Followers

Sunday, August 21, 2011

::Coretan Pendek di hari Ahad::

Pejam celik pejam celik, Ramadhan hampir tiba ke penghujung.  Persiapan menyambut Syawal pasti semakin rancak di kalangan umat Islam ketika ini.  Hari ini dan semalam adalah minggu terakhir untuk membeli belah bagi yang akan pulang ke kampung halaman.  Seperti pernah diluahkan, sehingga saat ini kemeriahan menyambut masih belum ada.  Persiapan di tahap 0.00%.

Ada merancang buat Buah Hati, tapi entahlah.  Ada rezeki adalah ye Sayang-Sayang semua!  Tak mahulah asyik cerita sedih sahaja.  Biarlah kami-kami sahaja yang menanggung, lagi pula nanti ada yang bosan.  

Semalam sempat ke point popular di Kuala Lumpur tatkala menjelang perayaan, Jalan TAR.  Uuuiii, punyalah ramai manusia!!  Dari Jalan Chow Kit lagi kesesakan lalu lintas telah bermula.  Kami yang menaiki motorsikal pun turut tersangkut, apatah lagi berkereta.  Kenderaan begitu padat.  Saya keluar lebih kurang jam 12.00 tengahari.

Kalau ikutkan memang tak mahu menempuh lautan manusia di sana, tapi Abang meminta tolong mencarikan kain buat adiknya.  Adik bongsu dia penyanyi, sepanjang Syawal akan banyak mengikuti program Hari Raya.  Sementelah baju-baju berkurangan, terpaksa jugalah menyediakan baju baru.  Ini dilema artis wanitakan?  Pakai baju berulang-ulang pasti kena kutuk.  Tapi tak apalah, dia masih baru kira halal pakaian diulang tayang.

Berjam-jam jugalah di Jakel.  Selesai di sana Abang ke hospital pula, melawat ibu dia yang masih ditahan.  Risau juga mereka sekeluarga sekiranya tak boleh keluar sehingga Raya.  Entahlah, Abang dengan masalah dia dan saya dengan masalah saya.  Ramadhan kali ini benar-benar menguji kami semua.  Moga segala apa yang berlaku ini ada hikmah.

Sampai sahaja di rumah terus terdampar keletihan.  Manakan tidak, menunggang motor juga merupakan satu cabaran buat saya.  Sakit yang ditanggung terpaksa dipendamkan sahaja.  Kebetulan dalam minggu lepas, sakit kembali beraja.  Penat dan lesu badan dek menahan derita.  Alhamdulillah, saya masih boleh ke sana ke mari.  Alah bisa tegal biasa, sakit tetap sakit tetapi kehidupan harus diteruskan jugakan.

Nanti-nanti kita sambung semula ye..  Tiba-tiba sayu pula hendak meneruskan penceritaan.  Kesabaran adalah kunci utama pegangan saya buat masa ini.  Selamat Berbuka hari ke-21 buat Muslimin Muslimat.  Kita sedang meniti 10 malam terakhir, saya doakan kita semua berkesempatan bertemu dengan Malam Lailatu Qadar,Amin....


nota:  harap-harap orang itu boleh dipercayai...

No comments :

Post a Comment