Kenapalah mata ini boleh terbuka saat jarum jam melintas angka 3. Bila dah terjaga subuh begini, jaminan untuk menutup rapat kembali adalah mustahil. Aduhai, sudahlah setiap hari jangka masa tidur sering dipendek-pendekkan. Menguji betul mata nan sepasang ini.
Hujung minggu baru sahaja kita lalui. Apa rakan-rakan lakukan? Saya semenjak dua menjak ni agak jarang juga keluar berjalan. Komitmen kerja semakin membebankan, maka pandai-pandailah membahagikan masa. Jika perlu, kerja diberi keutamaan berbanding lain. Periuk nasilah kata,lagi pun bekerja juga sebahagian dari ibadah.
Hari Sabtu malam berkesempatan ke Jeram Kuala Selangor. Syurga makanan laut. Perancangan pun agak lewat sebenarnya. Jam 8.30 malam baru bertolak ke sana. Sebenarnya restoran ni saya pernah buat review untuk Media Rakyat dalam bulan lepas. Hidangan enak telah memikat selera kami bertiga, Abang, Mimie dan Saya. Jadinya kami ke sana lagi kali ini sambil membawa hajat seorang teman baik Mimie, Soraya.
Alhamdulillah, walau tiba agak lewat, masih banyak lagi makanan laut sedia menanti. Kami memilih hidangan lengkap seafood, semua adalah dan harga keseluruhan RM150. Murahkan!! Sudahlah masakan begitu menyelerakan, suasana laut yang nyaman, segalanya menyumbang ke arah kenangan indah buat kami berempat.
Saya mencadangkan jika rakan-rakan di KL rindukan hidangan makanan laut, bolehlah meluangkan masa ke Jeram salah satu daerah Kuala Selangor. Rasanya ramai dah tahu tempat ini, jadi tak salah saya panjangkan lagi pujian buat restoran Aroma Ikan Bakar ini. Moga dengan apa yang saya lakukan, Tuan Kedai berusaha untuk terus menjaga kualiti seperti sekarang. Kadangkala bukan apa, bila dah terlalu maju, lupa segala apa yang harus dijaga. terutamanya kualiti dan harga. Dari orang suka ke sana terus merudum.
Maaf, tiada gambar dapat dikongsi, tetapi bagi sesiapa pernah membeli Media Rakyat pasti telah melihat gambar-gambar tersebut. Lain kali jangan lupa dapatkan Media Rakyat ye, Insyaallah banyak tempat makan boleh diketahui.. (promo)
Apa pun, untuk kesekian kalinya kita berjumpa dengan minggu baru. Minggu bakal membuat ramai di antara kita menyeringai hingga ke hujung telinga. Minggu gajilah katakan. Selamat memulakan minggu baru dan moga sepanjang minggu kita diberkati dan dikurangkan berhadapan masalah. Oh ye, cuti sekolah dah tamat. Selamat kembali ke persekolahan adik-adik. Belajar rajin-rajin dan mula menghitung hari untuk bertemu cuti sekolah akan datang....
nota: kepala bercelaru, bila boleh dirungkai satu per satu...
No comments :
Post a Comment