Followers

Sunday, August 14, 2011

::Biarlah Memuaskan Hati....::

Antara tarikan bulan puasa di Malaysia sudah pasti Bazar Ramadhan.  Waktu ini 1001 juadah makanan boleh didapati.  Beraneka rencah dan perasa dijual.  Ada resipi datang dari Pantai Timur, Utara Malaysia, Negeri Selatan dan pelbagai lagi.  Rambang mata dibuatnya.

Semenjak berpuasa, banyak kali juga menjejakkan kaki ke bazar dan kebanyakkan di sekitar kawasan perumahan saya.  Bila dah banyak gerai jualan, nak memilih makanan pun jadi kalut.  Tak tahu inginkan yang mana satu.  Bukan tamak, cuma bila melihat rupa fizikal beserta harga ditawarkan, terbantut keinginan untuk membeli.

Tak saya nafikan, harga makanan semuanya naik mencanak-canak.  Lebih mengecewakan, harga diletakkan tidak setanding dengan rasa.  Dengan ini saya merayu kepada para peniaga, Tolonglah pastikan supaya makanan yang dijual boleh diterima oleh tekak kami sebagai  pembeli.  Sudahlah harga tidak berpatutan rasa agak menjengkelkan pula.  Bayangkan anda berada di tempat pembeli, penat bekerja seharian di pejabat, berkejar-kejar ke bazar untuk mendapatkan lauk dengan terpaksa menempuh kesesakkan lalu lintas, kesukaran meletakkan kereta dan tatkala menikmati juadah, begitu mengecewakan.

Saya sendiri pernah terkena di salah sebuah gerai bazar Seksyen 6 Kota Damansara.  2 ketul ayam goreng yang begitu kecil berharga RM8.  Bila makan, hmm....keras dan liat.  Saya sendiri terkejut dengan harga sedemikian, namun pujuk hati moga bila berbuka rasanya sedap.  Tapi sayang......dan untuk hari seterusnya awal-awal lagi saya pangkah gerai tersebut.

 Inilah ayamnya, tapi dalam gambar nampak besar pula.  Sebenarnya ayam ini kecil sahaja.  Membebel saya sepanjang hari dek kerana tidak puas hati dengan harga serta bentuk fizikal dan rasa ayam tersebut.

Bagi saya, meniaga di bulan Ramadhan disamping ingin mendapatkan rezeki sekali ganda tetapi juga boleh beroleh pahala.  Memberi makanan enak kepada orang dan mereka berpuas hati pastinya akan mendoakan supaya peniaga beroleh keberkatan. Ramadhan tinggal separuh perjalanan lagi, moga peniaga-peniaga bazar berusaha memperbaiki kelemahan dalam usaha memuaskan hati para pembeli.
nota:  terimbau kenangan menjadi peniaga di bazar Ramadhan


 

No comments :

Post a Comment