah. Ini dah betul-betul meyusahkan dia bila terlalu kerap dia sahaja yang kena :( Nak buat macamana, sudah hampir dua tahun tidak memiliki kenderaan sendiri dan hanya mengharap ihsan Abang meminjamkan keretanya. Hari ini Abang pula perlu untuk memakai kereta untuk ke PD, makanya saya patah kaki. Moga Allah memberikan rezeki lebih buat saya tahun ini, bolehlah membeli semula kenderaan sendiri..Insyaallah!!!
Cadang untuk menyiapkan kerja-kerja tertunggak, tetapi itulah. Bila hari Ahad, kepala dan badan susah untuk digerakkan untuk membuat kerja. Harus muhasabah diri ni. Kena tanam di kepala, bekerja sendiri tidak pernah ada masa untuk bersantai lebih. Jika mahu berjaya, gigih perlu ada. Lainlah makan gaji. Tekanan yang dihadapi berbeza. Semalam berhasrat untuk menyambung semula I Luv Clothez yang hampir enam bulan ditinggalkan tetapi mungkin telah tersurat belum masanya. Seolah ada halangan, makanya saya akan menunda ke suatu masa yang lebih baik kelak.
Nak minta jasa baik rakan-rakan, boleh tak tolong cadangkan kedai makan yang sedap di mana sahaja untuk pihak Media Rakyat kunjungi dan membuat ulasan menarik mengenai kedai/restoran/gerai makan tersebut. Susah juga ye untuk menerjah mana-mana lokasi makan yang menarik. Setiap minggu ruangan inilah antara yang paling susah untuk diterjemahkan cuma agak sayang untuk kami menutup ruang makan ini kerana ada pengikutnya tersendiri. Kalau ada info menarik jangan segan-segan beritahu saya ya!!
Bagi mereka yang berminat untuk mengiklankan perniagaan atau apa sahaja juga boleh dilakukan di akhbar Media Rakyat. Banyak pakej-pakej menarik ditawarkan. Sebarang pertanyaan boleh sahaja beritahu saya, dan saya akan bantu anda semua perihal iklan ini (sempat lagi melakukan promosi)
Sedang menonton Melodi. Aduh macam-macam kerenah dan macam-macam cerita. Inilah kehidupan manusia yang punya warna tersendiri. Jika tidak ditampilkan melalui saluran Melodi ini saya yakin cerita-cerita begini akan tetap wujud disekeliling kita. Bezanya apabila berlaku di kalangan artis dan selebriti, perhatian lebih diberikan. Apa yang seronoknya apabila kisah luar dalam orang sibuk nak ambil tahu? Inilah harga yang mereka harus bayar bagi memilih untuk menjadi terkenal. Dahulu, bila akal sejengkal kerap kali pertanyaan "Kenapa kita tak jadi seperti si polan dan si polan. Kan bagus" Kini apabila mengharungi pengalaman sebagai insan kerdil, saya bersyukur dengan apa yang telah Allah tetapkan kerana ada bahagiannya yang tersendiri. Tidak perlu menjadi dia atau pun mereka. Hanya perlu jadi diri sendiri.
Tiba-tiba rindu pula untuk kembali menjadi pelajar. Eh, tahun ni permohonan Master belum tutup lagi rasanya. Harus dilakukan segera, kalau tidak terlepas seperti tahun lepas. Moga Allah merestui niat saya untuk mendaki satu lagi tangga pencapaian. Alhamdulillah sokong dari orang-orang tersayang sentiasa ada. Teringat sewaktu graduation Bachelor tahun lepas. Saat yang tak mungkin saya lupakan. Seronok sangat!! Manakan tidak, segala usaha bertahun-tahun akhirnya berbayar dengan segulung kertas berharga di tangan. Sebenarnya entri khas untuk graduation ada tersimpan di dalam draft. Belum punya emosi stabil untuk meneruskan penceritaan tersebut. Nanti-nantilah!!!
Hmmm...nak tanyalah. Apa yang seronoknya apabila asyiklah condemn dan kritik orang.? Asyiklah orang itu tak kena di mata, ada sahaja buruknya orang itu. Pelik juga sebenarnya. Kenapa sanggup berbuat demikian sesama manusia. Bukankah telah kita ketahui tiada manusia yang sempurna. Ketidaksempurnaan seseorang itu tidak harus dijadikan bahan untuk kita mengkritik. Jika benar ingin mengajar atau menegur, kan lebih manis diambil pendekatan dengan cara yang lebih baik. Tidak perlu memalukan orang tersebut dengan menjadikannya buah mulut. Bila yang menjadi mangsa melawan semula, dikatanya cepat melatah. Siapa yang tidak melatah jika asyik menjadi mangsa kritikan dan cerita buruk. Akan sampai satu masa, pasti dia akan bangun mempertahankan dirinya.
Semakin tidak faham dengan manusia hari ini. Saya tidak sempurna, saya juga bukan seorang yang zuhud malah saya juga bukanlah orang yang penuh dengan keimanan. Tetapi saya antara yang berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri. Bukan untuk nampak sempurna, bukan juga minta di puja tetapi cukup sekadar saya tidak turut sama tumpang melakukan dosa-dosa kering ini. Saya tidak mahu 'pulang paku buah keras' terjadi kepada diri saya. Nanti diri sendiri yang termalu.
Alamak!! Apa sahaja yang telah saya bebelkan di petang Ahad ini. Eh, macam suara Ejiki la...Moga kita kembali bersua entah bila dengan bicara hati yang merapu-rapu arah tujunya...
nota: senyap sahaja, jadi ke tidak ni!!!
No comments :
Post a Comment