Selain dari berpuasa, Ramadhan juga sering menjadi bulan di mana kita kenang pelbagai kisah suka duka meniti kedewasaan. Pelbagai gelagat dan ceritera sendiri berkaitan bulan puasa yang kita simpan menjadi memori. Dari bagaimana kita mula belajar berpuasa, hinggalah berumur semuanya sebuah kenangan indah. Bila dikenang, pastinya senyum meleret mengingatkannya. Jom saya kongsi kenangan berpuasa saya.
Jika tak silap saya mula berpuasa pada usia 7 tahun, darjah satu tahun 1987. Waktu saya bersekolah dahulu, ada sesi pagi dan petang. Maksudnya enam bulan bersekolah pagi dan kemudian tukar pula pada pertengahan tahun. Pada waktu itu saya berpuasa pada persekolahan sesi petang. Punyalah banyak cabaran, dengan ada kawan-kawan berpuasa 'yang-yok', cuaca panas, tarikan bermain kejar-kejar bersama rakan sekolah dan tak kurang juga yang langsung tak berpuasa.
Pada waktu itulah kita belajar erti jujur pada diri sendiri, keluarga dan jujur kepada Allah SWT. Arwah Mak (nenek) dan GM hari-hari berpesan jangan ikut gelagat rakan-rakan di sekolah yang tak berpuasa tapi bila balik beria-ia mengatakan berpuasa. Jika benar tak puasa, terus terang sahaja. Andai tak larat pada hari tersebut, berpuasa setengah hari pun boleh.
Bila cuaca panas, kesabaran benar-benar teruji. Entah dari mana timbul idea, di kantin mereka menjual ais di dalam bag plastik kecil. Harga rasanya dalam RM0.10 - RM0.20, kalau tak silap. Maka ramailah budak-budak membeli ais tersebut, kononnya boleh menghilangkan rasa haus dan menyejukkan badan. Tauke kantin benar-benar mengaut keuntungan ke atas penjual ais tersebut. Manakan tidak, berapa lama ais ketul mampu bertahan. Paling-paling sejam kemudian pasti cair. Selepas cair, pastinya budak-budak berulangkali membeli.
Saya sendiri turut terjebak dengan membeli ais tersebut. Letakkan di atas kepalalah, bungkus dengan sapu tangan kemudian di letakkan di belakang leher, lalukan ke kawasan muka dan ada juga yang menyapu ketulan ais di kawasan tekak, kononnya dapat menghilang haus. Sehari sampai 2-3 kali pergi membeli. Bila melihatkan ais tersebut, automatik beban puasa berkurangan. Budak-budak memang cepat terpengaruhkan...he...he...he...
Tapi bila difikirkan semula, berkesankah kaedah sedemikian? Pasti jawapannya tidak, cuma waktu itu terikut-ikut dengan rakan lain. Setiap kali pulang ke rumah, Arwah Mak mesti tegur kenapa beli benda-benda membazir. Siap ugut untuk mendapatkan kepastian lagi samada ais bertukar air masuk ke dalam tekak atau tidak. Dalam pada itu, baju pun mudah basah. Elok-elok boleh pakai seragam untuk dua hari, dek keranan penangan ais terpaksa menukar baju hari-hari.
Bagi mengurangkan pembelian ais, GM ugut untuk tidak memberi duit belanja sekolah. Apa perlu lagi, kan bulan puasa. Tiada apa pun boleh dibeli. Lantas saya berjanji tidak akan membeli lagi paket ais tersebut, walhal di sekolah tergelincir juga. Ketagih sebenarnya.
Agak-agak rakan sekalian ada melalui ke perkara sedemikian? Di sekolah saya, setiap murid Islam pasti ada tersangkut bag plastik ais samada di beg sekolah ataupun jinjit di tangan. Yang pasti, tauke kantin benar-benar pandai mencari duit tambahan serta memanipulasi keadaan semasa.
Apa pun, ianya merupakan kenangan manis yang tak mungkin dapat dilupakan dan kalau tak silap, pertama kali berpuasa saya hanya berjaya melengkap sebanyak 15 hari sahaja. Baki 15 hari lagi saya cipta pelbagai alasan terutama di hujung minggu. Tertekan sebenarnya bila tiada apa boleh dilakukan pada setiap kali hari Sabtu dan Ahad. Segalanya dirasai bergerak lambat. Lagi pula, keluarga tidak begitu memaksa pada ketika itu. Berpuasa mengikut kemampuan.
Dari 15 hari, ianya bertambah pada tahun-tahun berikut sehinggalah berjaya berpuasa penuh. Rakan-rakan ada kenangan menarik untuk dikongsi bersama? Apa kata kita berkongsi di sini. Boleh emailkan cerita kenangan anda itu pada saya, Insyaallah akan disiarkan di samping bertukar-tukar kisah.
Jika berkesempatan, saya kongsikan lagi kenangan berpuasa saya dengan anda semua. Doakan supaya saya tidak dilanda kecelaruan emosi tahap tinggi..he..he..he..
nota: kenangan mengajar kita erti dewasa
No comments :
Post a Comment