Semenjak promo Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) berputar di merata-rata, niat untuk menonton filem epik ini telah tertanam dengan kemas di dalam hati. Seawal tahun 2011, sering menghitung hari menanti HMM pecah panggung.
Tayangan pertama pada Khamis lalu ternyata mendapat sambutan menggalakkan. Cuba untuk mendapatkan tiket tetapi gagal. Yang ada pun semuanya kerusi di bahagian hadapan. Untuk orang seperti kami yang berbadan sihat sudah tentulah tidak untuk duduk di kerusi yang tidak menyelesakan badan dan tengkuk. Tengok punya tengok, dapat hari dan waktu yang sesuai iaitu hari ini. Apa lagi tanpa teragak-agak terus beli tiket tersebut secara online.
Hampir penuh kerusi di panggung. Rasanya inilah pertama kali melihat filem tempatan mendapat perhatian umum. Bukan sahaja orang Melayu tetapi bangsa lain turut sama menonton HMM. Manakan tidak, kerusi di bahagian barisan pertama bahagian bawah juga dipenuhi. Fenomena yang boleh dilihat sekiranya filem luar ditayangkan. Jika benar seperti yang dikhabarkan, pada hari pertama tayangan, HMM berjaya mengutip setengah juta, kutipan yang belum lagi pernah dibuat oleh mana-mana pihak produksi tempatan.
Secara keseluruhan filem ini membuka dimensi baru bagi dunia perfileman Malaysia. Janganlah kita membandingkan HMM dengan produksi antarabangsa, sudah semestinya kekurangan akan begitu ternyata. Tetapi bezakanlah dengan apa yang pernah dihasilkan sebelum ini, saya yakin anda akan kagum dengan kesungguhan si pengarah dan pasukan produksi.
Sudah lama kita menanti satu anjakan baru di dalam dunia filem tempatan akhirnya trio adik beradik yang cukup berbakat berani memecah kebuntuan yang ada. Saya yakin mereka tidak berharap filem epik ini mendapat perhatian dunia yang melampau, tetapi apa yang telah mereka hasilkan telah berjaya menempa sejarah.
Filem ini berkisarkan perjuangan Merong Mahawangsa dari seorang pelayar biasa sehinggalah menjadi Raja bagi sebuah kerajaan yang dibentuk melalui perpecahan perkauman, Langkasuka. Sebelum di angkat menjadi Raja, Merong telah diketemukan dengan rombongan Putera Rom yang ingin ke kawasan yang digelar Semanjung Emas untuk dikahwinkan dengan Puteri China. Rombongan Rom telah tewas di lautan dek penangan ribut di lautan. Kerana musibah ini, rombangan itu terpaksa singgah di Goa bagi mendapatkan pertolongan perjalanan menuju ke destinasi.
Merong telah dipilh menjadi pengawal peribadi bagi Putera Rom tetapi pasukan mereka tewas di daratan gara-gara serangan dari Geruda. Puteri China telah diculik dan kerajaan Geruda meminta wang tebusan. Merong mengalami kecedaraan telah dibantu oleh Pak Kesum yang yakin Merong akan membawa perubahan kepada seluruh penduduk di situ.
Akhirnya Merong, Putera Rom dan askar China bertempur dengan Geruda bagi menuntut semula hak masing-masing. Tiga kerajaan besar bersatu bagi menentang kejahatan. Berjayakah mereka di dalam misi menentang Geruda dan apa yang berlaku pada Puteri China, segalanya akan terjawab apabila anda menonton filem ini.
Benar masih ada kekurangan terutama pada adegan melibatkan pertarungan, pergerakannya tidak begitu lancar. Nampak benar menggunakan sihir teknologi untuk merealisasikan adegan tersebut. Apa yang lagi membanggakan apabila melihat pelakon luar membintangi produksi tempatan. Tidak pernah terfikir satu hari nanti akan ada pelakon antarabangsa turut sama berlakon di bawah arahan pengarah tempatan.
Pembangunan set bagi menggambarkan keadaan di kurun tersebut juga begitu menjadi. Terus terang saya begitu tertawan terutama apabila kapal-kapal yang hampir tiba ke daratan untuk menawan negara. Nampak begitu hidup. Pemilihan busana juga menarik terutamanya pakaian mereka yang berasal dari negara China. Benar-benar kelihatan mereka datang dari Disnati China yang terkenal.
Cuma saya agak hampa apabila penamat filem ini begitu sahaja. Jika diperkemaskan lagi bahagian akhir, HMM akan tampak lebih sempurna. Lain-lain saya halalkan kerana saya seronok menonton filem ini. Jika berkesempatan, berkunjunglah ke panggung wayang dan ambil peluang menonton dan menyokong produksi tempatan.
Berbaloi KRU Studios membelanjakan RM8 juta lebih bagi menghasilkan filem ini. Jika mereka tida memiliki peralatan teknik CGI, kos ini pasti berganjak ke angka yang lebih tinggi. Formula untuk tidak memakai mereka yang bertahap super popular membarisi watak utama juga dianggap berjaya. Tidak perlu wajah popular sebenarynya untuk menghasilkan sesuatu filem. Yang penting kekuatan cerita dan juga bakat serta komitmen yang ditunjukkan oleh para pelakon.
Sekali lagi syabas buat pengarah, Yusry KRU serta mereka yang lain turut terlibat. HMM berjaya membuktikan kehebatan yang telah digembar gemburkan sebelum ini. Sekali lagi, jangan samakan HMM dengan produksi luar tetapi anggaplah ianya satu eksperimentasi bagi selera penonton Malaysia yang sering dahagakan sesuatu yang besar.
Gambar poster di ambil dari Google Image
No comments :
Post a Comment