Menjelang Hari Raya, antara isu hangat dalam keluarga pastinya berkaitan beraya di mana. Pening sebenarnya jika berada di dalam dilema sedemikian. Banyak pertimbangan perlu dilakukan demi menjaga hati pelbagai pihak. Yang pasti ada terpaksa berkorban. Namun relakah pengorbanan tersebut? Sejauh mana keikhlasan?
Saya belum berhadapan isu sedemikian, tetapi kasihan juga bila mendengar keluh kesah beberapa rakan. Dulu janji lain sekarang buat lain. Benar ada yang mengamalkan giliran, tetapi kadangkala dek kerana giliran langsung tidak boleh bertoleransi. Baik lelaki mahu perempuan. Jika benar sekalipun berpegang kepada janji, takkan tak boleh untuk lebih fleksibel? Saya berkata ini berdasarkan luahan seorang rakan.
Rakan saya N berasal dari negeri Pantai Timur Malaysia. Suaminya pula, M dari Selatan tanah air. Semenjak berkahwin hingga telah mempunyai dua orang cahaya mata, sememangnya telah termaktub akan konsep giliran. Tetapi M sering mencari alasan untuk lari dari pulang ke kampung N. Jika terpaksa pun, sekejap sahaja duduk di sana dah kelam kabut untuk pulang. Walaupun lewat beberapa hari, pulang ke kampung M adalah wajib.
Bila tahun giliran kampung M, awal-awal lagi hendak pulang ke sana. Sudahlah begitu, duduk pun kalau boleh hingga selesai cuti. Agenda untuk balik kampung N langsung tiada. Lama juga N makan hati, tetapi malas nak fikir ikut sahaja karenah suami. Tahun lepas giliran N, nak dijadikan cerita adik N bakal melangsungkan perkahwinan beberapa hari selepas 1 Syawal.
N mohon pertimbangan jika boleh tahun ini tidak pulang ke kampung M dan beri laluan buat kampung N. Yelah, adik kandung akan melangsungkan perkahwinan. Pasti banyak kerja kahwin harus dilunaskan. Terus M sentap dan bertegas jangan pandai-pandai untuk melanggar giliran yang telah diamalkan. Jika tidak buruk padahnya.
Dek kerana geram M boleh melalut-lalut marahkan keluarga N kerana tidak mengambil kira giliran mereka langsung menghukum N dengan tidak akan hadir langsung majlis perkahwinan tersebut. Bila N bercerita pada saya, apa lagi boleh saya katakan. Nasihat lebih-lebih pun ini melibatkan rumah tangga orang. Apa yang mampu, saya minta N bersabar dan tunggu marah M reda, kemudian bincang semula.
Siapa kata perempuan yang selalu beremosi hal ehwal balik kampung ini? Sebenarnya lelaki pun sama. Kesudahan pertelagahan mereka, saya masih lagi menanti berita ke mana akan dihalakan pemanduan pada hari Ahad ini.
Itu insiden pertama. Kisah lain pula, P dan J telah berjanji seawal perkahwinan yang mereka hanya akan beraya di sebelah pihak dahulu setiap tahun. Ini kerana J anak tunggal. Tak sampai hati untuk tinggalkan ibu tersayang beraya sendirian di pagi raya. P yang kononnya ingin menunjukkan betapa dia serius untuk berkeluarga, sanggup mengikat janji.
2-3 tahun awal perkahwinan semuanya okey. Boleh sahaja pagi raya bersama ibu J. Masuk tahun keempat P mula buat hal. Jika beraya pun ibarat tidak beraya. Malam raya hilang, pagi raya jam 11 pagi dah resah gelisah jika tidak keluar dari rumah. Pulang sahaja ke rumah keluarga P, terus duduk berhari-hari.
Walhal bukan jauh mana pun rumah masing-masing. Hati ibu mertua keseorangan tidak dipeduli. Sudahlah begitu, dengan cucu sekali di bawa pergi. J kasihan melihat ibunya, tetapi apakan daya. Alasan P, hari-hari biasa mereka puas menghadap muka ibu J, jadinya bila ada peluang begini ingin mengubah angin.
Terkedu J namun apakan daya. Walau pun J punya kuasa suami, tetapi demi menjaga keharmonian keluarga dia cuba ikut. Takkan hendak bercerai berai hanya kerana isu beraya. Ibu J juga seolah faham dan merelakan sahaja. Tetapi hati ibu siapa yang tahukan.
Kerap saya katakan pada J, dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas ibu dia. Bawa berbincang demi mendapat keberkatan hidup. Saya tak pasti pula kali ini apa tindakan J ke atas sikap P yang melupakan janji. Saya doa yang baik-baik sahaja buat mereka sekeluarga.
Ada kawan saya ini pula, setelah bertahun berkahwin, Alhamdulillah rezeki murah dan mereka berjaya memiliki sebuah rumah. Keluarga perempuan ini tinggal berhampiran. Perempuan bila dah ada rumah sendiri pasti punya impian untuk menghias sebaik mungkin dan beraya di rumah sendiri. Sementelah jika pulang ke kampung, bukannya bermalam di rumah ibu bapa suami tetapi menumpang di rumah ibu saudara.
Bila anak semakin besar pastinya semakin canggung untuk bermalam di rumah orang. Nak tukar baju pun susah. Takkan masih nak tidur berlonggok? Jadinya mintalah sedikit kelonggaran dari suami dan keluarga lelaki untuk pulang ke kampung mungkin pagi raya. Bukan jauh mana pun kampung, dalam 1-2 jam perjalanan kereta. Tapi permintaan ditentang habis-habisan. Merajuklah Si Isteri hingga enggan bercakap. Sepanjang Ramadhan hubungan dingin. Kesudahan yang saya sendiri tidak pasti kerana belum sempat meluangkan masa berbual.
Banyak lagi sebenarnya drama Hari Raya, tapi nanti panjang berjela pula. Bagi saya yang belum berkahwin ini, sekiranya perkara-perkara begini boleh bertolak ansur tak salah. Tetapi janganlah asyik mahu pihak satu lagi mengalah. Tak bagus sebenarnya. Pandanglah ke arah rasional keputusan. Ada perkara berlaku dengan bersebab. Tiada siapa mahu bertengkar dan mengalah tak beerti kalah.
Drama Hari Raya belum pernah berlaku di dalam keluarga saya kerana GM anak jati Kuala Lumpur. Boleh sahaja jika GP hendak pulang ke kampung halamannya. Tapi bagi kami semua, rumah sendiri adalah tempat terbaik. Biarlah tidak sehebat mana rumah yang penting kami adik beradik dapat berkumpul bersama. Sebuah momen begitu indah!!
Tahun ini Ninie tidak akan beraya bersama. Pasti kami akan merindunya kelak, tapi tak mengapa. Dia punya keluarga lain untuk meraikan keseronokkan hari raya bersama. Buat anda semua yang bakal pulang ke kampung, semoga semuanya selamat sampai ke destinasi dituju dan bertemu orang-orang tersayang.
Gambar di ambil dari Google Image
nota: satu persiapan pun belum dibuat. Mungkin bukan tahun ini barangkali....
No comments :
Post a Comment